Rencana

Dua watak dalam menghadapi bukan-Melayu dan bukan-Muslim

Di suatu petang, sewaktu angin Ramadhan sepoi-sepoi bertiup, fikiran saya menerawang jauh mencipta dua watak yang berkongsi agama tetapi mempunyai dua dimensi pemikiran yang berbeza. Saya namakan dua watak itu ABU dan BAKAR:

ABU melihat bahawa tuntutan non-Muslim dan badan seperti Comango adalah ancaman kepada ISLAM, kerana itu mereka patut diperangi. BAKAR pula melihat tuntutan mereka adalah implementasi kefahaman mereka terhadap budaya, agama, dan ideologi yang mereka fahami, maka mereka sepatutnya diberikan kefahaman dan dipandu lebih dekat kepada Islam.

ABU melihat non-Muslim di Malaysia sebagai musuh Islam yang sedang berkonspirasi untuk melemahkan ISLAM dan patut ditentang. Sedangkan BAKAR melihat non-Muslim walaupun cenderung untuk menyebarkan agama yang mereka anuti tetapi mereka adalah mad’u (sasaran dakwah) yang patut didekati dan diberi kefahaman dalam suasana rahmat kasih-sayang sambil memperkukuh usaha dakwah orang Islam.

ABU melihat umat Melayu-Muslim lemah, jadi non-Muslim dan non-Melayu patut ditekan dari mempersoalkan hak istimewa mereka supaya melayu Islam boleh bernafas. BAKAR juga melihat umat Melayu-Muslim lemah, tetapi dia percaya pemerkasaan mesti bermula dari Melayu-Muslim sendiri, bukannya menuding jari kepada pihak lain. Kelemahan ini juga sepatutnya ditangani dengan seruan kesatuan dalam roh kasih-sayang dan bukan dengan pendekatan provokasi yang boleh membawa kepada perpecahan.

BAKAR melihat bahawa “agama Islam sebagai agama persekutuan” diperjuangkan sebagai mesej keamanan dan jaminan kepada agama dan bangsa lain, sedangkan ABU menggunakan pendekatan yang bertentangan yang berbaur ancaman kepada non-Muslim.

BAKAR sentiasa mengambil pendekatan harmoni dengan dialog dan bersatu dengan non-Muslim atas asas yang dipersetujui, sedangkan ABU sentiasa mendahulukan perbezaan dan yakin tiada ruang kerjasama dengan non-Muslim.

BAKAR melihat bahawa paling utama imej Islam di Malaysia perlu dipulihkan supaya non-Muslim bersedia menerima dan memahami Islam versi yang sepatutnya sebagai rahmat, progresif dan mampu memimpin mereka, sedangkan ABU lebih cenderung untuk membawa imej Islam yang berkeras dengan non-Muslim.

BAKAR percaya bahawa harapan masih cerah untuk mengubah persepsi buruk non-Muslim untuk memartabatkan ISLAM, sedangkan ABU melihat harapan datang dengan menekan non-Muslim dan bukan-Melayu supaya agama Islam dapat dimartabatkan.

ABU melihat bahawa BAKAR naif dalam memahami perancangan jahat non-Muslim yang disifatkan sebagai musuh, sedangkan BAKAR melihat bahawa ABU tak mampu untuk bergaul dan berdialog secara langsung secara objektif dan hanya mampu mengkritik dari jauh.

ABU yakin bahawa kelompok yang disebut sebagai musuh Islam dibuktikan dengan beberapa tindakan yang disifatkan sebagai ancaman kepada ISLAM, sedangkan BAKAR melihat bahawa mereka berpotensi menjadi musuh Islam sekiranya tidak diurus dengan baik. BAKAR percaya bahawa jika pendekatan berhikmah didahulukan, non-Muslim akan lebih memahami Islam berbanding pendekatan konfrontasi yang sudah tentu akan menjadikan mereka musuh Islam.

ABU percaya Melayu punya kedudukan istimewa dan mampu memartabatkan Islam, sedangkan BAKAR maklum dengan beberapa kelebihan Melayu tetapi percaya bahawa agama ISLAM terlalu agung untuk bergantung nasib kepada bangsa Melayu.

Perbezaan tafsir dan akhlak menangani perbezaan

Premis awal yang berbeza melahirkan pandangan dan tindakan yang berbeza. ABU dan BAKAR terhasil daripada dua pemikiran yang berbeza. Kita boleh saja menjadi ABU atau BAKAR atau kedua-duanya sekali dalam isu yang berbeza.

Semua perdebatan dan perbincangan panjang tak akan menemui penghujung sekiranya ia berdiri atas dua landasan berbeza. ABU dan BAKAR kedua-duanya merujuk kepada al-Quran dan as-Sunnah, namun dengan tafsiran dan dari sudut pandang yang berlainan.

Saya percaya boleh saja untuk mereka berbeza neraca timbang, namun akhlak jangan sekali tergadai.

Moga-moga dengan menjaga akhlak, amalan si ABU dan si BAKAR tidak terbakar menjadi abu yang berterbangan.

*Hanzalah Mizi seorang mahasiswa Malaysia di Mesir dan pembaca Roketkini.