Rencana

Teoh Beng Hock sebagai saksi

Selepas 5 tahun, adakah masih tersisa harapan untuk mengetahui apakah yang sebenarnya telah berlaku kepada mendiang Teo Beng Hock hingga menemui ajal dalam keadaan yang penuh misteri?

Mungkin inilah persoalan yang sering berlegar di benak ahli keluarga mendiang apabila mengetahui bahawa ketiga-tiga pegawai yang disyaki mempunyai kaitan dengan kematiannya telah dibersihkan nama mereka dan dibebaskan.

Hakikatnya, tidak mungkin manusia biasa seperti Teoh Beng Hock, Ahmad Sharbini mahupun Altantuya Shaariibuu mati tanpa sebab dan motif yang jelas. Malah amat mustahil MH 370 hilang ghaib tanpa sebab-sebab tertentu. Sesuatu itu pasti punya penjelasannya.

Kesemua ini bukanlah misteri ilmu hitam yang tak dapat dijelas atau dihurai dengan fakta dan bukti. Semua ini berlaku di depan mata kita dalam ruang waktu seharian. Semua kejadian ini mempunyai naratifnya dan ada saksi mahupun motif yang boleh diukur, dianalisa dan dihurai untuk difahami oleh kita.

Namun demikian, semua elemen itu perlu disokong dengan satu sistem yang membolehkan kesemua data/fakta berkaitan kes dibahas, disoal dan dikaji. Sistem itulah yang hari ini kita sebut sebagai sistem perundangan yang selari dengan tujuan undang-undang itu sendiri, iaitu untuk mencari keadilan dan kebenaran.

Saya sebagai anggota masyarakat awam tidak mengetahui dengan mendalam aspek teknikaliti perundangan, namun saya mempunyai persepsi mengenai sistem perundangan kita.

Dalam konteks sistem yang sedia ada sekarang, berdasarkan kes-kes seperti ini, ruang untuk mangsa diberi keadilan menerusi bukti dan sokongan hujah amat terbatas.

Begitulah halnya dengan fakta untuk menyokong atau memberi sesuatu petunjuk terhadap kes, ia boleh diketepikan atas alasan teknikal dan sebagainya.

Contoh sudah cukup banyak, termasuk dalam kes liwat Anwar Ibrahim 1 dan 2, apabila hakim menolak dan menganggap hujah sokongan sebagai ‘tidak releven’ berulang kali.

Begitu juga dengan kes pembunuhan Altantuya. Fakta-fakta penting yang wajib ditanya atau dinilai tidak dapat diteruskan kerana halangan-halangan yang bersifat teknikal dalam aspek perundangan tersebut.

Inilah dilema keluarga Teoh Beng Hock. Kita percaya, keluarga Allahyarham Ahmad Sharbini dan Setev Shaariibuu juga merasa sedemikian rupa.

Sistem yang diharapkan gagal memberi keadilan dan kebenaran, tetapi mustahil untuk kita memanggil kembali roh Teo Beng Hock, Ahmad Sharbini dan Altantuya untuk duduk di kandang saksi di mahkamah dan menceritakan perkara sebenarnya.

MAHDZIR IBRAHIM, AHLI JAWATANKUASA DAPSY KEBANGSAAN.