Berita

MH17: PR dan BN perlu bersama tunjukkan ketegasan kepada pihak terlibat

KUALA LUMPUR, 22 JUL: Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional perlu bersama-sama bersuara dengan tegas kepada pihak yang terlibat dalam tragedi MH17 dalam sidang parlimen tergempar berhubung isu itu esok.

Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong berkata, Pakatan Rakyat akan bersama-sama dengan kerajaan bagi menegakkan keadilan kepada mangsa-mangsa yang terkorban dalam serangan pengganas 17 Julai lalu itu.

“Kami bersolidariti dengan kerajaan…Malaysia perlu ada dasar luar yang lebih jelas dan tegas, antaranya dalam menuntut Russia untuk memberikan kerjasama,” katanya kepada Roketkini.

Beliau juga menyifatkan, perkembangan setakat ini menunjukkan puak pemisah yang disokong Russia nyata bertanggungjawab ke atas tragedi itu.

Menurut laporan akhbar The Kyiv Post, panggilan telefon antara anggota pemisah dan pegawai perisikan Russia menunjukkan perbualan berhubung sebuah pesawat yang berjaya ditembak, sebelum mendapati ia adalah sebuah pesawat penumpang.

Pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 terhempas akibat ditembak peluru berpandu darat ke udara di Donetsk, Ukraine yang menjadi kubu kuat pemisah tersebut.

Mengulas lanjut, Chin Tong berkata lagi, antara perkara yang perlu disuarakan Malaysia dengan lebih lantang adalah tentang pemulangan mayat-mayat mangsa dan penjagaan bukti di tapak terhempas.

“Kita perlu lebih lantang dalam menuntut jaminan agar setiap bukti dijaga, serta mayat dipulangkan ke pangkuan keluarga,” katanya sambil menyatakan sokongan terhadap desakan Datuk Seri Najib Razak agar mayat mangsa dipulangkan sebelum Hari Raya Aidil Fitri Isnin ini.

“Selain itu, kumpulan siasatan juga perlu dibenarkan (masuk ke tapak) melihat bukti-bukti mustahak. Sebelum ini, laporan menyatakan puak pemisah menghalang pemerhati daripada meninjau lokasi terhempas,” katanya lagi.

Selain itu, media juga melaporkan bahawa sebahagian barangan seperti kad kredit di lokasi terhempas telah dicuri puak pemisah. -Roketkini.com