Berita

Konflik Rusia-Ukraine jangan halang Malaysia cari keadilan

KUALA LUMPUR, 23 JULAI: Perbalahan politik dan ketenteraan antara Ukraine dan Russia tidak sepatutnya menjadi penghalang untuk Malaysia menuntut keadilan.

Dalam perbahasan Mesyuarat Khas Parlimen hari ini, Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng berkata Malaysia perlu memanggil Duta Rusia dan Ukraine untuk memberi penjelasan berhubung insiden MH17 yang terhempas di Ukraine.

“Kita tidak berminat dengan peperangan antara dua negara. Kita hanya mahu keadilan ditegakkan.

“Sebab itu usaha kita tidak boleh terhalang akibat perbalahan mereka. Jangan kerana dua gajah berperang, kancil tersepit di tengah,” kata Guan Eng dalam perbahasan di Dewan Rakyat.

Ukraine, sebuah negara bekas Kesatuan Soviet di semenanjung Crimea kini seolah-olah menjadi gelanggang pertarungan antara dua kuasa besar iaitu Amerika Syarikat dan Rusia.

Penganalisis politik antarabangsa membayangkan pertembungan ini memungkinkan cetusan gelombang kedua perang dingin selepas keruntuhan Kesatuan Soviet lebih 20 tahun dahulu.

Dalam pada itu, Guan Eng menegaskan serangan hendap yang dilakukan terhadap pesawat Penerbangan Malaysia MH17 adalah sangat tidak berperikemanusiaan.

“Kami mengecam keras pembunuhan yang tidak berhati perut ini. Perbuatan terkutuk ini adalah umpama haiwan bertopengkan manusia dan perlu segera dibawa ke muka pengadilan,” kata Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang.

Beliau juga turut mengulangi desakan agar kerajaan mengambil langkah perlu untuk mengheret pelaku jenayah pesawat MH17 segera ke muka pengadilan.

“Bukan saja penembak harus dikenakan hukuman, pembekal senjata kepada mereka juga perlu dikenakan tindakan,” katanya.

Setiausaha Agung DAP itu juga menegaskan bahawa meski pun langkah yang telah diambil oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak boleh dipuji, tapi kerajaan harus lebih bertegas lagi dan tidak perlu gentar dengan kuasa luar.

Guan Eng sebelum itu turut merakamkan ucapan takziah kepada semua warga Malaysia yang kehilangan nyawa dalam nahas terbabit. -Roketkini.com