Berita

Program anti-Kristian di UiTM: Uthaya dipanggil beri keterangan tambahan

SHAH ALAM, 7 JUN: Sasterawan pejuang Bahasa Malaysia Uthaya Sankar SB telah dipanggil untuk kali kedua oleh pihak polis bagi memberi keterangan tambahan berkaitan Seminar Kalimah Allah dan Kristologi Nusantara di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, 6 Mei lalu.

Uthaya dan rakannya Perzeus James, seorang pensyarah, bagaimanapun ditanya dengan soalan-soalan yang sama seperti sebelum ini.

“Kami datang kerana diminta hadir memberikan jawapan bagi beberapa soalan tambahan. Dengan itu, apabila kami ditanya semula soalan seperti ‘mengapa kami tidak puas hati dengan seminar di UiTM pada 6 Mei 2014,’ kami meminta supaya jawapan kami dalam kenyataan pada 16 Mei 2014 dirujuk semula kerana jawapan kami tetap sama,” jelas Uthaya dalam satu kenyataan bersama selepas memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, tengah hari tadi.

Kedua-dua mereka sekali lagi menegaskan bahawa pihak polis wajib menjalankan siasatan terperinci terhadap penganjur, penceramah serta semua pihak yang terlibat dalam penganjuran berkenaan.

“Pegawai Penyiasat Jenayah Inspektor Rohaini Baharom mengesahkan kepada peguam kami Annou Xavier bahawa kertas siasatan sudah dibuka. Maknanya siasatan sudah dimulakan.

“Siasatan terperinci perlu dilakukan dan tindakan sewajarnya harus diambil bagi memastikan kes sama tidak berulang.

“Jika dibiarkan, seminar seumpama ini akan diteruskan pihak tidak bertanggungjawab tanpa mengambil kira sensitiviti agama, ketenteraman awam dan keselamatan negara,” kata Uthaya.

Menurut mereka, walaupun kes telah sebulan berlalu, ia tidak boleh dilupakan begitu saja tanpa sebarang siasatan dan tindakan dikenakan.

“Kami membuat laporan polis (8 Mei 2014) serta tampil memberi keterangan (16 Mei 2014) bagi membantu siasatan IPD kerana seminar berkenaan memperlekeh, menghina dan memfitnah agama serta penganut agama bukan Muslim.

“Kami tidak dimaklumkan di bawah seksyen mana siasatan sedang dilakukan. Apa yang pasti, pegawai penyiasat mengesahkan kepada peguam kami bahawa kes sedang siasat.

“Nasihat dari peguam dan semakan perkembangan kes akan terus dibuat dengan pihak IPD,” tegasnya.

Mereka turut berharap pihak media akan memberikan kerjasama dengan membuat liputan perkembangan dari semasa ke semasa supaya masyarakat berpeluang mengingati kes penting ini. -Roketkini.com