Berita

‘Negara-ku’ – gerakan rebut kembali negara daripada rasis dan pelampau

KUALA LUMPUR, 10 JULAI: Hari ini tertubuh sebuah gerakan yang bertujuan mengembalikan Malaysia kepada pemilik sebenarnya, iaitu rakyat.

Gabungan yang dinamakan Gerakan Rakyat Untuk Menebus Kembali Negara Malaysia (Negara-ku) ini dipimpin dua tokoh masyarakat, Sasterawan Negara Datuk A Samad Said dan peguam terkemuka Datuk S Ambiga.

Menurut piagamnya, Negara-ku akan mendorong pembentukan sebuah masyarakat yang inklusif dengan menolak semua jenis ketaksuban dan kebencian, serta melawan diskriminasi dan ketidakadilan.

Kenyataan itu menjelaskan, Negara-ku ditubuhkan atas keyakinan bahawa majoriti rakyat Malaysia sudah muak dengan politik berasaskan perkauman dan kekelompokan yang tanpa henti menggugat proses pembinaan sebuah negara yang inklusif serta mengganggu proses pembentukan jatidiri Bangsa Malaysia

Pengerusi Jawatankuasa Pemandu Negara-ku, Zaid Kamaruddin dalam ucapan perasmian di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor pagi tadi berkata, Negara-ku ingin mengajak rakyat bersama-sama menentang perkauman melampau.

“Kita ada banyak perancangan, antaranya mengadakan program jelajah ke seluruh negara, termasuk ke sekolah, agar ia mencapai seluruh peringkat masyarakat.

“Sesiapa sahaja dialu-alukan untuk bersama-sama gerakan ini. Saya tidak melihat ada sebarang sebab untuk mana-mana pihak tidak bersetuju (dengan matlamat Negara-ku),” katanya, yang juga merupakan Setiausaha Agung IKRAM.

Dalam pada itu, Ambiga pula menyifatkan suasana dalam negara yang melibatkan hubungan antara kaum dan agama selepas Pilihanraya Umum ke-13 sangat menuntut agar gerakan itu ditubuhkan.

“Sesuatu yang aneh berlaku dalam Malaysia. Persoalan kaum dan agama menjadi semakin panas. Gerakan Negara-ku ini untuk mengembalikan harapan, seperti mana Bersih memberikan harapan dahulu,” katanya lagi.

Gerakan Negara-ku disertai kira-kira 60 NGO, antaranya Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), Asal Bukan Umno (ABU), National Indian Action Team (Niat), Saya Anak Bangsa Malaysia dan Lingkaran Islam Tradisional.

Selain Pak Samad dan Ambiga, turut menjadi penaung adalah bekas Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) Tan Sri Simon Sipaun. – Roketkini.com