Rencana

Godaan dan politik

Saya tidak akan memulakan artikel ini dengan menyembunyikan hakikat bahawa kebanyakan orang, lelaki dan juga wanita, mencuba sebaik mungkin untuk kelihatan menarik dan menyenangkan. Saya juga tidak akan memohon maaf kerana turut melakukannya.

Pastinya penampilan mempengaruhi keyakinan dan emosi kita. Maka, usaha dan rutin yang ketat yang diamalkan seseorang bagi mengekalkan penampilan fizikal perlu dilihat sebagai bukti disiplin dan tekadnya untuk menzahirkan profesionalisme, serta tanda kepada komitmen terhadap kehidupan seharian, termasuk berkhidmat kepada rakyat dan memperjuangkan apa yang kita percaya.

Baru-baru ini, media memainkan apa yang kini dikenali sebagai fenomena ‘awek cun’ dan DAP digambarkan giat merekrut wanita muda dan cantik.

Perhatian media ini tentunya membantu menarik lebih banyak perhatian kepada parti dan dasar yang ia perjuangkan. Ia membuka peluang kepada penggerak parti untuk menjelaskan kepada golongan muda yang celik politik perkara-perkara yang mampu ditawarkan oleh DAP kepada mereka. Pada masa yang sama, ia juga telah mencetuskan tidak sedikit kontroversi.

Malangnya, sesetengah pihak menanggapi peningkatan penyertaan wanita muda dalam politik sebagai suatu budaya ikut-ikutan untuk meraih populariti. Keadaan ini sangat mengecewakan. Lebih teruk, ada yang merasakan DAP menggunakan strategi ‘godaan’ demi menarik minat orang ramai.

Hal ini menampakkan realiti di negara kita, bahawa bila saja wanita yang menarik dan yakin-diri memutuskan untuk menyahut cabaran dan bertekad untuk melakukan perkara yang tidak sanggup dilakukan banyak orang lelaki, perkara pertama yang dilihat masyarakat adalah rupa-parasnya. Masyarakat umumnya patriarkal dan cenderung memandang wanita secara juling. Dalam keadaan ini wanita sudah merasa cukup payah untuk membuatkan masyarakat mereka secara serius, maka bertambah payah lagi apabila kami terus-terusan dinilai berdasarkan rupa.

Pada hemat saya, kita sepatutnya berbangga dengan saudari-saudari kita yang berjaya mengumpul keberanian dan menunjukkan ketegasan dalam menyuarakan pemikiran dan minat mereka dalam dunia politik Malaysia yang kasar. Lebih-lebih lagi apabila mereka memberanikan diri melawan arus. Berdasarkan pengalaman saya, yang perlu ditangani oleh wanita muda yang terlibat dalam politik bukan saja tekanan rakan sebaya dan sorotan mata masyarakat, kami juga terpaksa berdepan dengan kritikan tentang cara kami melemparkan senyuman.

Seperti yang dapat dijangka, kontroversi di sekitar label ‘awek cun’ telah menyebabkan semua orang mengabaikan hakikat bahawa DAP setakat ini berjaya mencapai apa yang tidak mampu dilakukan parti lain, iaitu memberi inspirasi kepada golongan wanita muda untuk menyertai dunia politik yang didominasi lelaki dan penuh sepak-terajang ini.

Malah, sebelum ini pun DAP memiliki ramai pemimpin wanita muda, antaranya Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching, Adun Damansara Utama Yeo Bee Yin, Ahli Parlimen Batu Kawan Kasthuri Patto, Adun Senai Wong Shu Qi dan Adun Johor Jaya Liow Cai Tung yang juga merupakan adun termuda DAP. Mereka semua adalah bukti kejayaan DAP menyediakan ruang dan peluang kepada wanita muda yang berkaliber.

Mereka itu tidak dibiarkan menghadapi serangan secara sendirian. Setiap pemimpin DAP disokong oleh ahli-ahli lain dan para pemimpin parti – lelaki dan juga wanita. Jika pemimpin lelaki dilihat lebih ramai daripada wanita, ia hanyalah cerminan daripada masyarakat kita, dan kami berusaha untuk mengubah imej itu. Paling jelas, kami boleh merasa bangga kerana para pemimpin parti menaruh keyakinan penuh terhadap keupayaan ahli-ahli muda.

Kecenderungan DAP untuk mengasah bakat pemimpin muda bukanlah sesuatu yang baru. Hampir semua pimpinan tinggi sekarang telah mengharung lautan api di awal kerjaya politik mereka. Syukurlah, mereka melihat ada hikmahnya meneruskan tradisi itu – iaitu tradisi membuka ruang kepada anak muda – dan bukannya membolot semua kuasa untuk diri mereka sendiri.

Sememangnya antara prinsip utama DAP ialah menyediakan pentas dan suasana yang sesuai bagi golongan muda – dan ruang semakin bertambah kini untuk wanita muda – untuk memainkan peranan mereka sebagai pemimpin masyarakat. Pelaburan ini cukup baik kerana separuh daripada warga Malaysia adalah wanita, manakala lebih 70 peratus rakyat Malaysia berusia 40 tahun ke bawah. Justeru itu, wanita sepatutnya sudah lama memainkan peranan yang lebih giat dalam tata kelola, tadbir urus dan proses pembuatan dasar.

Negara ini akan hanya maju apabila lebih separuh daripada warganya diwakili secara saksama. Wanita tidak harus diperlekehkan dengan memberi tumpuan hanya kepada rupa mereka. Masyarakat sepatutnya memberi galakan apabila mereka terjun ke dalam dunia politik.

Sebahagian daripada saudari-saudari kita dikurniakan rupa-paras yang cantik. Keadaan itu sepatutnya dihargai, bukan menjadi tumpuan utama. Tumpuan sepatutnya diberikan kepada apa yang mampu mereka tawarkan dan sumbangkan kepada negara. Sebaik sahaja kita berjaya melihat melangkaui rupa-paras mereka, kita akan mendapati bahawa itulah yang dilakukan para pemimpin wanita selama ini – untuk membina Malaysia yang lebih baik.

Akhirnya, saya ingin tekankan bahawa wajah yang cantik, kemampuan dan integriti bukanlah ciri yang semestinya tidak berkaitan. Ketiga-tiganya boleh hadir dalam satu pakej, dan ini bukannya sesuatu yang luar biasa. Seperti yang saya sentuh pada permulaan artikel ini, wanita tidak harus merasa malu dikurniakan wajah yang cantik.

Memang susah untuk menepis tuduhan bahawa wanita mempunyai kelebihan dengan daya tarikan seksual mereka. Namun semua itu tidak sepatutnya memesongkan kita daripada perjuangan yang lebih utama. Bagi saya sendiri, perkara yang sepatutnya lebih ‘menggoda’ kita adalah perjuangan untuk membentuk Malaysia yang lebih baik.

 

*Artikel ini ditulis bersama Rara Othman – Roketkini.com