Berita

Dua PBT Pulau Pinang terima Anugerah Khas IOPD di Brazil

GEORGE TOWN, 22 JUL: Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) menerima Anugerah Khas daripada International Observatory for Participatory Democracy (IOPD) baru-baru ini di Canoas City, Brazil.

Anugerah itu diberikan berikutan program memperkasakan kesaksamaan gender dan keadilan sosial Gender Responsive and Participatory Budgeting (GRPB) yang dilaksanakan oleh kedua-dua PBT itu dengan usahasama Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC).

Menurut Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas & Tebatan Banjir Chow Kon Yeow, penyenaraian kedua-dua PBT tersebut sebagai penerima anugerah merupakan saat paling membanggakan bukan sahaja bagi Pulau Pinang malah secara amnya buat Malaysia.

“Sungguhpun kita (Pulau Pinang) tidak memenangi anugerah utama Best Practice in Citizens Participation Distinction, yang dimenangi China, kita hanya di antara tiga buah negara lain, iaitu Mexico dan Peru, yang menerima Anugerah Khas ini,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Buletin Mutiara.

Turut hadir pada sidang media semalam ialah Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, Chong Eng, ADUN Penanti, Norlela Ariffin, Yang diPertua (YDP) MPPP, Datuk Ar. Patahiyah Ismail, YDP MPSP, Maimumah Mohd. Shariff, Setiausaha Perbandaran MPPP, Ir. Sr. Ang Aing Thye, Pengarah GRPB, PWDC, Aloyah Bakar dan wakil-wakil dari kedua-dua PBT dan PWDC.

Penganjur, iaitu IOPD adalah sebuah komuniti antarabangsa yang dianggotai pelbagai pertubuhan dan kumpulan penyelidik dari bandaraya di seluruh dunia yang berbincang dan berkongsi idea mengenai pelaksanaan demokrasi di peringkat akar umbi.

Rangkaian IOPD ditubuhkan semenjak 2001 sebagai sebahagian daripada rangka kerja Kesatuan Eropah bagi Program Bantuan Perbandaran (URB-AL) yang bertujuan meningkatkan penglibatan orang ramai dalam pendemokrasian di peringkat majlis perbandaran.

Mengikut rekod, Pulau Pinang adalah di antara 550 ahli IOPD dari 71 buah negara di serata dunia.

Tahun ini merupakan penyertaan sulung Pulau Pinang dan merupakan penyertaan ‘termuda’ dalam pelaksanaan GRPB, iaitu baru mencecah dua setengah tahun. – Roketkini.com