Berita

Insiden guru baling kasut: Tukar sekolah tidak memadai, perlu bawa ke mahkamah

KUALA LUMPUR, 12 JUL: Guru yang dilaporkan membaling kasut kepada seorang murid darjah dua sehingga mendatangkan kecederaan sepatutnya didakwa di mahkamah, bukan sekadar ditukar ke sekolah lain, kata Ketua Biro Undang-undang DAP Gobind Singh Deo.

Sinar Harian pada hari Khamis lalu melaporkan insiden guru Pendidikan Moral di Sekolah Kebangsaan Port Dickson, Abdul Rahim Jaafar, yang membaling kasutnya ke arah M Sharmini, 8, sehingga luka di dahi dan memerlukan tiga jahitan.

Ia berpunca daripada kegagalan Abdul Rahim mengawal kemarahannya terhadap Sharmini yang bermain di belakang kelas bersama dua pelajar lain ketika beliau mengajar.

Keesokannya, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) Datuk Kalsom Khalid memaklumkan guru itu sudah ditukar ke sekolah lain, iaitu Sekolah Kebangsaan Linggi, berkuatkuasa serta-merta.

Menyifatkan tindakan itu sebagai tidak memadai, Gobind berkata, guru itu sepatutnya didakwa di mahkamah kerana ia adalah satu kesalahan di bawah Kanun Keseksaan.

“Jika dakwaan itu benar, beliau sepatutnya dibawa ke mahkamah. Undang-undang kita jelas – tindakan itu bersamaan dengan mendatangkan kecederaan dengan sengaja yang merupakan kesalahan di bawah Kanun Keseksaan.

“Saya menggesa agar Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail sendiri memastikan tindakan diambil secepat mungkin berhubung perkara ini, jika hasil siasatan mendapati ada kesalahan,” katanya dalam satu kenyataan.

Bapa Sharmini, pekerja Majlis Perbandaran Port Dickson K Muthu juga dilaporkan telah membuat laporan polis pada hari yang sama insiden itu terjadi.

Kata Ahli Parlimen Puchong itu lagi, insiden itu tidak sepatutnya berlaku, terutama di sebuah institusi yang sepatutnya mendidik dan melindungi kanak-kanak.

“Apa yang berlaku adalah sangat serius. Ibu bapa menghantar anak mereka ke sekolah dengan meyakini anak mereka akan selamat, dan guru-guru akan menjaga mereka. Tambahan pula, menyerang pelajar dengan kasut adalah tindakan yang menjengkelkan. Ia sangat menghina dan tidak boleh dibiarkan begitu sahaja,” katanya lagi. -Roketkini.com