Berita

MB Selangor: DAP, PAS tentukan dalam masa terdekat

KUALA LUMPUR, 23 JULAI: DAP dan PAS bersetuju menerima cadangan PKR untuk membuat penukaran Menteri Besar Selangor dengan meletakkan Ahli Dewan Undangan Negeri Kajang Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon.

Pada sidang media di Pejabat Ketua Pembangkang, Tingkat 14, di Parlimen hari ini, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan PAS dan DAP akan membawa perkara ini ke dalam mesyuarat tertinggi masing-masing.

“Parti DAP dan PAS akan membawa perkara ini ke dalam mesyuarat peringkat tertinggi parti masing-masing dan akan membuat keputusan dalam masa terdekat.

“DAP dan PAS secara dasarnya menghormati prinsip pencalonan jawatan Menteri Besar Selangor adalah daripada PKR,” kata Anwar dalam kenyataan bersama Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu.

Penerimaan Presiden PKR Wan Azizah sebagai calon telah diputuskan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat, tengah hari tadi.

Sementara itu, Malaysiakini melaporkan DAP Selangor menyokong perlantikan itu, namun menyerahkan sepenuhnya kepada kepimpinan parti untuk membuat keputusan.

“Kita sokong segala keputusan yang akan dicapai, Pakatan dijangka mengadakan perjumpaan dengan kepimpinan tertinggi hari ini bagi membincangkan isu itu,” kata Timbalan Setiausaha DAP Selangor Ng Suee Lim.

“Wan Azizah mampu urus tadbir negeri dengan baik dan kami tetap beri sokongan,” katanya. – Roketkini.com