Rencana

Bola sepak, Politik dan Masa Depan Sabah & Sarawak (Bahagian 2)

Oleh Ahmad Tajuddin Abdullah

Menjelang 50 tahun Perjanjian Malaysia 1963 yang mengikat persaudaraan antara Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak membentuk Persekutuan Malaysia, semakin banyak suara yang berbunyi agar perjanjian tersebut disemak semula, malah diberi penilaian semula agar kelemahan yang ada dapat diatasi.

Mengimbau Bahagian I penulisan ini, penulis cuba membawa pembaca memahami isu masa depan Sabah dan Sarawak dengan konteks yang sama, yang kini sedang dihadapi oleh warga Scotland dan Catalonia. Perbincangan dalam Bahagian II ini tidak lagi membawakan semangat bola sepak sebagai subjek utama sepertimana yang lepas.

Jika Scotland boleh bersama dengan gabungan bersekutu kerajaan United Kingdom di bawah naungan seorang Permaisuri melalui Treaty of Union, dan Catalonia diikat dalam kerajaan di bawah naungan Raja Sepanyol dengan keberadaan perjanjian yang nampak mulus dalam Nueva Planta decrees, begitulah Sabah dan Sarawak ketika Tunku Abdul Rahman mula-mula mengusulkan idea penggabungan ini.

Adakah kerajaan Persekutuan berlaku adil terhadap Sabah & Sarawak?

Tahun 2010, Sabah merupakan negeri termiskin, mengatasi Kelantan untuk berada di kedudukan tercorot dengan pertumbuhan KDNK hanya sekitar 2.4%. Jiran Sabah, Sarawak, menunjukkan prestasi yang agak memberangsangkan apabila mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang lebih besar dan mengatasi banyak negeri di Semenanjung.

Laporan Pendapatan Isi Rumah & Kadar Kemiskinan yang dikeluarkan oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU) menunjukkan Sabah mencatatkan peratusan kemiskinan yang begitu tinggi, malah berganda berbanding negeri-negeri lain. Begitu juga Sarawak. Dalam soal kemiskinan tegar, data begitu menyedihkan datang dari negeri Sabah.

Jika kita menilai dari sudut sumbangan ekonomi Sabah dan Sarawak terhadap Malaysia, sudah tentu mereka juara dalam banyak sektor terutamanya sektor tenaga, gas dan minyak. Itu belum lagi diambil kira sumbangan sektor perlombongan dan pertanian.

Mengikut logik ini, sewajarnya Sabah dan Sarawak menjadi negeri termakmur dalam tempoh 50 tahun selepas perjanjian ditandatangani. Ketidakseimbangan pengagihan kekayaan antara negeri dalam Persekutuan Malaysian menyebabkan jurang ketidakadilan semakin membesar. Secara langsung ini memberi kesan buruk kepada perkembangan masyarakat dalam pelbagai sektor sosial termasuklah pendidikan, kesihatan, kemiskinan, peluang pekerjaan dan sebagainya.

Walaupun Sabah dan Sarawak penyumbang terbesar GDP dalam sektor gas dan minyak, kedua-dua negeri tersebut paling corot dari segi bilangan sekolah yang dibina dan guru yang dilantik. Itu belum dikira dari segi bilangan universiti yang tidak sepadan dengan jumlah penduduk di kedua-dua negeri terbesar itu.

Laporan Statistik Pendidikan Malaysia yang dikeluarkan sendiri oleh Kementerian Pendidikan menunjukkan kedua-dua negeri ini jauh ketinggalan berbanding rakan-rakan mereka dari segenap data yang diunjurkan, termasuklah bilangan sekolah, tenaga pengajar dan kadar kehadiran ke sekolah.

Itu dalam soal pendidikan, belum lagi dibicarakan tentang kemiskinan. Hakikatnya, kemiskinan menjadi faktor yang menyebabkan angka-angka buruk di atas semakin membesar. Sabah dan Sarawak juga terrgolong dalam kumpulan negeri yang mempunyai purata pendapatan isi rumah yang rendah (negeri-negeri lain ialah Terengganu, Perlis, Kedah dan Perak).

Jadi bagaimana mahu menilai kaitan antara sumbangan negeri-negeri Malaysia Timur terhadap pertumbuhan ekonomi negara dan keadaan sosio-ekonomi tempatan yang tidak mencerminkan angka-angka yang dikeluarkan?

Kalau kita melawat sendiri pendalaman Sabah dan Sarawak, mungkin kita dapat menyaksikan data-data tahunan yang dikeluarkan oleh jabatan-jabatan kerajaan diterjemahkan dalam realiti. Ketika itu, barulah kita mahu mengakui hakikat bahawa Putrajaya tidak pernah cuba melayan Sabah dan Sarawak sesuai dengan sumbangan mereka terhadap negara selama ini.

Adakah Sabah dan Sarawak bakal menurut kisah Scotland dan Catalonia?

Tinjauan ringkas di atas menunjukkan bahawa nasib Sabah dan Sarawak tidak ubah seperti yang dihadapi oleh Scotland dan Catalonia. Mengulangi frasa dari bahagian pertama artikel ini: Mereka memberi banyak, namun pulangannya sedikit.

Mutakhir ini, menjelang 50 tahun pembentukan Malaysia, mula kedengaran suara yang membangkitkan beberapa isu berkaitan, antaranya supaya Perjanjian Malaysia 1963 dikaji semula, atau dibuat penilaian semula agar masalah yang sedang dihadapi sekarang boleh diatasi dengan segera.

Daripada pengamatan ini, mungkin nasihat paling berguna boleh diberikan kepada kerajaan persekutuan yang saban tahun menerima berbilion ringgit hasil kekayaan minyak dan gas bumi Sabah dan Sarawak ialah supaya merendahkan ego dan menyoroti sisi ini sebelum terlambat – dalam ertikata lain, kembali menginsafi bahawa Sabah dan Sarawak berhak, malah jauh lebih berhak untuk mendapatkan sebutir mentol bagi menerangi jalan-jalan mereka berbanding menghiasi sebatang jambatan di Putrajaya dengan deretan tiang lampu.

Malah tidak keterlaluan untuk meminta kerajaan persekutuan mengagihkan kekayaan negara dengan lebih adil, memberi segala peluang yang wujud di Semenanjung sama kepada saudara-saudara di Sabah dan Sarawak dari sudut kemudahan prasarana asas, iaitu sekolah, hospital, elektrik, bekalan air bersih dan jalan darat yang selamat dan selesa.

Dalam Forum “Perjanjian Malaysia 1963” di Kuala Lumpur baru-baru ini, nada forum semuanya selari dengan apa yang telah diutarakan di sini. Cadangan supaya dilantik Timbalan Perdana Menteri dari kalangan ahli parlimen Sabah dan Sarawak begitu wajar untuk diperhalusi, dengan faktor yang paling jelas ialah populasi Sabah dan Sarawak begitu ketara berbanding Semenanjung.

Malah dalam forum tersebut, ADUN Bingkor Datuk Jeffrey Kitingan langsung tidak teragak-agak menyuarakan hasrat rakyat Malaysia Timur untuk melakukan bantahan besar-besaran jikalau keadaan sekarang tidak dipandang serius oleh kerajaan Persekutuan. Adakah ini dianggap pengkhianatan atau cubaan untuk menggulingkan kerajaan?

Jikalau ada yang beranggapan begitu, atau dengan tidak segan-silu menuduh Datuk Jeffrey dengan tohmahan yang mencela, sedarlah bahawa anda pada hakikatnya bersekongkol dengan ketidakadilan yang berlaku di depan mata.

Pembahagian kekayaan negara haruslah adil dan sama rata. Hasrat murni demokrasi itu sendiri bukan hanya bergantung pada hak mengundi setiap warganegara, tetapi juga peluang sama rata. Soalnya, adakah Sabah dan Sarawak mendapat apa yang sewajarnya mereka peroleh?

Menjawab logik dangkal

Sekelompok rakyat Semenanjung beriman bahawa jikalau Sabah dan Sarawak diberi sepenuhnya segala kemudahan dan royalti, mereka akan berusaha untuk keluar dari Persekutuan Malaysia. Malah, mereka turut mengatakan jikalau Kelantan mendapat royalti penuh, negeri Cik Siti Wan Kembang itu turut akan keluar dari Malaysia. Logik apakah ini?

Kelompok begini kelihatan takut dengan bayang-bayang sendiri. Persoalan utamanya, bagaimana mereka boleh terpengaruh atau percaya dengan logik sebegini?

Tidak pernah dalam naratif sejarah, berlakunya peristiwa di mana pihak yang dilayan dengan adil bangkit memberontak dan menuntut hak mereka untuk dilayan sama rata atau keluar daripada perjanjian. Banyak negeri-negeri di bawah naungan kerajaan Rom era kegemilangan mereka 100 tahun sebelum Masihi sehinggalah 400 tahun selepas Masihi memberontak, bangkit memerangi penaung mereka, kerana Rom berlaku tidak adil terhadap mereka.

Mereka yang percaya dengan logik ini juga boleh merajinkan diri mengkaji persoalan mengapa Quebec mahu merdeka daripada naungan Kanada, dan mengapa Kurdistan mahu merdeka daripada Turki, dan mengapa Kashmir begitu mahukan kemerdekaan daripada naungan Pakistan (walaupun semua kes ini bukanlah disebabkan faktor pengagihan ekonomi semata-mata).

Sudah pasti selaku rakyat Malaysia, kita tidak mahu menyaksikan kisah menuntut kemerdekaan Scotland dan Catalonia berulang di tanahair tercinta ini. Sudah semestinya sebagai warganegara Malaysia, kita mahu melihat negara ini terus berkembang maju, makmur, dan adil kepada segenap masyarakatnya tanpa ada sikap pilih kasih.

Jikalau Sabah dan Sarawak mula bersuara, tidak mustahil babak-babak itu akan menjadi semakin menarik dan genting, akibat segala ketidakadilan yang dilakukan terhadap mereka. Maka siapa kita untuk menafikan hak dan hasrat mereka untuk dilayan sama rata?

Paling penting, siapa kita sebenar-benarnya untuk menghalang mereka dari bersuara, menyatakan ketidakpuasan hati terhadap layanan kerajaan persekutuan berikan kepada mereka?

Jikalau September ini menjadi penentu kepada nasib Scotland sama ada akan terus dalam naungan United Kingdom atau sebaliknya, hal yang sama tidak mustahil untuk berlaku di negeri Sabah dan Sarawak. Apa yang membuatkan kita berbeza ialah tahap celik politik di kalangan rakyat Scotland berbanding rakyat Malaysia.

Sudah pasti apabila Sabah dan Sarawak mencapai tahap keterbukaan maklumat dan celik politik yang mencerahkan, keselesaan dan rasa senang duduk kerajaan yang berpusat di Putrajaya akan mula goyah.

Kisah Piala Dunia dan Brazil

Oleh yang demikian, nasihat mulus buat Putrajaya, buatlah pertimbangan yang wajar dan sorotan yang teliti terhadap perkembangan politik yang sedang berlaku di dunia luar Malaysia, kalau-kalau dari sana para pemegang kuasa ini boleh belajar satu atau dua pengajaran yang berguna. Dari situ, bolehlah dengan segera kita mula berfikir, apakah tindakan wajar untuk dilaksanakan bagi mengatasi masalah ketidakadilan ini.

Baiklah, mengambil semangat Piala Dunia, dan memang penulisan ini diberi tajuk bola sepak dan politik, penulis ingin mengajak pembaca menonton bola sambil memikirkan persoalan-persoalan ini dengan mendalam. Dalam kekalutan Brazil bermegah dengan Piala Dunianya, kita pun sedar ribuan rakyat mereka sendiri menjadi mangsa sebuah kerajaan yang mengejar kemegahan.

Dalam bahagian pertama rencana ini, diceritakan bagaimana bola sepak mempengaruhi kebangkitan atau survival sentimen nasionalis antara Catalan dan Spanish, dan Scottish dan English. Jika difikirkan secara mendalam, apa yang berlaku di bumi Brazil dan Eropah itu saling berkaitan. Sukan ini, yakni bola sepak, tidak dapat tidak hidupnya berselirat dengan politik.

Cuma yang menjadi penyejuk hati dalam tinjauan ringkas masa depan Sabah dan Sarawak ini, bola sepak masih belum berjaya menjadi kuasa yang mencetuskan semangat kenegerian yang memuncak. Mungkin satu faktornya, Putrajaya masih belum mampu menghantar pasukan bola sepaknya sendiri dalam Liga Super untuk bertembung dengan pasukan Sarawak. Mungkin jika hal ini berlaku kelak, kita akan dapat melihat luahan kekecewaan dalam perlawanan-perlawanan bola sepak. Mungkin, siapa tahu?