Berita

“Kabinet ada MCA atau tidak, sama sahaja” – Lim Lip Eng

KUALA LUMPUR, 25 JUN: Penstrukturan semula Menteri Kabinet melibatkan lima pemimpin MCA tidak memberi sebarang makna kerana parti itu gagal menyuarakan hasrat masyarakat Cina di negara ini, kata Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng.

Lim dalam kenyatannya hari ini berkata, sama ada wujud atau tidak wakil MCA dalam barisan kabinet, tidak ada perbezaan.

“Yang perlu dipersoalkankan sekarang – apa yang boleh mereka lakukan. Apa bezanya sebuah kabinet yang ada wakil MCA dan kabinet yang tiada wakil MCA?, kata Lim sinis.

Bekas Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dalam satu kenyataan sebelum ini berkata, parti itu menolak sebarang jawatan dalam kerajaan ekoran pencapaian parti itu yang lemah dalam pilihan raya umum (PRU) ke-13.

Namun, pada Februari 2014 selepas pelantikan Datuk Seri Liow Tiong Lai sebagai presiden MCA dalam satu mesyuarat agung luar biasa (EGM), parti itu mengintai peluang untuk menjabat semula jawatan di peringkat pusat, negeri dan kerajaan tempatan.

Kata Lim, tidak ada sebarang hasil kerja yang boleh dibanggakan, malah tanpa sebarang petunjuk prestasi bagi mengabsahkan pelantikan lima pemimpin MCA ke dalam kabinet.

“Kabinet kerajaan minoriti Barisan Nasional terpaksa disusun semula. Selepas hanya satu tahun, Malaysia kembali ke petak mula? Apa sebabnya?. soalnya.

Tambahnya, penyusunan semula kabinet ini hanya untuk ‘memberi muka’ kepada MCA dan Gerakan yang gagal untuk kekal relevan pada PRU lalu.

Lim sebelum ini pernah meminta -pemimpin MCA yang begitu aktif di media sosial, terutamanya presidennya Datuk Seri Liow Tiong Lai untuk menawarkan lima janji kepada masyarakat Cina sebagai hujah penyertaan parti itu ke dalam kabinet.

“Permintaan ini tidak dijawab. Minggu lalu saya bertanya lagi dan kali ini saya kurangkan kepada tiga janji sahaja. Ini pun tidak dijawab. MCA kekal membisu.

“Apa janji MCA yang tidak boleh diusahakan sendiri oleh masyarakat Cina tanpa MCA? soal Lim.

Hari ini lima pemimpin MCA menyertai kabinet yang terdiri dari Datuk Seri Liow Tiong Lai (Menteri Pengangkutan), Datuk Wee Ka Siong (Menteri di JPM), Datuk Lee Chee Leong (Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa & Industri), Datuk Chua Tee Yong (Timbalan Menteri Kewangan) dan Datin Chew Mei Fun (Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga & Masyarakat)

Justeru kata Lim, pada hari bersejarah MCA menyertai semula kabinet, beliau sekali lagi meminta parti itu untuk menawarkan satu sahaja janji lagi kepada masyarakat Cina di Malaysia.

‘Saya secara spesifik menyebut ‘masyarakat Cina’ kerana kali terakhir saya periksa, MCA itu maksudnya ‘Malaysian Chinese Association’.

“Semua orang tahu bahawa MCA sebuah parti Cina yang ditolak masyarakat Cina tidak berfungsi sepanjang satu tahun lalu,” katanya.