Berita

DAP ucap tahniah kemenangan Jokowi dipilih Presiden baru Indonesia

KUALA LUMPUR, 24 JUL: Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menyampaikan ucapan tahniah kepada Joko Widodo, atau lebih mesra dipanggil ‘Jokowi’, yang telah dipilih sebagai Presiden baru Indonesia.

Kata Guan Eng, walaupun datang daripada keluarga yang tidak berada, kemenangan Jokowi yang dikenali sebagai calon reformis membawa harapan besar kepada bangsa Indonesia dan negara tetangga demi mencipta masa depan negara yang lebih makmur.

“Pada sisi lain, pemilihan Jokowi sebagai Presiden adalah kemenangan untuk prinsip-prinsip demokrasi, penentangan terhadap rasuah dan politik bersih tanpa fitnah.

“Indonesia berjaya membuktikan bahawa taktik kotor dengan tuduhan kononnya Jokowi bukan seorang Muslim atau dia tunduk kepada kepentingan golongan bukan-Muslim tidak berjaya.

“Sebaliknya Jokowi wajar dipuji kerana menolak untuk membalas dengan kempen kotor terhadap saingan politiknya,” kata Guan Eng dalam satu kenyataan.

Jokowi dan regunya Jusuf Kalla diumumkan memenangi pilihan raya presiden Indonesia 2014 menewaskan Prabowo Subianto-Hatta Rajasa dengan majoriti 53.15 peratus undi.

Sementara itu kata Guan Eng, Malaysia sepatutnya mempelajari cara pengendalian pilihanraya secara adil dan telus yang menghormati prinsip ‘satu orang, satu-suara, satu-nilai, mematuhi kehendak majoriti dan bukannya pentadbiran oleh kelompok minoriti.

Tambahnya, komitmen yang kuat untuk memerangi rasuah adalah penting bagi pertumbuhan ekonomi kerana pasaran antarabangsa meletakkan harapan tinggi kepada Indonesia, sesuatu yang wajar dicontohi oleh pentadbir di Malaysia.

Dalam pada itu, Guan Eng turut meletakkan harapan kepada Jokowi untuk mencari langkah-langkah berkesan dan konkrit bagi menghentikan masalah jerebu dari Indonesia, terutamanya dari bahagian Kalimantan dan Sumatera.

Ia dipercayai akibat pembakaran hutan secara haram untuk penanaman kelapa sawit oleh pengusaha yang tidak bertanggungjawab.

“DAP menyuarakan harapan 28 juta rakyat Malaysia yang mencintai alam sekitar agar Jokowi mampu mencari jalan dan mengakhiri masalah pencemaran akibat jerebu yang saban tahun menganggu kita.

“Kejayaan ini akan meningkatkan hubungan Indonesia Malaysia ke tahap baru, sesuai dengan peranan Indonesia sebagai pemimpin serantau dan mewakili kepentingan penduduk di negara-negara ASEAN,” ujar Guan Eng. – Roketkini.com