Berita

DAP kecam serangan rejim Israel, desak masyarakat antarabangsa campur tangan segera

KUALA LUMPUR, 10 JULAI: DAP mengecam sekeras-kerasnya tindakan tidak berperikemanusiaan rejim Israel yang meneruskan serangannya di Tebing Gaza, serta mendesak masyarakat antarabangsa segera campur tangan bagi menghentikan peningkatan jumlah kematian di sana.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, serangan itu lebih terkutuk memandangkan kepimpinan Hamas sendiri sudah menyeru satu gencatan senjata bagi menamatkan pertempuran terbaru itu.

Menurut laporan BBC 9 Julai lalu, jurucakap Hamas Osama Hamdan berkata, rundingan gencatan senjata tahun 2012 dapat disambung semula jika Israel menghentikan serangan ke atas wilayah itu dan membebaskan warga Palestin yang ditahan sepanjang dua minggu lalu.

“Bagaimanapun, seruan gencatan senjata Hamas disambut dengan lebih banyak serangan roket daripada Israel, dan diikuti dengan serangan balas daripada Hamas juga. Oleh itu, keadaan kini semakin tidak terkawal dan ramai orang awam, termasuklah kanak-kanak dan wanita menjadi korban.

“Maka kami mengecam tindakan gasar Israel membunuh kanak-kanak dan wanita tidak berdosa. Setakat ini, hanya mereka yang menderita dengan musnahnya rumah dan kehidupan.

“Mengambil kira kehebatan persenjataan Israel, timbul persoalan terhadap kadar serangan balas (konflik kali ini) yang hanya mengorbankan warga Palestin, sedangkan warga Israel terus selamat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Konflik terbaru ini tercetus ekoran protes akibat kematian seorang remaja Palestin dan tiga warga Israel bulan lalu.

Menurut Al-Jazeera pula, pensyarah Sains Politik Universiti Al-Azhar Ibrahim Abrach menyifatkan serangan itu berpunca daripada persetujuan terbaru antara Hamas dan Fatah yang sebelum ini bermusuh, untuk menubuhkan kerajaan bersama.

Sehubungan itu, DAP mendesak masyarakat antarabangsa, terutama Amerika Syarikat untuk campur tangan dengan segera bagi menghentikan serangan itu.

“(Campur tangan perlu) Bagi menghentikan jumlah kematian di Gaza daripada terus meningkat, dan bertukar menjadi kancah perang yang akan meragut beribu nyawa tidak berdosa.

“Hak Israel untuk wujud sebagai negara tidak harus lahir daripada tangan berdarah dan pembantaian rakyat Palestin, sebaliknya dengan nilai kemanusiaan serta rasa hormat ke atas nyawa dan maruah manusia,” kata Ketua Menteri Pulau Pinang itu lagi.

Memetik laman Al-Jazeera hari ini, sekurang-kurangnya 72 warga Palestin, termasuk wanita dan kanak-kanak, yang terkorban dan 550 cedera sepanjang dua hari serangan udara Israel.

Israel juga sedang menimbangkan kemungkinan serangan melalui darat dan telah meluluskan pemanggilan 40,000 askar simpanan untuk tujuan itu. – Roketkini.com