Berita

Hudud punca sokongan bukan-Melayu merosot – Gobind

KUALA LUMPUR, 3 JUN: Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo berpandangan isu hudud yang hangat diperkatakan awal tahun ini adalah antara punca kekalahan DAP dan Pakatan Rakyat dalam Pilihanraya Kecil (PRK) Teluk Intan, Sabtu lalu.

Justeru itu, beliau menyeru agar Pakatan Rakyat menangani segera pertikaian yang masih belum selesai itu, bagi mengelakkan kesan yang lebih parah pada masa akan datang.

“Kita menghargai PAS yang bekerja keras bersama kita sepanjang kempen, namun mereka tetap bertegas sepanjang tempoh itu yang mereka akan tetap meneruskan agenda hudud. Malah, ada kenyataan bahawa Rang Undang-undang tentang hudud akan dibentang di Parlimen September ini.

“Bagi saya, ia memberi kesan kepada pengundi dan banyak orang tidak menyokong rancangan itu. Ini mungkin telah menyebabkan undi protes terhadap Pakatan Rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam PRK Teluk Intan yang lalu, calon DAP Dyana Sofya Mohd Daud tewas kepada Datuk Mah Siew Keong dengan kekurangan 238 undi.

Analisis awal menunjukkan undi masyarakat Cina merosot sebanyak 15 peratus dan India 10 peratus, manakala undi Melayu meningkat 3 peratus.

Kata Ketua Biro Undang-undang DAP itu lagi, PRK Teluk Intan menunjukkan strategi politik dan visi sahaja tidak mencukupi, jika pendirian berhubung kepentingan awam dan isu semasa yang utama gagal dijelaskan.

“Saya yakin bahawa DAP membuat keputusan tepat dengan mencalonkan Dyana dan kita telah melakukan yang terbaik sepanjang kempen…Namun, strategi dan visi sahaja tidak menolak keperluan untuk menjelaskan pendirian tentang isu besar seperti hudud.

“Ramai yang menunjukkan keraguan untuk menyokong Pakatan, kerana ia turut menggambarkan sokongan kepada PAS dan pelaksanaan hudud.

“Akhirnya, faktor yang menentukan ialah kebolehan kita untuk memberi kesan dan inspirasi kepada rakyat. Isu yang memberikan dampak negatif seperti hudud perlu dirasai dan difahami menerusi kekalahan ini,” katanya lagi.

Menurut laporan The Star 15 Mei lalu, Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Abdullah menegaskan bahawa PAS tidak menghentikan perancangan untuk melaksanakan hudud di negeri itu dan mungkin akan membentangkannya di Parlimen September ini. – Roketkini.com