Berita

Pandangan ISMA dangkal, hanya mampu tuduh melulu terhadap Negara-Ku – Zaid Kamaruddin

KUALA LUMPUR 21 JUL: Pengerusi Jawatankuasa Pemandu Negara-Ku Zaid Kamaruddin menyelar sikap pimpinan Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) yang enggan berdialog, sebaliknya memilih untuk membuat tuduhan melulu terhadap penaung Negara-Ku Datuk Ambiga Sreevenasan.

Zaid dalam kenyataannya hari ini mengulas komen dua pimpinan Isma, iaitu Hanan Othman dan Muhammad Luttfi Abdul Khalid, dalam satu laporan Malaysiakini pada 16 Julai, 2014, bertajuk ‘Ambiga changes tune in 24 hours, raps Isma’.

Dalam laporan itu Hanan mengulas ucapan Ambiga pada sebuah pertemuan bersama pimpinan Pakatan Rakyat 9 Julai lalu agar membincangkan penyelesaian perundangan berhubung isu penukaran agama kanak-kanak kepada agama Islam.

Hanan menyelar Ambiga sebagai hipokrit kerana sehari selepas itu, sewaktu pelancaran Negara-ku, beliau menyeru pula rakyat Malaysia untuk kembali merujuk kepada dokumen penubuhan negara, iaitu Perlembagaan Persekutuan.

Menurut Zaid, pendekatan menyerang individu itu amat dikesali terutama kerana ia dilakukan oleh kalangan yang menggelar diri sebagai pejuang Islam.

“Lebih menyedihkan, serangan mereka dibuat dalam bulan Ramadan yang mulia,” ujar Zaid.

Beliau melihat Hanan telah membuat dua kesilapan dalam menanggapi kenyataan Ambiga.

“Secara tersirat, Hanan mengandaikan bahawa seruan ke arah meminda perlembagaan adalah sama seperti menyerang dan mencabar perlembagaan. Itu kesilapan pertama dilakukannya.

Sejak Perlembagaan Persekutuan dibentuk, ia telah dipinda hampir 700 kali oleh kerajaan Perikatan dan BN. Jika tanggapan Hanan itu benar, bermakna Perlembagaan Persekutuan telah diserang secara berterusan sejak Merdeka,” kata Zaid.

Menurut Zaid lagi, aktivis wanita Isma itu melakukan kesilapan kedua apabila menganggap Ambiga menyeru kepada pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan, sedangkan Ambiga hanya meminta para penggubal undang-undang menangani masalah tersebut yang menjadi punca kebimbangan semua pihak, mengakibatkan kerosakan hubungan keluarga akibat banyak kes penukaran agama anak kepada Islam oleh salah seorang ibu-bapa tanpa pengetahuan atau persetujuan pihak yang lain.”

Zaid turut menyelar pendirian Yang Dipertua Isma Cawangan Sg Petani Muhammad Luttfi yang menganggap segala yang dilihatnya sebagai di luar Islam sebagai “liberalisme’, ‘perangkap syaitan’ dan ‘jelmaan semula jahiliyah’.

Menurut beliau, pandangan sedemikian adalah bukti bahawa keputusan saya dan rakan-rakan untuk menggerakkan Negara-ku sebagai sebuah gerakan rakyat adalah tindakan yang tepat.

“Ia juga menjelaskan mengapa seruan kami ke arah menentang segala jenis sikap tidak bertolak-ansur, taksub, benci, dan ekstrem semakin diterima secara meluas,” tambah beliau. – Roketkini.com