Berita

DAP Sarawak gesa anak Alfred Jabu letak jawatan Pengarah Sesco

KUCHING, 21 JUL: DAP Sarawak menggesa peletakan jawatan ahli lembaga pengarah Perbadanan Pembekalan Letrik Sarawak (Sesco) Berhad, Gerald Rentap Jabu yang juga merupakan anak kepada Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Alfred Jabu.

Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen berkata, Gerald bukan seorang pegawai dan tidak mewakili Setiausaha  Kerajaan Negeri, Setiausaha Kewangan Negeri, Pejabat Peguam Negara atau mana-mana jabatan negeri dan pusat.

“Hubungan Gerald dengan pemerintah Sarawak hanyalah hubungan dengan ayahnya Alfred Jabu yang juga Timbalan Ketua Menteri Sarawak. Ini menimbulkan persoalan kerana Gerald dilantik sebagai Lembaga Pengarah Sesco sejak 2005 sehingga ke hari ini,” kata Chong dalam dalam satu kenyataan.

Sesco adalah syarikat milik kerajaan negeri Sarawak bertanggungjawab dalam penjanaan, penghantaran dan pengagihan tenaga elektrik di negeri Sarawak.

Setiausaha Kewangan Sarawak melalui Sarawak Energy Berhad, memiliki kesemua pegangan dalam Sesco. Justeru, ahli lembaga pengarah Sesco sepenuhnya dilantik oleh kerajaan negeri.

Menurut Choong, pegawai kerajaan negeri, pegawai kewangan negeri, Pejabat Peguam Negara dan wakil Kementerian berkaitan dilantik sebagai lembaga pengarah bagi memastikan polisi kerajaan dilaksana, lebih-lebih lagi kutipan tahunan Sesco berjumlah RM2 bilon.

“Persoalannya, apakah pelantikan Gerald ada;ah kerana dia adalah anak kepada Timbalan Ketua Menteri Sarawak? Atas kapasiti apa dia dilantik ke jawatan itu? soal Choong.

Beliau mengesyorkan agar Alfred mengikut nasihat Tan Sri Adenan Satem yang berikrar bahawa keluarga terdekatnya tidak akan mendapat sebarang manfaat dari kedudukannya sebagai Ketua Menteri Sarawak.

Kata Choong, sekiranya Alfred Jabu bersetuju dengan polisi baru Adenan Satem, dia sewajarnya ke hadapan dan segera mengarahkan barisan kabinet Sarawak menggugurkan Gerald dari posisi tersebut.

“Untuk keadilan dan pentadbiran kerajaan yang telus, DAP Sarawak menyeru Alfred Jabu melaksana dasar baik ditetapkan Adenan Satem dan memastikan anaknya, Gerald Rentap Jabu mengundurkan diri jawatan ahli Lembaga Pengarah Sesco,” kata Choong. Roketkini.com