Sastera

CERTOT: Nafsu beruang

Kabinet saiz besar

Sejak dari pagi makcik Bedah gundah. Katanya dia tidak dapat mengelak. Belum puas rasanya dengan kabinet kerawang ombak laut pasifik yang dimilikinya sejak setahun lalu itu. Seakan masih ada yang tidak kena.

Dengan aksi romantik Pak Lajim bersuara.“Isteriku Bedah, apa lagi yang engkau resahkan?” Sambil mengusap perut buncit yang tegang kenyang.

“Kabinet saya belum sempurna la bang.”

“Isteriku Bedah,” sahut pak Lajim manja, “tahukah engkau bahawa kabinet rumah kitalah yang paling besar dan gah. Sudu-garfu, cawan-gelas, pinggan-mangkuk bersama gabungan terbaik set cawan dengan jag dan gelas adalah yang paling banyak berbanding rumah lain. Malah perkakasan itu elit dan unik belaka.”

Makcik Bedah menoleh. Dia berdiri lalu bangun menghadap pakcik Lajim. “Abang tidak tahu-menahu. Dapur ini ibarat sebuah negeri. Apa yang ada dalam kabinet itulah menterinya,” bidas makcik Bedah.

Pakcik Lajim berhenti mengurut perut.

“Ketahuilah bahawa sesungguhnya kabinet besar di rumah kecil kita ini tidak dapat dielakkan. Tiada apa yang dapat mengganti. Biar roboh rumah ini. Biar hangus terbakar kampung sebelah. Kabinet besar ini adalah segalanya buat saya.”

Pakcik Lajim tersentuh. Dia sedar setiap satu isi kabinet itu punyai erti dan makna tersendiri.

“Memang segalanya tidak terelak Bedah. Biar aku naikkan harga sewa rumah buruk kita. Akan aku runtuhkan rumah jiran secara licik dan paksa. Aku akan kurangkan duit belanja dua belas orang anak kita. Semuanya demi kabinet besar itu. Begitulah harga kabinet gah yang tidak dapat kau elak.”

Makcik Bedah senyum. Jelas dia belum puas.

Panda bukan Pandir

Kelmarin Bol menjemput encik Fuwa dan puan Fengyi di lapangan terbang. Pasangan pengantin baru yang menjadi tetamu teristimewa negara.

Hari ini Bol diberi tugas. Tugasan khas bagi melayan pasangan itu bak raja. Mereka bukan sekadar mahu berbulan madu. Malahan khabarnya encik Fuwa dan puan Fengyi juga berhajat untuk melahirkan anak sulung mereka di sini. Tidak hairan mereka diberi visa percuma sepuluh tahun.

Sepasang sut putih Marc Jacobs, dipadan dengan tapi pinggang kulit Prada, bersama high heels Gucci putih berselit manik dengan sedikit mutiara. Tas tangan Armani jadi pelengkap. Comel manis puan Fengyi terserlah.

Bol menanti di lobi hotel ternama Zoo Rimbunan Kota.

“Kami mahu ke Muzium Negara, ya!” kata puan Fengyi sambil matanya menangkap aneh tudung kepala Bol.

Permintaan itu Bol terima dengan angguk dan senyum. Menteri dan duta yang menyambut kedatangan pasangan itu kelmarin udah memesan tegas. Senyum, jangan tak senyum.

Muzium itu gedung sejarah, bukan taman hiburan. Mereka rupanya gemar melantak ilmu dan sejarah. Sudah jadi darah-daging katanya. Seusai lawatan mereka keluar menggeleng-geleng kepala. Comel sekali.

“Apa masih adakah lagi kampung-kampung warisan yang kami saksikan tadi?”

Bol menggeleng kuat.

“Segalanya kini tinggal sejarah, encik Fuwa. Semua kampung warisan di kota ini telah musnah dan dijadikan hotel, kondo serta rumah mewah seperti tempat encik Fuwa dan puan Fengyi tinggal sekarang.”

“Oh ya, sebelum saya lupa. Mulai hari ini nama encik Fuwa dan puan Fengyi ialah Xing Xing dan Liang Liang ya.”

Mereka terkejut, pucat.