Wawancara

“Fokus calon, jangan hirau provokasi” – 10 minit bersama ‘bodyguard’ Dyana Sofya

oleh Aedi Asri

Suka atau tidak, calon DAP Dyana Sofya Mohd Daud dilayan seperti selebriti – diserbu orang ramai ke mana sahaja beliau berkempen. Namun, sepanjang tempoh kempen, tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku, walaupun tidak sedikit laporan mengenai samseng-samseng yang cuba mengganggu kempen. Keselamatan calon menjadi keutamaan.

Bagi menangani jadual kempen yang padat, petugas parti datang dari setiap negeri serta dibahagikan tugas khusus oleh Pusat Operasi. Soal keselamatan Dyana ditugaskan kepada DAP cawangan Derga yang membentuk pasukan sebanyak enam orang anggota, diketuai Timbalan Ketua Pemuda DAP Kedah Lim Zi Yang.

Saya sempat mencuri sedikit masa untuk berbual ketika mereka bersarapan pagi, usai program di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) San Min pada hari terakhir kempen.

Jangan hiraukan provokasi

“Fokus kepada Dyana, jangan hirau provokasi,” kata anggota pengawal Mohd Faizal Ridzuan Malek (dengan loghat Kedah pekat, tentunya) tentang ‘mantra’ yang menjadi pegangan sepanjang kempen.

Ia penting memandangkan tidak sedikit provokasi yang diterima pasukan kempen DAP, terutama ketika masuk ke kubu-kubu kuat Umno. Salah satu insiden adalah di Pasar Malam Rumah Awam, Kampung Padang Tembak, yang turut disertai tokoh DAP Lim Kit Siang.

Dari kiri: Mohd Isa bin Abdul Rahman, Lim Zi Yang, Mohd Faizal Ridzuan Malek, Wan Saiful Baharin bin Wan Din dan Ghafur Syukur.

Dari kiri: Mohd Isa bin Abdul Rahman, Lim Zi Yang, Mohd Faizal Ridzuan Malek, Wan Saiful Baharin bin Wan Din dan Ghafur Syukur.

Ketika itu, Dyana dihalau oleh sekumpulan pemuda yang mengenakan pakaian berlogo BN. Mereka turut menghala ekzos motosikal kepada beliau.

“Kita cuba untuk elak daripada konfrontasi dengan ‘depa’ (samseng). Kita bukan orang tempatan, pada masa sama tidak mahu orang ramai pandang serong, seterusnya menjejaskan peluang DAP dan Pakatan,” kata seorang lagi anggota, Norhayani binti Jusoh.

“Tugas kami untuk ikut calon, juga untuk merayu undi. Jadi, tak boleh garang sangat. Sama juga ketika ramai yang berebut untuk mengambil gambar atau bersalam dengan Dyana. Kami akan cakap baik-baik – ‘tolong buka jalan’,” tambah Lim.

Kata Norhanyani lagi, mereka turut menerima tempias serangan ‘pengkhianat’ dan ‘barua’ yang dihala kepada Dyana, sepanjang percubaan menembusi kubu-kubu Umno itu.

Di Kedah, kenapa DAP?

Perihal sekumpulan anak muda Melayu ini yang memilih DAP menimbulkan rasa ingin tahu. Kedah adalah antara negeri yang paling banyak penduduk Melayu dan agak konservatif dalam beragama. Secara tradisi, mereka menimbangkan dua pilihan jika ingin menyertai parti politik – PAS atau Umno.

Mengakui hakikat itu, Mohd Isa Abdul Rahman berkata, penyertaan Melayu di negeri itu sememangnya baik, walaupun masih belum dianggap satu kebiasaan.

“Nak kata ramai sangat taklah, tapi memang baik. Kita dalam peringkat untuk tarik orang muda mendalami DAP. Kita tak mahu ‘depa’ masih kata kita ni komunis, misalnya. Kita nak mereka lebih faham prinsip DAP, seterusnya Pakatan Rakyat,” katanya.

Norhayani setia disisi Dyana sepanjang kempen

Norhayani setia disisi Dyana sepanjang kempen

Bagi Norhayani pula, DAP memikatnya berikutan dasarnya yang menerima semua kaum serta reputasi yang baik dalam pentadbiran, baik dalam parti atau negeri di bawahnya.

“Pandangan DAP lain daripada yang lain. Saya berminat sebab di dalamnya pelbagai, kita bersama-sama masyarakat bukan-Islam yang lain. Begitu juga dengan sistem pentadbiran dan prestasi yang ditunjukkan.

“Lebih menarik, (pemimpin) DAP ‘low profile’, tak kekok bercampur dengan semua (lapisan masyarakat),” katanya yang menyertai parti itu tahun lalu.

Di Derga, mereka aktif menyertai dan menganjurkan program kemasyarakatan, antaranya dialog bersama penduduk kampung serta menyampaikan sumbangan kepada golongan orang kurang upaya (OKU) dan warga emas yang dibuat sekurang-kurangnya sekali sebulan.

Tembus kubu Umno

Pada hari terakhir kempen, selepas dua minggu berpenat-lelah, tentulah mereka mengharapkan kemenangan pada Pilihanraya Kecil (PRK) itu.

“Generasi muda perlu masuk ke Parlimen. Kita tidak mahu seperti Lee Chong Wei, negara masih bergantung harap kepada beliau yang sudah berusia. Pemain ‘single’ kedua dan ketiga pula tidak mampu ambil alih. Ini masalah sistem, sama seperti politik negara juga,” kata Lim.

(Kebetulan, kekecewaan akibat kekalahan skuad badminton kepada pasukan Jepun dalam Piala Thomas masih terasa).

Kita semua tahu, DAP gagal menabalkan Ahli Parlimen wanita Melayu pertama ke Dewan Rakyat. Namun kita juga tahu, DAP berjaya membuang tembok yang dibina BN untuk menjauhkan orang Melayu daripadanya. – Roketkini.com