Berita

DAP pertahan Rayer, ‘UMNO Celaka’ tidak diulang di luar DUN

KUALA LUMPUR, 18 JUN – DAP akan tetap mempertahankan Adun Seri Delima RSN Rayer yang bakal dituduh di bawah Akta Hasutan kerana didakwa menyebut kata-kata ‘Umno Celaka’.

Parti berpendirian bahawa pertuduhan terhadap beliau berikutan kenyataan yang dibuat di dalam sidang Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang adalah salah dan sekadar usaha Umno untuk membalas dendam politik.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dalam kenyataannya petang tadi melahirkan rasa terkejut dengan pendakwaan ke atas Rayer yang ketika ini ditahan polis dan menanti jaminan.

“Rayer telah menegaskan bahawa beliau tidak mengulangi apa yang disebutnya di luar Dewan.

“Oleh itu pertuduhan menghasut terhadap Rayer ini bukan sahaja bermotifkan politik tetapi juga menunjukkan bahawa Peguam Negara menjalankan dasar bilih bulu dan melakukan pendakwaan terpilih,” tegas Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang.

Menurut beliau, tindakan mendakwa seseorang berdasarkan kenyataan yang dibuat dalam Dewan boleh dianggap sebagai menghina sistem demokrasi berparlimen serta kesucian Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang sebagai lembaga tertinggi di negeri tersebut.

Belum pernah mana-mana wakil rakyat ditahan dan didakwa di bawah Akta Hasutan kerana menghina parti politik lain dalam Parlimen atau Dewan Undangan Negeri.

“Wakil rakyat menikmati kekebalan undang-undang, kecuali jika mereka mempersoalkan hak, status, kedudukan, keistimewaan dan kedaulatan perkara-perkara yang diperuntukkan dalam Perkara 152, 153 atau 181 Perlembagaan Persekutuan,” jelas beliau lagi.

Menurutnya lagi tindakan mendakwa Rayer di atas kenyataan beliau, walhal Speaker DUN Pulau Pinang sendiri pun tidak mengarahkannya menarik semula kata-kata tersebut adalah tindakan balas dendam politik Umno terhadap DAP.

“Tidak ada tindakan pun diambil terhadap samseng-samseng Umno yang merusuh di ibu pejabat DAP di Kuala Lumpur dan pejabat DAP Kuantan,” ujarnya.

22 Mei lalu lebih 50 orang samseng Pemuda Umno diketuai Mohd Razlan Muhamad Rafi merusuh di ibu pejabat DAP, serta mengugut mahu membakar bangunan tersebut.

“Ingat, sekali lagi saya dengar anda hina parti, saya akan bakar bangunan ini,”

“Kalau mereka boleh kata kita celaka, apa salahnya kalau kita bakar bangunan ini,” jerit Mohd Razlan dan disambut sorakan peserta lain.

Sehari sebelum itu segerombolan samseng Umno merempuh masuk ke bangunan DUN Pulau Pinang setelah Rayer dilaporkan mengatakan ‘Celaka Umno’ terhadap pemimpin-pemimpin parti tersebut yang kerap kali mengulang ugutan tragedi 13 Mei.

Sehingga hari ini, tiada sebarang tindakan diambil terhadap pihak yang merusuh itu. – Roketkini.com