Berita

Program anti-Kristian di UiTM: Sasterawan pejuang Bahasa Malaysia beri keterangan kepada polis

SHAH ALAM, 17 MEI: Sasterawan pejuang Bahasa Malaysia Uthaya Sankar SB semalam memberi keterangan kepada polis berhubung penganjuran seminar anti-Kristian di Universiti Teknologi Mara (UiTM) minggu lalu.

Kenyataan Uthaya dan Perzeus James, seorang pensyarah, direkodkan oleh pihak polis di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Shah Alam petang tadi setelah mereka membuat laporan polis pada 8 Mei lalu kerana tiada tindakan dikenakan terhadap penganjur seminar terbabit yang jelas bertujuan menyebarkan kebencian antara agama.

Kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 298 dan 298 (a) Kanun Keseksaan kerana menggalakkan perpecahan, permusuhan, ketidakharmonian, dan kebencian dengan menggunakan agama.

Dalam kenyataan media minggu lalu, Uthaya membidas kandungan seminar berkenaan “yang dijadikan platform mempersenda ajaran Kristian dan penganut Kristian secara keseluruhan.”

Beliau menyatakan kekecewaan terhadap UiTM yang, dengan kerjasama Utusan Malaysia dan Kumpulan Media Karangkraf, telah menganjurkan seminar sedemikian sedangkan yang diperlukan ialah dialog antara agama.

“Sepatutnya dialog antara agama yang dianjurkan, bukan seminar seperti ini yang ternyata berniat jahat dan menghancurkan keharmonian Bangsa Malaysia,” ujar Uthaya yang sering menyertai “Konvoi Rumah Ibadat” anjuran Kumpulan Sasterawan Kavyan ke rumah ibadat pelbagai agama.

Perzeus, dalam sidang media bersama peguam Annou Xavier selepas selesai memberi keterangan selama satu jam setengah, mengatakan bahawa beliau amat kesal dengan penganjuran seminar berkenaan, terutama kerana ia diadakan di sebuah universiti yang sepatutnya menjadi tempat mendidik ke arah keharmonian.

“Dalam keterangan tadi, saya sekali lagi menggesa tindakan dilakukan segera sebelum keadaan menjadi bertambah buruk.

“Saya juga tertanya-tanya, bagaimana UiTM dan penganjur lainnya seperti Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) boleh mendapat kelulusan untuk seminar sebegini? Mengapa Kementerian Pendidikan memberi kebenaran?” soalnya.

Menurut Annou Xavier, empat laporan juga telah dibuat di Sarawak dan satu lagi laporan akan dibuat di Sabah, Sabtu ini.

Perzeus menegaskan bahawa dalam negara berbilang kaum seperti Malaysia, segala aktiviti yang mencemuh serta menghina agama lain tidak harus dibenarkan.

“Antara sesi dalam seminar itu adalah ‘Ancaman Kristianisasi’, bagaimana mereka boleh bercakap tentang Kristian tanpa mengambil atau memanggil pakar dalam agama itu untuk memberi pandangan?

“Saya kira, ia memang sengaja dilakukan untuk menggalakkan lagi kebencian agama,” ujar beliau dengan kesal.

Dalam seminar 6 Mei itu, salah seorang daripada penceramah yang diundang juga telah mengemukakan “10 sebab mengapa orang Kristian harus memeluk Islam”.

Buku mengenai ancaman Kristianisasi bertajuk “Pendedahan Agenda Kristian” juga telah diagihkan kepada sekitar seribu pelajar yang menghadiri seminar itu. -Roketkini.com