Berita

MH17: DAP khuatir tuntutan PBB tak dipeduli tiga pihak berkonflik

KUALA LUMPUR, 22 JULAI: Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang melahirkan kebimbangannya jika tuntutan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya siasatan penuh berhubung insiden jenayah MH17 tidak dipedulikan puak pemisah Russia, Russia dan Ukraine.

Kit Siang berkata, warga dunia menantikan apakah seruan PBB akan diberi perhatian dan disambut oleh ketiga-tiga pihak yang bersengketa itu.

Setiausaha Agung PBB Ban Ki Moon dalam satu kenyataan 19 Julai lalu menggesa “siasatan penuh dan telus pada peringkat antarabangsa” terhadap nahas pesawat.

“Namun persoalannya kini, apakah tuntutan PBB supaya siasatan antarabangsa penuh dan bebas serta ketetapan sebulat suara agar penyiasat diberikan akses ke lokasi kejadian termasuk seruan gencatan akan diterima puak pemisah Russia, Russia dan kerajaan Ukraine?

“Semua rakyat Malaysia dan rakyat 10 negara lain yang menjadi mangsa jenayah MH17 berhak untuk mengetahui siapakah penembak pesawat itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu menambah, rakyat Malaysia dan warga dunia juga mesti bersedia untuk menunggu lebih lama kerana pakar-pakar telah memberi amaran bahawa siasatan mungkin mengambil masa panjang, berkemungkinan sehingga tiga tahun.

Beliau turut mengulangi gesaan agar sokongan penuh diberikan terhadap usaha Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan kerajaan bagi menuntut keadilan pada kadar segera dan agar hukuman dikenakan terhadap penjenayah yang menembak pesawat Boeing 777 sehingga mengorbankan 298 penumpang serta anak kapal.

“Kejayaan (PM) mencapai persetujuan untuk memperoleh semula kotak hitam dan memindahkan hampir semua 298 mayat dari Torev (kawasan kawalan pemberontak Ukranine) ke Kharkiv seterusnya ke Amsterdam wajar dipuji,” kata Kit Siang.

DAP sokong usaha Perdana Menteri

Pengumuman Perdana Menteri mengenai persefahaman yang telah dicapai dengan kumpulan pemisah pro-Rusia di Ukraine untuk mengembalikan jenazah mangsa nahas pesawat MH17 serta kotak hitamnya kembali ke tanah air turut dialu-alukan oleh Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Beliau menyatakan kesediaan DAP untuk menyokong usaha Kerajaan Persekutuan membawa pulang jenazah mangsa kepada keluarga masing-masing.

“DAP bersetuju dengan Najib bahawa di kawasan konflik yang tidak jelas siapa pihak berkuasanya, menggunakan saluran diplomatik secara senyap adalah cara yang baik demi mencapai keputusan yang dikehendaki,” ujar beliau dalam satu kenyataan.

Suatu perjanjian telah dibuat awal pagi tadi dengan Alexander Borodai, yang mengakui dirinya sebagai Perdana Menteri puak pemisah Timur Ukraine yang mengawal daerah Donestk di mana MH17 terhempas.

Borodai memberi jaminan bahawa pasukan penyiasat antarabangsa akan diberi kebenaran masuk ke tapak nahas.

DAP dalam pada itu menggesa supaya pihak kerajaan memastikan siasatan rapi dilakukan demi menjamin keadilan ditegakkan terhadap mereka yang bertanggungjawab di atas kehilangan nyawa yang berlaku.

Jumaat lalu, mesyuarat tergempar PBB menuntut siasatan antarabangsa dibuat secara menyeluruh dan bebas terhadap insiden penembakan MH17.

Ban Ki Woon menegaskan bahawa kumpulan penyiasat mesti diberi akses segera supaya dapat memasuki lokasi nahas yang dikawal puak pemisah. -Roketkini.com