Berita

Jabatan Perdana Menteri terima 15% daripada belanjawan negara

KUALA LUMPUR 11 JUL: Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang memperolehi kira-kira 15% daripada keseluruhan belanjawan tahunan negara secara nisbah dilihat mendapat peruntukan dan peranan lebih berbanding kementerian lain.

Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong berkata, JPM yang kini mengembang dari lima kepada sepuluh Menteri dilihat sebagai institusi yang terlalu besar, tidak munasabah jika dibandingkan dengan jumlah penduduk di Malaysia dan ukuran kabinet.

Malah katanya, JPM adalah jabatan terbesar dalam pentadbiran kerajaan Malaysia dengan lebih 50,000 kakitangan.

“Masalahnya peranan JPM itu sendiri bertindih di antara pelbagai agensi dan Kementerian. Sebagai contoh Unit Perancangan Ekonomi (EPU) dengan Unit Penyampaian dan Pengurusan Prestasi (Pemandu).

“Kedua-duanya membuat perancangan hala tuju ekonomi. Bezanya, EPU adalah unit di bawah JPM manakala Pemandu adalah sebuah syarikat dan bukannya jabatan kerajaan,” kata Chin Tong dalam forum ‘Rombakan Kabinet: Apakah Menteri Baru Lebih Efektif’ di Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor semalam.

Satu contoh lain yang dikemukakan Chin Tong berkenaan fungsi Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) yang menguruskan projek penswastaan, tanggungjawab yang sebelumnya dipikul oleh EPU.

“Ini menunjukkan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mempunyai kuasa yang lebih besar dalam pentadbirannya jika dibandingkan dengan Presiden Amerika Syarikat Barrack Obama.

“Menteri di JPM pula boleh pada bila-bila masa, mengeluarkan peruntukan menurut budi-bicara mereka, tanpa melalui kelulusan kementerian, dan ini tidak pernah berlaku sebelum ini.

“Jadi apa yang kita boleh jangkakan daripada rombakan terbaru kabinet? Hanya tambahan beberapa orang menteri ke dalam kabinet sebagai ‘kapitan Cina’,” kata Chin Tong sinis.

Beliau membalas hujah seorang lagi panelis yang juga Naib Presiden Gerakan, Dr Dominic Lau, bahawa rombakan terbaru oleh Najib menambah perwakilan Cina untuk “mengimbangi perwakilan mengikut kaum” memandangkan sebelum ini kabinet hanya mempunyai “seorang Cina”.

Tegas Chin Tong, jumlah Menteri yang besar tidak memberi sebarang makna sekiranya sesebuah sistem penyampaian pentadbiran kerajaan tidak berkesan apabila terpaksa melalui prosedur yang memakan masa.

“Kuasa JPM terlalu diluaskan. Seperti parlimen, kabinet seolah-olah tidak diperlukan dan dijadikan seperti ‘rubber stamp’,” ujar Chin Tong.

Kata Chin Tong, peruntukan kepada JPM meningkat selepas 2008, sebagai reaksi kepada ‘ancaman’ Pakatan Rakyat yang berjaya menumbangkan BN di lima buah negeri pada pilihanraya umum ke-12.

Bajet JPM bagi tahun pada 2009 meningkat kepada RM14 bilion berbanding tahun sebelumnya yang berjumlah RM7.1 bilion.

Turun sedikit bagi tahun 2010 kepada RM12.1 bilion, peruntukan kepada JPM meningkat semula pada 2011 (RM15.86 bilion) dengan RM10.78 bilion bagi pembangunan dan RM5.76 bilion untuk operasi.

“Dalam keadaan Perdana Menteri tidak perlu datang menjawab di Dewan Rakyat, beliau nampaknya seolah-olah tidak mahu pula berkongsi kuasa dengan kabinet,” kata Chin Tong. – Roketkini