Rencana

Pemilihan Presiden dan demokrasi di Indonesia

Kepada rakan-rakan yang beragama Islam, selamat berpuasa dan harap bulan Ramadan yang suci ini membawa rahmat kepada semua. Seorang pembaca mencadangkan saya untuk menceritakan kejadian “mana surat masuk Bazaar Ramadan” di Kluang, kawasan Parlimen saya, tetapi mungkin tidak sempat untuk saya menulis tentangnya kali ini.

Kesabaran pembaca dihargai kerana saya masih menunggu respons daripada Kerajaan Negeri Johor tentang dana dan sewa yang dikutip daripada Bazaar Ramadan oleh Yayasan Perbandaran Kluang, yang dipengerusikan oleh Ahli Exco Jais Sardi.

Minggu ini saya ingin menulis sedikit tentang Pemilu 2014 Republik Indonesia.

Kepada demokrat di Asia Tenggara, Pemilu 2014 Republik Indonesia adalah bukti kematangan sistem demokrasi Indonesia. Sebagai penggerak pendemokrasian di Malaysia, banyak yang boleh kita belajar daripada negara yang serumpun dengan kita, dan lebih pentingnya, mengalami krisis politik, ekonomi, serta gelombang Reformasi pada masa yang sama dengan kita 16 tahun yang lalu.

Gerakan Reformasi di Indonesia telah menumbangkan diktator Suharto pada 21 Mei 1998. Republik Indonesia melalui kepahitan dan kesulitan beberapa tahun selepas itu dan boleh dikatakan hanya stabil sejak Pemilihan Presiden secara terus oleh rakyat buat pertama kali 10 tahun yang lalu, di mana Susilo Bambang Yudhoyono terpilih sebagai Presiden.

Antara tahun 1998 dengan 2004, Habibie, Gus Dur dan Megawati telah mengisi pejabat Presiden. Walaupun agak bercelaru, perubahan yang sebelumnya dianggap mustahil telah menjadi realiti. Kini, pengurusan pilihanraya boleh dikatakan agak telus dan tidak berat sebelah, media massa bersaing secara terbuka dan tidak dihalang oleh pemerintah, manakala pihak tentera tidak lagi berkuasa seperti di zaman Orde Baru Suharto.

Saya pernah menjamu selera bersama bekas Presiden BJ Habibie di Pulau Pinang pada akhir tahun 2012, semasa beliau memberi syarahan utama di Penang Institute (Saya adalah Ahli Parlimen Bukit Bendera ketika itu). Beliau dilantik sebagai calon Wakil Presiden (Timbalan Presiden) kepada Suharto pada Januari 1998. Tiada rakyat Indonesia yang menyangka bahawa ahli sains yang gemar dengan karpal terbang ini boleh jadi agen perubahan dalam tempoh yang singkat. Ramai masih tidak setuju dengan sebahagian keputusan beliau, antaranya pembebasan East Timor. Tetapi seandainya diimbas kembali, sejarah akan mengiktiraf keberaniannya untuk melakukan perubahan apabila diberi peluang.

Kebetulan, dalam perbincangan kami beliau menceritakan bagaimana calon presiden 2014 dan bekas menantu Suharto, Jeneral Prabowo, dilepaskan jawatan komander pasukan strategik dalam suasana yang tegang. Ramai meramalkan bahawa Prabowo akan memberontak terhadap pemerintahan Habibie pada masa itu.

Pendemokrasian Indonesia sejak 16 tahun ini dibina atas keberanian dan pengorbanan rakyat yang menentang diktator dan juga kerana ramai yang berada dalam sistem pemerintahan menyokong perubahan apabila masanya tiba. Di Malaysia, selain daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim, tidak ramai elit dalam sistem mencabar status quo ataupun cuba melakukan perubahan dalaman. Ramai elit UMNO hanya mengadu selepas dipecat atau tidak lagi berada dalam arus perdana tampuk kuasa, sedangkan sewaktu berkuasa mereka tidak membawa agenda perubahan atau tidak ada niat dan azam politik untuk merealisasikan perubahan.

Satu hari nanti, sejarah akan membandingkan sumbangan Habibie dengan Tun Abdullah Badawi. Saya rasa, Habibie akan dikenang dan Abdullah akan dikecam kerana tidak cuba melakukan sedaya-upaya. (Mungkin ini ingatan kepada anak menantunya Khairy Jamaluddin – bintang yang bangkit buat setakat ini – jangan tunggu untuk membaiki sistem pemerintahan dan jangan terlalu berkira-kira dengan keuntungan politik sehingga tidak menjana pembaharuan).

Apa yang agak menarik adalah desentralisasi struktur pemerintah. Struktur pentadbiran Indonesia di bawah Suharto dikawal ketat oleh pemerintah pusat. Tetapi dalam tempoh sejak Reformasi, kuasa pentadbiran diturunkan kepada kebupaten (daerah) dengan pilihanraya ketuanya. Desentralisasi dan pendemokrasian berlaku secara serentak. (Nota untuk Malaysia: Desentralisasi mesti dilaksanakan serentak dengan pendemokrasian kerana, jika tidak, pemberian kuasa dan sumber kewangan yang lebih kepada pemerintah negeri seperti bekas Ketua Menteri Taib Mahmud boleh membawa kepada korupsi).

Memang apa sahaja sistem pun ada kurangnya. Ada yang mengkritik bahawa struktur Indonesia sekarang “mendemokrasikan” korupsi yang dulunya ditumpukan di tangan Suharto.

Tetapi rakyat Indonesia boleh berbangga dengan kematangan pilihanraya pada 9 Julai 2014. Seorang pemimpin yang tidak ada kaitan atau hubungan dengan rejim Orde Baru, malah tidak ada kekayaan atau kuasa besar, boleh muncul sebagai Presiden Indonesia, negara yang paling ramai umat Islam di dunia. Keputusan pilihanraya belum diketahui lagi semasa rencana ini ditulis. Tetapi kajian-kajian oleh pelbagai pollsters yang berwibawa telah membayangkan kemenangan Jokowi.

Saya pernah bertemu dengan Jokowi dua kali di Kuala Lumpur pada Januari 2012 dan pertengahan 2013. Dalam pertemuan pertama kali, beliau hanya sebagai walikota (datuk bandar) Solo dan belum lagi Gabenor Jakarta, jawatan yang dimenangi pada September 2012.

Dalam perbincangan kami, Jokowi menceritakan bagaimana beliau memenangi jawatan walikota Solo buat pertama kali dengan lawatan rumah ke rumah dan bagaimana dia menang kali kedua tanpa perlu buat lawatan rumah ke rumah kerana semua sudah kenal beliau sebagai pemimpin yang rajin turun padang, mendengar pandangan rakyat, membuat keputusan yang berkesan dan memihak kepada rakyat untuk jangka panjang.

Memang menarik bagi saya untuk mengikuti perkembangan politik di Indonesia. Bukannya sistem mereka sempurna. Sistem mereka memang ada banyak masalah. Tetapi peluang diberikan kepada rakyat biasa seperti Jokowi untuk menjadi walikota, gabenor dan sekarangnya presiden dalam tempoh yang begitu pendek. Semangat untuk mara ke depan, semangat perubahan, semangat demokrasi – itulah yang harus kita teladani.