Rencana

Anti-perkauman: Kini kita ada Dyana

Tipis atau tidak, hakikatnya DAP kalah di Teluk Intan. Kalah atau menang, hakikatnya parti ini telah membuat satu lonjakan besar untuk menegaskan bahawa hari baru politik Malaysia telah bermula.

Analisis penuh keputusan PRK Teluk Intan akan segera ditulis. Namun, setakat ini sudah cukup untuk kita membuat satu kesimpulan, iaitu bahawa hampir 20,000 orang telah mengundi untuk politik baru yang merentasi garis kaum. Sememangnya inilah subuh buat politik baru.

Tidak sedikit orang ragu bahawa DAP meletakkan Dyana Sofya kerana ia sungguh-sungguh mahu menamatkan riwayat politik perkauman. Apabila beberapa pemimpin parti ini menyebut bahawa DAP mungkin kalah di Teluk Intan, tidak banyak orang percaya. Padahal, itu juga satu hakikat.

Setahu saya, sejak dini lagi perkiraan telah dibuat bahawa mencalonkan Dyana tidak lebih menjamin undi daripada nama-nama lain yang muncul ketika itu. Justeru, apabila nama gadis itu dicalonkan tidaklah menghairankan jika ahli-ahli DAP mula menyimpulkan keyakinan bahawa mengedepankan Dyana adalah langkah yang benar.

Semenangnya ia langkah yang bukan sekadar wajar, malah benar. Dari satu segi, DAP memperjudikan kerusi parlimen yang bukan saja milik parti, malah boleh dianggap sebagai milik bersama Pakatan. Namun, perjudian itu jadi genting untuk dibuat kerana mutakhir ini sentimen perkauman telah dimainkan tanpa segan-silu, oleh Umno-BN, Perkasa, ISMA dan banyak kelompok lain. Dalam keadaan sedemikian, kebetulan terjadi pilihanraya kecil bagi kerusi yang dipegang DAP – satu kebetulan yang amat baik.

Di kalangan parti Pakatan, tanggungjawab menyampaikan mesej anti-perkauman barangkali paling lantang jika ditunaikan oleh DAP. Bukan bererti ia tidak mampu atau tidak bersungguh dilakukan PKR atau PAS, cuma dentumnya seakan lebih kuat apabila palu genderang anti-perkauman dihayun oleh DAP.

Justeru para pemimpin atasan DAP dan Pakatan sedang nekad untuk meranapkan tembok perkauman, maka menjadi tanggungjawab setiap seorang pendukung Pakatan, khususnya ahli DAP, untuk mengerah segala daya ke arah itu. Usaha ini tidak mudah, tapi kini kita ada Dyana.

Dyana memiliki bukan hanya 20 ribu, malah ratusan ribu, jika pun bukan jutaan, penyokong di belakangnya. Mereka sedang tidak sabar untuk menjadi teman Dyana yang setia dalam perjuangan menakik dahan-dahan perkauman dan membongkar akarnya.

Politik baru punya beberapa peneraju, kini Dyana menjadi salah seorang daripada mereka – salah seorang yang istimewa.
– Al-Mustaqeem M Radhi, Roketkini.com