Budaya

Antara karut-marut, filem dan senggama

Soalan “what if” adalah alat bagi memanipulasi kemungkinan dan kebarangkalian. Contohnya jika kita bertanya, “apa jadi kalau selipar ini aku lontarkan ke muka kau?” Jawapan pendek akal tanpa bantuan unsur pemabuk pastilah, “muka kau akan dihinggapi selipar, dan kau akan berasa sakit.”

Tetapi sekiranya jawapan tersebut diolah secara lebih rajin, dengan menggunakan kreativiti dan kepandaian nusantara dalam hal-hal mengarut, barangkali selipar terbang akan mula membesar, lalu memancarkan api dan bersinar-sinar sebelum mencecah muka sang kawan yang rupa-rupanya seekor siluman.

Itu sekadar contoh, untuk menunjukkan bahawa manusia mempunyai kemampuan untuk berfikir dan mencipta kemungkinan dengan bersoaljawab sekitar “what if” serta mengolah jawapan dengan sedikit kehendak dan keberanian untuk ‘mengarut’.

Kata ‘karut’ sentiasa dikaitkan dengan hal yang banyak bohongnya, yang lahir daripada khayalan sang pencipta. Namun segala yang karut inilah yang membuahkan intrik dan minat manusia untuk mencabar realiti. Manusia terbang, manusia berubah menjadi harimau, manusia memanjat dinding seperti lelabah – semua ini cerita karut. Namun benda mengarut inilah yang mengaut untung berbilion dolar dalam pasaran perfileman dunia.

Pendekatan mengarut dalam rangka menjawab soalan ‘what if’ seringkali membuat industri perfileman dan pengkaryaan tempatan ditinggalkan jauh di belakang dalam lomba untuk menjadi yang paling berjaya menimbulkan intrik dan emosi serta kesukaan manusia dalam bidang yang dipanggil ‘hiburan’.

Ini barangkali menjadi titik tolak penulisan genius Richard Curtis dalam filemnya yang tidak begitu popular, berjudul About Time, diterbitkan pda tahun 2013, dan dibarisi pelakon Domhnall Gleeson, Rachel McAdams dan Bill Nighy, antara lain. Wayang gambar ini dibikin dengan belanjawan sekadar $12 juta dan memperolehi keuntungan $87.1 juta di seluruh dunia.

Nama Richard Curtis ini tidak asing. Sewaktu cerita saya tonton tanpa mencari tahu siapa penulisnya, saya membayangkan penulis lakon layar kisah ini pastinya orang separa gila yang punya hati berbunga-bunga. Apabila saya sebut gila, maksud saya ‘kuat mengarut’.

Telahan saya tepat apabila nama Curtis muncul, dan saya langsung teringat kepada hasil-hasil karya lainnya yang turut saya kagumi. Antara lain termasuklah Four Weddings and a Funeral serta siri komedi Blackadder dan Mr Bean. Kalau Blackadder dan Mr Bean itu tidak boleh dikira mengarut, entahlah.

About Time ialah filem kesebelas yang ditulis Curtis. Tema besar kisah ini sama seperti banyak tulisan beliau yang sebelumnya adalah seputar cinta dan keluarga, namun yang membezakan ini gambar dengan gambar-gambar yang sebelum ini ialah unsur ‘mengarut’ yang barangkali hasil jawapan kepada soalan “apa akan jadi kalau manusia boleh kembali ke masa lalu dan membetulkan apa yang perlu?”

Kesaktian ini hampir sahaja langsung tidak wujud di dunia balik sini. Kita belum mendengar siapa-siapa yang mengaku pernah merentas waktu setelah balik berguru di puncak Gunung Ledang. Kalau ada, pastilah Malaysia tidak akan diperintah gerombolan ahli politik yang semedang kerjanya membeban dan menyusahkan hidup rakyat jelata dengan dasar ekonomi yang tidak manusiawi, selain mengamalkan politik ras serta sentimen kebencian sesama warga.

Kalaulah kita ini boleh memutar kembali waktu, atau sekurang-kurangnya seperti watak Tim dalam kisah About Time yang memiliki kuasa untuk pulang ke masa lalu dengan sekadar masuk ke dalam gobok gelap, menutup mata dan menggenggam tangan sambil membayangkan tempoh waktu yang mahu dia kembali; apa agaknya yang mahu kita ubah dan lakukan semula?

Dalam karya Richard Curtis yang ini, Tim beserta leluhurnya yang lelaki memiliki kesaktian itu, iaitu kemampuan untuk mengembara merentasi waktu. Ayahnya, yang diperankan dengan cemerlang oleh Bill Nighy, berkata bahawa beliau menggunakan kelebihan itu untuk membaca seberapa banyak buku yang dia mampu. Ini juga barangkali cita-cita besar dan angan-angan murni sang penulis yang mungkin jauh di lubuk hatinya turut mahu hidup mati dikelilingi buku.

Namun sang anak, Tim yang wataknya itu seperti sahaja orang biasa-biasa, berhabis kesaktiannya di awal cerita demi mendapatkan seorang kekasih.

Kita semua pastinya memahami hal ini. Demi perjuangan menemukan kekasih hati, masa dan peluang adalah hal yang kalau boleh janganlah berlalu pergi. Ini benar, dan tidak boleh sesiapa pun cuba nafi. Entah berapa kali kita selalu merenung wajah sang kekasih dan memikirkan demikian banyak hal yang mahu diperbetulkan.

Tim menggunakan kelebihan yang ada itu untuk bersenggama dengan kekasihnya berulang kali, sehingga dia betul-betul puas hati bahawa pendekatan ranjang yang digunakannya adalah pendekatan terbaik, kerana pada cubaan kali pertama, seperti juga banyak lelaki, Tim tersadung kaki dan tidak ketemu cangkuk coli. Berkat kesaktian, semua itu diperbetulkan akhirnya.

Adunan komedi dan tragedi Richard Curtis bagaikan sekeping sandwich mentega kacang dan jem strawberi yang sempurna imbangan bahannya. Ini barangkali kemahiran ulung Curtis bermain dengan emosi penonton yang mengandaikan filem komedi ini berhenti sekadar gelak ketawa dan lelucon British yang sukar difahami orang biasa-biasa. Beliau meletakkan tragedi kematian ayahnya Tim di saat hampir hujung, yang ternyata membuat saya turut menyeka air mata.

Kepandaian dalam menulis jalan cerita nan begitu indah jarang sekali kita temukan dalam penulisan filem Melayu. Jalan cerita filem Melayu selalunya kaku dan tidak menjanjikan pembinaan plot yang seiringan dengan degup jantung dan denyut nadi para penontonnya yang rata-rata melazimi pawagam sekadar untuk melihat lakonan pelakon kegemaran mereka.

Barangkali ramai pembikin filem dan penulis tanahair perlu mencari guru di Padang Tok Syeikh, puncak Gunung Jerai, untuk belajar ilmu memutar kembali waktu supaya sekian wayang gambar bermutu rendah dan sekadar bercerita tentang hantu, gangster, dan mat rempit akan boleh diperbetulkan dengan menghadirkan kesaktian yang luar biasa dari segi penulisan dan pengolahan ceritanya.

Malang sekali jika kemahiran Melayu yang bila ia berpolitik rajin menipu dan mengarut tidak diserapkan dalam dunia kreatif dan hiburan. Hanya dengan mengarut, menipu dan berfikir melampaui ruang selesa maka industri perfileman dan pembikinan cerita akan mampu betul-betul bersaing dengan kemahiran dan pengalaman pembikin cerita dari luar negara.

Seperti juga senggama, membikin filem juga memerlukan imaginasi tinggi dan kreativiti. Kalau diulang gerak kerja sama di ranjang berkali-kali, tidak hairan jika pasangan akhirnya bosan dan memilih untuk makan luar dan meninggalkan lauk-pauk di rumah tidak terusik, sejuk dan akhirnya basi lalu ketemu ajal di bakul sampah.

Seni persembahan, perfileman, penulisan, semuanya itu bukan sekadar untuk sedap sedap sendiri. Bahkan punya peranan besar untuk membentuk cara fikir masyarakat yang saban hari dikembiri media tradisional untuk tunduk patuh dan tiada menyoal perbuatan orang atasan. Pengembirian ini memunculkan kebodohan. Kebodohan akan berakhir dengan rasa kelam, gelap tidak nampak cahaya.

Seni harusnya menjadi pelebur rantai-rantai yang membelenggu leher rakyat daripada bebas berfikir dan berpendapat. Dari sumber seniman yang berani mengarut dan mempersoal, akan lahirlah gerombolan rakyat yang celik berpencerahan, dan tiada lagi yang perlu terus diam menyumpah kegelapan.