Wawancara

Hannah – Speaker Wanita Pertama (Bahagian I)

Beliau wanita pertama yang dipertanggungjawabkan sebagai speaker Dewan Negeri Selangor. Setelah lima tahun terjun dalam arena politik dan menjadi suara rakyat Subang Jaya, Hannah Yeoh kini menjadi ikon politisi wanita tanah air, sebaris dengan tokoh-tokoh wanita negara yang telah berkhidmat demi kebaikan anak watan.

Hannah meninggalkan kerjaya peguamnya demi mencari haluan yang lebih memberi makna kepada hidupnya. Sebagai seorang Kristian yang taat beragama, wanita ini bingkas sahaja menyahut seruan untuk membangun sebuah negara yang adil dan peduli kepada setiap keluh kesah masyarakat.

Pada usia 29 tahun dan baru sahaja mendirikan rumah tangga, Hannah barangkali tidak menyangka pun bahawa kiprahnya secara runcit-runcit di majlis-majlis parti menyediakan makan minum bakal melonjakkan kerjaya politiknya yang hari ini menjadi bualan orang ramai setelah ia menerima usul pembangkang negeri Selangor untuk membahaskan perihal pelaksanaan hukum hudud di negeri Pakatan Rakyat itu.

“Apabila saya diberitahu untuk bersedia bagi menghadapi pilihanraya, saya cuma ada dua minggu untuk mempersiapkan diri,” ujarnya ketika diwawancara di pejabat speaker DUN Selangor.

Waktu itu katanya beliau baru sahaja menikah. “Saya berkahwin pada bulan Januari, dan Februari saya sudah diminta untuk bertanding.”

hannah2Katanya beliau mengambil sedikit masa untuk menyelesaikan konflik dalaman ketika baru-baru sahaja menang dalam tsunami politik Mac 2008 yang menyaksikan Selangor turut tumbang dan diambil alih oleh kerajaan Pakatan Rakyat. Baginya, tsunami tersebut tidak dijangka dan agak mengejutkan, selain melahirkan keterujaan maha hebat.

“Tugasan dan harapan yang dipikul oleh wakil-wakil rakyat Pakatan Rakyat waktu itu sangat luar biasa,” katanya, menceritakan bagaimana beliau sedikit bergelut dengan pencarian diri dan menjawab sama ada dirinya benar-benar bersedia untuk sebuah kehidupan yang pastinya jauh berbeza daripada kebiasaan sehari-hari sebelum ini.

Masyarakat dan pengundi Subang Jaya pada waktu itu masih lagi melihat para wakil rakyat tidak jauh beza daripada ahli-ahli majlis yang menguruskan hal parit tersumbat dan lampu jalan meletup. Hannah, meski tidak punya ilmu banyak tentang tugas-tugas ahli majlis tenang-tenang sahaja melayani keperluan kawasannya.

Namun cabaran kecil-kecilan seperti hal-hal kewangan dan kekangannya dalam aspek pelaksanaan aktiviti, program kawasan kini tidak lagi menjadi kendala besar bagi wanita ini.

Hannah melihat politik sebagai satu cara untuk berkhidmat kepada rakyat, tidak lebih dari itu. Kerana baginya, pada awal waktu ia graduasi, beliau dan ramai lagi rakan sebaya merasakan bahawa wujud satu kelompangan besar dalam negara, namun kelompangan itu tidak pula mahu diisi dengan tenaga dan idealisme anak muda.

Ditanya kenapa beliau tidak pergi sahaja meninggalkan negara ini, katanya beliau pernah memasang niat. Namun pada zaman 2003, tidak ada suasana seperti yang sedang dirasakan sekarang.

“Saya masih ingat membaca berita penyerahan kuasa Perdana Menteri kepada Pak Lah oleh Mahathir,” katanya. Beliau pada waktu itu mempunyai reaksi biasa-biasa sahaja. Ini katanya kerana beliau membesar dengan membaca akhbar berbahasa Inggeris yang dimiliki parti komponen Barisan Nasional.

“Jadi saya memang peminat Mahathir pada waktu itu,” katanya tersipu-sipu, sebelum akhirnya mendapat pencerahan setelah melihat bagaimana anak muda sekaliannya dihujani pelbagai masalah ekonomi yang memaksa mereka untuk membeli kenderaan dan kemudian terpaksa pula berhutang dan berbelanja untuk petrol dan sebagainya daripada gaji kecil yang diterima selepas graduasi.

“Ini yang mencetuskan rasa tidak selesa dan membuat saya bertanya-tanya tentang apa yang tidak kena dengan negara ini,” jelas ibu kepada dua anak ini.

Kenapa pula masuk DAP?

hannah5Baginya DAP tidak mengehadkan sesiapa untuk menyertai parti hanya disebabkan keturunan dan warna kulit. “Ada tempat untuk semua orang dalam parti ini,” tambahnya.

Sebagai speaker wanita pertama dalam sejarah, Hannah memikul beban yang berat selain harapan dan jangkaan orang ramai tentang kemampuannya melaksanakan tugas tersebut dengan baik.

“Ini peluang yang baik untuk menjadi ‘role model’ kepada wanita muda,” ujarnya yang menyifatkan amanah dan tugas yang diberikan kepadanya sangat memberdayakan wanita. Sekiranya DAP tidak yakin dan memberi ruang untuk memecahkan siling kaca dan memberikan kekuatan kepada para pemimpin wanita, sejarah yang dilakarnya sekarang pastinya tidak mungkin terjadi.

Sebagai speaker wanita, Hannah merasakan tahap kesabarannya amat tinggi sekali. “Tidak mudah untuk buat saya menyampah dan naik angin,” ujarnya berseloroh. “Jadi contohnya kalau ada yang cuba buat kecoh di dewan dengan harapan supaya dihalau keluar, bukan mudah untuk membuat saya hilang sabar,” tambahnya.

Ditanya tentang speaker jenis yang bagaimanakah Hannah Yeoh ini, beliau memberitahu bahawa yang penting ialah untuk bertindak adil dan tidak berat sebelah. Ini ertinya memberi banyak ruang kepada pihak pembangkang untuk berhujah dan bertanyakan soalan.

“Saya memahami cabaran yang dihadapi ramai kawan-kawan ahli parlimen Pakatan Rakyat yang sering tidak mendapat ruang untuk bersuara. Jadi di DUN Selangor saya ingin pastikan bahawa pihak pembangkang dilindungi,” ujarnya.

12 ADUN pembangkang di Selangor, mereka sewajarnya diberikan masa secukupnya untuk berucap dan berbahas.

“Itulah yang saya buat di dalam Dewan. Ada masanya saya sendiri akan bertanya dan meminta pembangkang DUN Selangor untuk berbahas dan memberikan hujah,” tambahnya.

Hannah juga turut pernah mengizinkan sebuah usul tergempar dari pihak pembangkang DUN Selangor untuk dibahaskan, dan mengesampingkan hal-hal lain untuk memberi laluan kepada usul tersebut. “Saya tidak menolak usul anda hanya kerana anda pembangkang dan anggota BN,” katanya.

Ikuti Bahagian 2 – Selangor, kini dan akan datang di bawah lembayung Pakatan.