Rencana

Syarahan moral sekitar Adik Firdaus

Oleh Ahmad Tajuddin Abdullah

Lagi sekali, usaha saya untuk mengelak dari memberi komentar mengenai isu yang sedang panas sekarang, iaitu mengenai nasib malang yang menimpa Adik Firdaus di Nilai, Seremban, gagal. Sebenarnya faktor untuk menulis ini bukanlah untuk berkomentar sangat mengenai nasib Adik Firdaus, kerana pasti sudah ribuan di luar sana yang sudah mengambil tugasan ini dengan jayanya.

Saya tertarik dengan isu ini pada sisi bagaimana masyarakat kita bersikap. Mudahnya, kita boleh menyimpulkan masyarakat Malaysia masih lagi punya rasa prihatin, tapi prihatin itu cuma sekadar di takuk simpati. Tidak lebih dari itu.

Kita tiada empati. Kita cuma ada simpati. Jadi tidak hairanlah bilamana terdedahnya tragedi begini, timbul ribuan golongan “Mohon share” dalam laman Facebook dan berantakan sekalian hero kebajikan masyarakat membela nasib Adik Firdaus.

Sudah tentu tidak salah untuk bersimpati. Sudah pasti itu lumrah atau kebiasaan untuk manusia yang normal, merasa geram dan marah dengan apa yang terjadi. Pada kita yang normal, yang tidak diberi apa-apa tugasan oleh Tuhan untuk menjalani pengalaman derita yang sama, pasti akan mudah untuk menyeringai dan mencari jari telunjuk untuk dituding ke mana-mana arah yang kita suka.

Sudah pasti sebahagian besar menjadikan ibu Adik Firdaus sebagai sasaran amarah. Segala cerca nista boleh dibayangkan dalam kepala, yang bakal dipersembahkan dalam sebarang medium media sosial untuk menterjemahkan betapa zalim dan kejamnya perbuatan ibu Adik Firdaus.

Sebahagian lagi, mengambil jalan singkat dengan menjadikan kerajaan selaku pesalah utama dalam kes ini. Mungkin ada benarnya, lantaran kerajaan ada tanggungjawab yang besar untuk mengelakkan atau paling tidak, mengurangkan statistik kes-kes sebegini berulang. Alasan paling absah, kerajaan punya wang dan jentera yang ampuh untuk berbuat demikian.

Sebahagian kecil golongan yang lahir dari kes sebegini ialah oportunis. Dalam banyak keadaan, golongan ketiga ini paling hina dan dahsyat. Mereka saat begini akan muncul dengan pelbagai tawaran berupa kebajikan, yang di belakang itu ada muslihat terkait untuk mendapatkan sokongan kepolitikan.

Contoh yang jelas sekarang ialah Wanita UMNO yang menyatakan hasrat untuk mengambil Adik Firdaus menjadi anak angkat. Bunyinya kelakar dan langsung tiada rupa untuk berbuat demikian, pada hakikatnya.

Dalam hal kebanyakan di atas, jarang sekali ada golongan yang membawa arus untuk mempersalahkan diri mereka sendiri, atas alasan paling utama bahawa mereka adalah salah seorang daripada anggota masyarakat yang hidup mengelilingi rumah Mak Cik Lola dan Adik Firdaus.

Persoalan untuk mereka yang sangsi dengan pertanyaan di atas, mungkin kita boleh bermula dengan soalan yang mudah dan ringkas, di mana kita selama ini sebelum kes ini terbongkar?

Mari kita berfikir sejenak, dengan membawa bayangan bahawa kes seumpama Adik Firdaus itu bukan hanya telah terjadi di Nilai, malah di kawasan kejiranan kita sendiri sekarang. Mungkin saat kes Adik Firdaus heboh di media, kes yang hampir sama yang berlaku di kawasan kejiranan kita sekarang masih tersembunyi.

Pernahkah terfikir sebegini? Jadi, di mana posisi kita sekarang?

Adakah tidak terdetik dalam hati kita, bagaimana mungkin aku tidak mengetahui akan hal tersebut dalam kawasan kejiranan aku. Persoalan besar yang saya ingin bawakan, bagaimana kita memandang dan berusaha memperbaiki sistem sokongan kemasyarakatan kita?

Dalam isu ini, wajar sama sekali untuk kita bermuhasabah mengenai sejauh manakah komitmen kita terhadap masyarakat sekitar dan keutuhan sosial sesama kita. Mungkin kita perlu mempersendakan diri sendiri akibat perangai mementingkan diri sendiri dan keluarga sendiri, sehinggakan kita gagal untuk menjenguk ihsan pada jiran sebelah bahu kita.

Memang mudah untuk kita meletakkan kesalahan pada ibu Adik Firdaus atau menjadikan kerajaan selaku pesalah utama. Soalnya, kita di mana selaku warga masyarakat di sekeliling mangsa?

Kita punya simpati, yang hilangnya empati. Kita merasa kasihan pada mangsa, tapi kita tiada kehendak untuk menolong mangsa bebas dari bencana yang menimpanya. Kita jelas dengan masalah melingkari segenap ruang masyarakat kita, sebutkan sahaja – kemiskinan, kebejatan akhlak, buta huruf – tapi apa yang telah kita berbuat untuk membantu menyelesaikan masalah?

Kalau ada pun, amat sedikit. Kita begitu mudah meletakkan wang seringgit dalam tabung masjid saban Jumaat dan kemudiannya merasa poyo dengan wang seringgit yang telah disumbangkan. Lagi parah, kita cuba menjustifikasikan seringgit saban Jumaat itu sebagai usaha termulia untuk membebaskan sekalian masyarakat bebas dari masalah sosio-ekonomi.

Tiada beza mereka yang menyumbang seringgit saban Jumaat dan secupak beras di akhir Ramadan, kalau pengakhiran justifikasi perbuatan tersebut hanyalah melingkar seolah-olah seringgit mereka itu atau secupak beras itu cukup untuk memberi selimut mereka yang bergelandangan dan mengenyangkan mereka yang kebuluran.

Apa yang kebanyakan anggota masyarakat kita faham, prihatin itu cukup dengan seringgit saban Jumaat dan secupak beras di akhir Ramadan. Apa yang masyarakat kita belum cukup faham, peranan kita dalam struktur masyarakat untuk turut menghulur bantuan tangan dan kaki, menterjemahkan nilai kebajikan itu bukan hanya terletak pada not-not kertas.

Soal not-not kertas itu adalah soal kamu selaku individu. Di sini, perbincangan kes Adik Firdaus adalah mengenai bagaimana dari kamu seorang itu, mampu berubah menjadi kami atau kita. Mungkin itu alasan mengapa Tuhan melondehkan kebejatan masyarakat kita dalam kes ini, supaya kita dapat belajar sesuatu.

Mungkin sebab itulah Brian Eno, seorang pemuzik, pernah mengungkapkan tentang empati:

“When you sing with a group of people, you learn how to subsume yourself into a group consciousness because a capella singing is all about the immersion of the self into the community. That’s one of the great feelings – to stop being me for a little while and to become us. That way lies empathy, the great social virtue.”