Wawancara

Ramkarpal – Anak harimau ke Bukit Gelugor (Bahagian I)

Ramkarpal nama yang tidak asing lagi sejak peristiwa menyayat hati 17 April lalu. Dalam sekelip mata segala-galanya berubah dan beliau kini berdiri di pentas utama, semua mata tertumpu kepadanya, selain bayangan legasi ayahanda yang menghiasi latar politik yang begitu gah.

Seperti juga mendiang ayahnya, Ram punya perawakan yang kelihatan tegas pada pandang pertama. Namun dia mudah termakan acah gurau jenaka.

Lahir 9 April 1976, anak ketiga daripada lima adik beradik ini menerima pendidikan awal dari sekolah yang sama dengan mendiang bapanya, St Xavier’s Instution, sebelum melanjutkan pengajian ke sekolah Sri Inai.

Setelah menjalani matrikulasi di Australia, Ram seakan menyahut ‘panggilan’ keluarga dan turut melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang di Universiti Bristol sebelum menjalani latihan dalam kamar di UK dan didaftarkan sebagai peguambela dan peguamcara melalui Gray’s Inn.

Beliau yang meminati sukan tenis dan bola sepak kini mencuba nasib dalam lapangan perjuangan politik, seperti yang telah dilalui mendiang ayahnya serta dua orang abangnya, Jagdeep Singh Deo, kini EXCO Kerajaan Negeri Pulau Pinang, dan Gobind Singh Deo, Ahli Parlimen Puchong.

RamKarpalRam kini kelihatan sudah mula membela sejemput janggut, dan semakin kelihatan persis mendiang Karpal Singh. Pun begitu beliau tidak berniat untuk ‘mengambil tempat’ tokoh politik DAP itu.

“Mustahil kita menggantikan seseorang yang begitu istimewa,” katanya dengan nada penuh bangga. Beliau tidak merancang untuk menjadi ‘jelmaan semula’ sang Harimau Jelutong.

Ram boleh digelar ‘setiausaha politik de facto’ kepada Karpal Singh. Memandangkan kedua-dua abangnya sudah mempunyai political clout masing-masing, Ram mengambil tugas membantu dan menguruskan hal-hal politik dan tugas-tugas keguaman ayahnya.

“Sejak lewat 80an saya sudah berkecimpung dengan hal-hal politik ‘Saudara Karpal’, saya seolah-olah setiausaha politiknya,” kata beliau sambil menguntum senyum.

Bukit Gelugor adalah sebuah kawasan parlimen baru yang terhasil akibat daripada aktiviti persempadanan semula yang dijalankan oleh kerajaan. Ram tahu betul kawasan itu kerana sering hadir bersama-sama mendiang ayahnya melawat kawasan dan mendengar keluh-kesah rakyat.

“Kalau orang Bukit Gelugor tengok saya, mereka akan cam saya. Walaupun mungkin mereka tidak tahu nama saya siapa,” katanya merendah diri.

Menurut beliau kawasan parlimen Bukit Gelugor sekarang meliputi serpihan kawasan parlimen Jelutong yang disandang mendiang Karpal sejak Ram lahir pada tahun 1978 sehingga 21 tahun kemudian, pada tahun 1999.

Anak muda ini mempunyai wawasan yang pelbagai untuk golongan muda yang disifatkannya sebagai pewaris negara yang mesti menjaga keluhuran perlembagaan.

Memandangkan Bukit Gelugor terpecah kepada tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (Air Itam, Seri Delima dan Paya Terubong) yang dimenangi oleh DAP, agak mudah untuk menyusun program dan aktiviti yang boleh memberi manfaat kepada anak muda supaya mereka bersedia mendepani cabaran semasa.

Ram melihat isu-isu perkauman dan ekonomi yang sedang meruncing sebagai hal besar yang perlu ditangani secara serius oleh Pakatan Rakyat kerana bakal memberi kesan kepada masa depan anak muda.

“Ada satu trend di kalangan anak muda sekarang yang menyebabkan mereka begitu mahukan perubahan, dan saya rasa trend ini akan kekal sehingga PRU ke-14,” kata beliau penuh yakin.

Apabila ditanya apa yang membuat beliau begitu yakin, Ram sedikit tertawa dan berkata bahawa memang dalam politik segalanya mungkin. Namun beliau nekad akan berusaha untuk memastikan sokongan anak muda dan kehendak mereka kepada perubahan, terutamanya dalam keadaan semasa, terus membuak.

Bahagian 2, ‘Apa yang Ram mahu bawa ke Parlimen?’