Budaya

Pusat Sekitar Seni: Sama seiring, sama sejalan

Oleh Zikri Rahman

Yang kita tahu, “Seiring dan Sejalan” itu lagu duet Sharifah Aini, yang waktu itu masih bergetah, dan Broery Marantika yang masih ligat menari. Mungkin sahaja tema besar untuk Pameran Seni “Sama Seiring, Sama Sejalan” ini hadir dari roh yang sama, selain hasil luapan cinta akan kerja-kerja pendidikan serta seni kemasyarakatan.

Pameran yang berlangsung dari tanggal 29 Mei hingga 2 Jun yang lalu di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor, Kuala Lumpur, mengumpulkan tonggak kolektif penggerak Pusat Sekitar Seni, Padang Jawa, iaitu sebuah ruang pusat mencetus idea, pemikiran kritis dan kreatif dalam mengangkat isu-isu setempat, khususnya perihal alam sekitar dan kemanusiaan.

Pusat Sekitar Seni, ruang untuk semua

Ruang kolektif Pusat Sekitar Seni dibuka untuk mengalakkan interaksi bersama bukan hanya dalam kalangan seniman tetapi juga dari pelbagai latarbelakang seperti aktivis sosial, penulis, pembikin filem dan mahasiswa antara lainnya.

Berpusat di Padang Jawa, Klang, di tengah-tengah arus pembangunan sekitar yang tidak terempang lagi, masyarakat setempat sekaligus mendambakan ruang ekspresi khususnya buat anak-anak kecil Kampung Padang Jawa yang ketandusan tempat bermain kerana ruang mereka ditelan pembangunan.

Atas kesedaran itu, Kolektif Tindakan Gerak Asuh (T.I.G.A) yang aktif dalam menyumbang ke arah pembangunan masyarakat dalam aktiviti kesenian seni telah membuka langkah meraikan komuniti membantu dalam perkembangan pendidikan serta pengetahuan dalam bidang Seni Lukis.

Turut berganding bahu adalah sebuah lagi kolektif, iaitu Buku Jalanan, yang berusaha mewujudkan ruang kegiatan dan bacaan awam melibatkan masyarakat tanpa ada birokrasi – dari pembaca untuk pembaca. Berdiri atas prinsip B.A.C.A (Books/Arts/Culture/Activism), acara Buku Jalanan berlangsung dua minggu sekali sejak 1 Oktober 2011 lagi.

Selain acara Buku Jalanan yang selang-seli diadakan di sini, sekumpulan mahasiswa Fakulti Undang-undang Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam turut menganjurkan Sekolah Undang-undang Rakyat untuk berkongsi nilai dalam Perlembagaan Negara kita.

Pada 23-31 Mac tahun lalu, untuk meraikan usaha seni setempat, dilangsungkan Padang Festival Seni Jalanan Padang Jawa 2013 dengan tujuan mengenengahkan mesej alam sekitar dan melibatkan masyarakat setempat.

Antara acara yang berlangsung adalah kelas seni, persembahan muzik, dan Malam Pesta Padang Jawa yang menampilkan persembahan masyarakat berbilang kaum serta disertai puluhan artis berbagai disiplin, dari seni lukis hinggalah muzik. Anak anak Padang Jawa turut berkunjung ke rumah rumah ibadat yang ada di Padang Jawa untuk meraikan rencam budaya dan agama di sini.

Dalam tahun yang sama, berlangsung Projek Seni Population : In Or Out yang digagas berdasarkan projek lanjutan dari sebuah pameran hasil kerja usahasama Malaysia dan Indonesia di Survive Garage, Jogjakarta. Praktik ini melahirkan proses kreatif sebagai fenomena seni aktivisme antara artis Asia Tenggara.

Dalam projek ini, artis dari Malaysia dan Indonesia bertukar-tukar pendapat serta teknik, khususnya dalam menjayakan projek seni yang berlangsung selama seminggu dari tanggal 21 hingga 28 Disember 2013 ini.

Kolektif lain, iaitu Darkroom PSS, adalah sebuah kolektif yang berpusat di Pusat Sekitar Seni dan aktif membuat kerja-kerja seni jalanan seperti stensilan dan grafiti di sekitar Lembah Klang.

Selain itu, Darkroom PSS turut aktif membuat kerja percetakan baju secara independen serta turut menjayakan kelas mencetak baju secara percuma untuk remaja di Kampung Padang Jawa, bagi menyediakan mereka dengan kemahiran dan pengalaman.

Seni untuk semua

Bertitik-tolak dari lima buah kolektif yang menggerakkan Pusat Sekitar Seni, Padang Jawa ini, Pameran Seni “Sama Seiring, Sama Sejalan” berlangsung selama seminggu dengan beberapa acara dijalankan secara bersama.

Antara yang utama, selain pameran seni rentas budaya dan kaum oleh masyarakat Padang Jawa, antaranya perkongsian lukisan “kolam” dan instalasi, yang mencuri tumpuan adalah kelas stensil dan cetak baju yang dijalankan oleh Kolektif Darkroom PSS.

Selain itu, pada petang Sabtu diadakan forum berjudul “Seni – Tugas, Tujuan & Maksud”. Forum ini menampilkan panelis Pauline Fan (penulis, Pengarah PUSAKA & Penterjemah), Fahmi Reza (aktivis sosial, pereka grafik dan pembikin filem), Hasmi Hashim (penulis dan ahli politik) dan Saudara Yeoh Lian Heng (seniman dari kolektif Lost Gen) dan dipermudah bicara oleh Febriansyah (pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia).

Forum yang berlegar di sekitar fungsi seniman serta peranan ilmu seni ini membuka persoalan serta merungkai jawapan dalam meraikan jalur serta mazhab dalam aliran seni tanah air kita, khususnya antara panelis dan audiens yang mempunyai latar belakang yang luas.

Pada Ahad petangnya itu, “Bencana”, sebuah teater musikal anak anak Padang Jawa menjadi acara kemuncak Pameran Seni “Sama Seiring, Sama Sejalan”. Teater ini diwakili oleh lapan orang anak kecil serta barisan pemuzik yang berkugiran secara langsung.

Ini merupakan kali kedua persembahan Teater Musikal ini dipentaskan selepas pertama kali dijalankan di Pusat Sekitar Seni bersama sama komuniti Padang Jawa ketika acara seni Population : In Or Out tahun lalu.

Diiringi getar gitar, gesek biola, deru Didgeridoo serta tepuk ‘djembe’ dan ‘shaker’, anak anak kecil Padang Jawa semangat sekali membawa enam buah lagu yang digubah bersama, berjudul Sama Kenyang, Bahasa Wang, Sama Sama, Mari Menggambar, Lenggang Kangkung & Aku Burung.

Setiap lagu yang digubah itu menggaul sebati perihal suka-duka Kampung Padang Jawa yang dikelilingi oleh pembangunan – yang dipersoal oleh anak-anak kecil Padang Jawa ini sebagai “pembangunan untuk siapa?”

Pusat Sekitar Seni, pusat masyarakat setempat

Sedar tidak sedar, sudah lebih setahun Pusat Sekitar Seni menjadi ruang bermasyarakat dalam usaha mengakarkan budaya kolektivisme dengan fokus penglibatan masyarakat setempat dalam merancakkan seni dan budaya meraikan kehidupan.

Pusat Sekitar Seni sebagai sebuah pusat komuniti bergerak secara berdikari dan terbuka untuk semua pihak, khususnya bagi merancakkan lagi budaya seni di Malaysia. Dalam pada itu, Pusat Sekitar Seni, dalam usaha untuk mengekalkan ruang sedia ada, amat terbuka untuk menerima sumbangan ikhlas dari anak semua Bangsa Malaysia.

Akhir kata, sebarang maklumat serta maklum balas berkaitan acara di Pusat Sekitar Seni bolehlah dipanjangkan terus ke laman Facebook Pusat Sekitar Seni di sini.