Wawancara

Ramkarpal: Anak Harimau ke Parlimen (Bahagian II)

Berbeza dengan kedua-dua abangnya, Ramkarpal sering dilihat ‘bermuka ketat’ dan sukar tersenyum. Dia barangkali hanya baru-baru ini memakai janggut sejemput untuk menghiasi wajahnya yang tampan.

“Ini pembawaan kerja,” katanya. “Dalam bekerja di lapangan politik dan undang-undang, mesti ada imej yang boleh menunjukkan kesediaan untuk berlawan,” tambah beliau.

Beliau nampak amat bersedia ke Parlimen. Setelah sekian banyak hakim dan pasukan pendakwa yang digasaknya, Ram pastinya tidak punya banyak masalah untuk bangun berdiri dan berhujah tentang hak dan nilai-nilai yang diperjuangkan semua yang berjuang bersama DAP sejak sekian lama.

_DSC4108Anak muda ini menganggotai pasukan pembelaan Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak awal lagi. Beliau jelas mempunyai hubungan rapat dengan keluarga ketua pembangkang itu.

“Sejak zaman universiti, saya ada kepedulian tinggi dengan konflik melibatkan Datuk Seri Anwar,” ujarnya yang masih berada di Bristol sewaktu gerakan reformasi tercetus di tanah air.

Melihat hak asasi manusia yang diperlekehkan pemerintah sejak sekian lama telah membina semangatnya untuk berjuang demi mempertahankan hak-hak yang dijamin Perlembagaan Persekutuan.

Jelas sekali bahawa semangat pesanan terakhir mendiang Karpal Singh, supaya “jangan main-main dengan perlembagaan” tersemat rapi di sanubari anaknya ini. Ram nyata mempunyai misi peribadi untuk menyebarkan mesej “jangan main-main” itu dalam siri kempennya menjelang pilihanraya kecil Bukit Gelugor 25 Mei ini.RamKarpal (6)

“Perlembagaan Persekutuan mesti dipertahankan, terutamanya sekarang dalam keadaan asasnya itu cuba digugat pihak tertentu,” ucap Ram ketika ditemui di rumah keluarganya di Western Gardens, Pulau Pinang.

“Contohnya, kebebasan berhimpun yang terus dinafikan dan dicelarukan,” ujarnya merujuk kepada beberapa kes mahkamah berkait hal tersebut, termasuk yang turut menyenaraikan Datuk Seri Anwar Ibrahim serta timbalan presiden PKR Azmin Ali serta aktivis Chegubard sebagai pihak-pihak tertuduh berikutan kes perhimpunan Bersih 3.0

“Ini perkara asas yang perlu terus dipertahankan,” tambahnya.

Disoal tentang pertubuhan pelampau ISMA; Ram sedikit menggelengkan kepala, lagak seorang dewasa melihat telatah kanak-kanak.

Pun begitu, Ram berpendirian bahawa ISMA tidak sepatutnya disiasat atau menerima sebarang tindakan menggunakan Akta Hasutan 1948.

“Akta itu sepatutnya dimansuhkan, sebaliknya gunakan peruntukan-peruntukan yang sudah ada dalam Kanun Keseksaan,” katanya lagi, mengutuk undang-undang terbabit yang turut memangsakan mendiang ayahnya baru-baru ini sehinggakan pihak pendakwaan berkeras mahu Karpal dijatuhkan hukuman penjara.

ramkarpalMenurut Ram, banyak hal yang tidak kena dengan cara Jabatan Peguam Negara dan institusi kehakiman menjalankan pendakwaan terpilih apabila menggunakan Akta Hasutan itu.

“Pendakwaan terpilih harus dihentikan,” tegasnya.

Orang seperti Ibrahim Ali, Zul Noordin, dan yang seangkatan dengan mereka tidak pula menjadi mangsa undang-undang rimba tersebut. Sebaliknya akta jahat itu hanya dipakai terhadap lawan-lawan politik BN, termasuk mendiang Fan Yew Teng, Lim Guan Eng dan Teresa Kok.

Kata Ram lagi, pertuduhan terhadap mendiang ayahnya masih lagi tidak digugurkan oleh Peguam Negara kerana sabitan di bawah akta tersebut turut memberi kesan kepada pencen mendiang Karpal.

Namun Ram tetap berpendapat bahawa Peguam Negara bersikap berat sebelah apabila menggunakan akta tersebut. Baginya, undang-undang lapuk itu mesti dimansuhkan.

“(Soal) ini adalah sesuatu yang mesti menerima tindakan dan usaha serius daripada DAP dan Pakatan Rakyat di Parlimen,” jelasnya, menyatakan iltizamnya untuk terus menentang akta tersebut di Parlimen jika diberi peluang untuk berbuat demikian.

Ram tidak bongkak ataupun terlebih yakin. Meski pun Bukit Gelugor disebut sebagai kerusi “confirm menang,” usaha untuk memenanginya mesti dijalankan terus-menerus.

Kerusi Parlimen Bukit Gelugor dimenangi mendiang ayahnya dengan jumlah majoriti yang amat besar. Calon MCA yang menentang ayahnya itu sekadar memperolehi 14,061 undi; manakala sang ‘Harimau Jelutong’ menang selesa dengan kelebihan 41,778 undi.

Pakatan Rakyat berjaya menafikan beza undi undi popular yang dinikmati BN sejak zaman berzaman pada PRU ke-13 dengan mencatatkan peratusan 52% undi, dan meletakkan BN sebagai sebuah kerajaan minoriti dengan hanya 49% undi popular.

Bagi Ram, trend kehendak rakyat ke arah perubahan tidak akan luput malah akan terus berkembang.

“Lihat sahaja bagaimana negara-negara rantau ini menolak kerajaan mereka dan memberi amanah kepada parti-parti pembangkang untuk mengambil-alih pentadbiran,” katanya.

Pilihanraya umum ke 14 baginya menjanjikan lonjakan sekiranya momentum ke arah perubahan itu dikekalkan. Ini katanya boleh dicapai sekiranya kita terus lantang menyampaikan mesej perubahan, keadilan dan demokrasi kepada generasi muda yang bakal menjadi pengundi pada PRU akan datang.

“Malaysia berada dalam zaman transisi. Perubahan pasti berlaku,” katanya mengakhiri perbualan. – Roketkini.com