Wawancara

Superman is Dead – melawan dengan muzik

oleh Zulhabri Supian

JRX atau nama sebenarnya I Gede Ari Astina adalah salah satu personel band asal Bali, Superman Is Dead (SID). JRX lahir di Kuta yang terkenal dengan garis pantai yang panjang dan keliaran malam harinya. Belakangan, Bali semakin terkenal di kalangan pelancong Malaysia dengan tingkat kunjungan yang meningkat dari tahun ke tahun. Sedang mereka menikmati indahnya Bali dengan pantai peribadi di kompleks hotel berbintang lima di Nusa Dua atau mengeluh dikejar penjual cenderamata di Kintamani, Bali sedang bergejolak. Meski demikian gejolak itu tidak dirasai para pelancong kerana karakter khas masyarakat Bali yang telah dikondisikan untuk bersikap ramah-tamah dan menutup sisi hitam tempat ini. Seorang JRX melawan semua itu. JRX dan SID ikut bergabung dalam Forum Rakyat Bali Tolak Reklamasi (ForBALI) menyuarakan penolakan terhadap rencana reklamasi di Teluk Benoa. Saya bersama rakan aktivis Bali, Gde Putra sempat mencuri waktu JRX yang maha sibuk mewakili dirinya dan juga SID untuk bertanya beberapa hal terkait peranan pemuzik/band sebagai agen perubahan.

Pertanyaan awal, apa yang membuatkan anda memainkan muzik punk?

Jadi awal mula saya tertarik memainkan muzik punk rock itu sekitar tahun 95. Sederhana sekali alasannya, kerana sedar kekurangan skil muzik saya. Saya tidak boleh bermain heavy metal dan reggae. Waktu itu di Bali reggae sedang meletup. Reggae dan metal pada waktu itu sedang menjadi muzik yang paling banyak pengikutnya. Lantas saya memilih punk rock kerana kekurangan tersebut. Alasan kedua kerana saya melihat di lirik-lirik punk rock itu seperti ada yang dilawan. Tapi yang jelas ketika saya mendengarkan punk rock ada rasa perlawanan, dan memainkannya tidak perlu skil tinggi. Saya merasa ini dia muzik yang saya cari dari dulu.

Apa yang anda lawan pada zaman itu? Pada awal menjadi pemuzik itu perlawanan seperti apa?

Tahun 1995 itu sebelum era reformasi, jadi saya atau SID belum terlalu terbuka cakrawala kami terhadap politik atau hal-hal semacam itu. Jadi kami lebih melawan dengan cara, misalnya, minum arak di tempat-tempat yang dilarang seperti di pintu masuk mal. Sifatnya lebih merosak diri sendiri, memakai ubat-ubatan, minum arak berlebihan dan sebagainya.

Itu dulu, sekarang saya lihat semenjak wujudnya ForBALI, muncul banyak pemuzik/band kritis di Bali seperti Geekssmile, Nosstress, SID, Goldvoice dan banyak lagi. Saya ingin tahu dari anda kenapa agen perubahan sekarang muncul dari kelompok pemuzik? Pada tahun 1998, mahasiswa yang muncul ke depan, mengapa sekarang pemuzik pula?

Menurut saya, mungkin secara tidak langsung bersinggungan dengan era internet terutama media sosial. Aktivis rata-rata mereka tidak terlalu aktif di media sosial seperti Facebook dan Twitter. Mereka tidak terlatih dan pengikut mereka juga sedikit. Ini teori saya peribadi, mungkin itu yang mempengaruhi kenapa pemuzik lebih banyak yang arahnya malah menjadi agen perubahan. Kerana mereka secara tidak langsung melihat “saya punya kekuatan walaupun kecil gitu lho.” “Saya ini, ketika berdiri di atas panggung yang mendengarkan saya, mikrofon saya ini didengarkan oleh ribuan telinga, dan ketika saya berbicara apa pun, mendukung gerakan apa pun, di media sosial saya didengarkan sekian ribu peminat saya.” Sebahagian pemuzik di Bali ini punya kesedaran baru kalau bermuzik itu bukan sekadar menghibur. Mereka punya perspektif baru, “Wah ternyata kita bermain muzik itu bukan hanya menghibur tetapi lebih besar daripada menghibur. Kita ini, kalau kita mahu, kita boleh menciptakan perubahan kecil.” Perubahan-perubahan kecil itu nantinya mampu menjadi perubahan besar. Beberapa pemuzik ini memilih untuk tidak sekadar menghibur tetapi juga memberi pendidikan dan mencerdaskan penggemarnya.

Atau apakah ini juga cara orang Bali untuk protes? Bukankah orang Bali selama ini ditekan oleh dunia pelancongan yang memaksa mereka murah dengan senyuman?

Betul.

Protes pun tidak boleh direct. Harus menggunakan bahasa seni seperti patung ogoh-ogoh (diarak pada malam sebelum Hari Raya Nyepi), apa pandangan anda?

Secara tidak langsung mungkin ya. Masuk akal juga alasannya, contohnya, yang mendukung gerakan untuk menolak reklamasi banyak sekali di media sosial tetapi ketika kita turun ke jalan sepi sekali yang datang. Dari media sosial saya sering sekali mendapatkan pesan seperti “Kami dari Tabanan, kami sangat mendukung perjuangan anda, tapi kami tidak bisa ikut turun ke jalan.” Jadi, mungkin itu. Orang Bali itu memang tidak terbiasa untuk turun ke jalan dan mereka menyampaikan aspirasi mereka kepada pemuzik.

Saya juga lihat orang Bali kritis dengan bahasa seninya.

Iya, seperti itu.

Lihat saja ogoh-ogoh, banyak ogoh-ogoh punk.

Terwakilkan! Mungkin dengan melihat beberapa pemuzik meneriakkan aspirasi yang mereka rasakan, mereka sudah merasa cukup. “Kan sudah pemuzik yang teriak, ya pokoknya saya dukung dari jauh” – begitulah modelnya. Banyak yang seperti itu, “Saya dukung anda, saya dukung”.

Bagaimana SID menjalankan tanggungjawabnya sebagai agen perubahan?

Contoh paling mudah dalam gerakan Bali Tolak Reklamasi ini banyak sekali Outsider (penggemar SID) di luar Bali yang mendukung sampai membuat petisyen. Sangat mendukung hingga mereka membeli merchandise dan segala macam. Tapi saya berkali-kali mengingatkan mereka, “tolong kalian seperti ini jangan sampai lupa akan isu-isu yang terjadi di rumah kalian sendiri.” Mereka berasal dari setiap tempat. Kami sangat percaya setiap tempat di Indonesia itu pasti ada yang namanya penguasa rakus, ada yang namanya pelabur curang. Saya berharap ketika Outsider ini mendukung apa pun yang dilakukan SID di Bali, mereka juga tidak pernah lupa bahawa mereka mesti menanggapi persekitaran mereka. Itu sebenarnya matlamat utama, kita ingin semua Outsider itu sedar bahawa setiap kerakusan dan kecurangan itu mesti dilawan. Tidak harus menunggu SID yang melawan kerana kalian juga boleh.

Pertanyaan terakhir, apa yang membezakan punk pada zaman Orde Baru dan punk pasca Orde Baru?

Kerana punk itu seiring dengan perjalanan waktu, makin banyak sub-genrenya – ada Anarcho Punk, ada Skate Punk, ada Surf Punk, ada Rockabily Punk, ada Rock And Roll Punk. Ya, banyak sekali! Makanya saya juga susah mendefinisikan. Tapi yang jelas sebelum Orde Baru, di Indonesia lebih cenderung ke Anarcho kalau saya lihat. Justeru setelah Reformasi mulai banyak sub-genre seperti Pop Punk. Sebelum zaman Reformasi Punk, Taring Padi di Jogja dan Taring Babi di Jakarta yang paling menonjol. Mereka memang benar-benar ada yang dilawan, terus jelas musuhnya siapa.

Laman web ForBali – http://www.forbali.org

Lagu Bali Tolak Reklamasi – http://www.youtube.com/watch?v=m62Ha35mQ-Y  -Roketkini.com

-Zulhabri Supian