Berita

Ambil pandangan rakyat sebelum lulus enakmen tanah Johor

NUSAJAYA, 24 JUL: Pusat Penyelidikan Pakatan Rakyat Johor (Joprec) mencadangkan kerajaan negeri mengadakan siri penerangan, rundingan awam serta mendapatkan pandangan orang ramai berhubung Enakmen Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor 2014.

Menurut Joprec lagi, siri itu perlu diadakan secepat mungkin sementara menunggu enakmen itu diperkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ismail Sultan Iskandar.

“Memandangkan Rang Undang-undang (RUU) ini dibantah masyarakat dan Pakatan, kertas kerja ini berhasrat menarik perhatian rakyat negeri dan pihak berkepentingan untuk berbincang dengan mendalam berhubung kesan RUU ini kepada perumahan dan hartanah di Johor.

“Ia (penerangan) harus diadakan di seluruh negeri. (Melalui siri itu) penganjur pertemuan akan menyampaikan perasaan orang ramai, keprihatinan dan persoalan lanjut kepada pihak berkuasa negeri secara langsung melalui wakil rakyat.

“Ia boleh membantu kerajaan negeri menyahut titah Sultan agar RUU ini dijelaskan dengan terperinci kepada rakyat negeri,” menurut kertas kerja JOPREC – RUU Lembaga Perumahan Dan Hartanah 2014.

Terdahulu, Pakatan Rakyat Johor pada 22 Julai lalu menyerahkan kertas kerja perundingan awam Enakmen Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor 2014 itu kepada kerajaan negeri di pejabat Menteri Besar, di Kota Iskandar, Nusajaya.

RUU itu diluluskan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor 9 Julai lalu, dengan 10 pindaan.

Pindaan itu dibuat ekoran kritikan pelbagai pihak, termasuk Barisan Nasional sendiri lantaran RUU asal yang memberi kuasa terlalu besar kepada Sultan Johor.

Kuasa Exco dan Lembaga bertindih, tiada semak imbang?

Melalui kertas kerja itu, Joprec membangkitkan beberapa persoalan, antaranya pertindihan kuasa antara Lembaga itu dengan badan sedia ada, iaitu Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang bertanggungjawab dalam soal perumahan dan hartanah.

Kertas kerja itu juga mempersoalkan sama ada lembaga akan terbabit dengan perniagaan, kerana menurut Fasal 7 dan jadual kedua enakmen itu, lembaga boleh menubuhkan syarikat serta menggubal peraturan pengurusan bagi syarikat tersebut.

“Jika Lembaga ini ingin melibatkan diri dengan perniagaan, mengapa tidak lakukannya melalui syarikat di bawah Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Johor (PKENJ)?” soal Joprec

Dalam kertas kerja tersebut Joprec bimbang liabiliti syarikat tersebut akan ditanggung kerajaan negeri sekiranya berlaku kerugian.

Kertas kerja itu juga menyentuh Fasal 35 enakmen yang menyatakan ‘Lembaga bertanggungjawab terhadap perkembangan, promosi dan pemudahcaraan (facilitation) pembangunan perumahan dan hartanah dalam negeri’.

“Tanggungjawab itu diterangkan dengan terma yang luas maknanya.

“Adakah Lembaga merampas tanggungjawab pihak berkuasa negeri? Dengan adanya Lembaga ini, apakah peranan Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Jawatankuasa Eksekutif nanti?” soalnya lagi.

“Menurut Fasal 45, Lembaga diberi tanggungjawab yang luas untuk menggubal peraturan (termasuk isu pemilikan tanah).

“Bidang kuasa ini akhirnya akan menjadikan Lembaga sebagai pengawal utama perumahan dan hartanah. Adakah wujud ‘semak dan imbang’ nanti?” soal Joprec. – Roketkini.com