Berita

Palang besi DBKL menjelang raya, ‘hadiah’ kejam buat gelandangan

KUALA LUMPUR, 24 JULAI: Tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memasang palang besi di bangku awam yang digunakan gelandangan untuk tidur adalah tindakan kejam, kata kumpulan Dapur Jalanan Kuala Lumpur.

Dapur Jalanan dalam kenyataannya berkata, pemasangan palang besi di bangku-bangku awam sekitar ibu kota oleh DBKL adalah tindakan yang tidak bertimbangrasa dan boleh dianggap sebagai ‘hadiah’ oleh DBKL kepada warga miskin kota menjelang hari raya Aidil Fitri minggu depan.

“Kami dari awal lagi menyeru pemerintah untuk menghentikan segala operasi bersifat ‘pembersihan’, penangkapan serta apa jua bentuk tindakan agresif kepada gelandangan dan warga miskin.

“Mesyuarat sudah diadakan dua kali dan sedang menghampiri ke peringkat merangka penyelesaian bersama Kementerian Wilayah Persekutuan. Pertemuan secara terus juga sedang dirancang. Semangat perundingan harus dihormati,” kata Dapur Jalanan dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, beberapa organisasi prihatin termasuk Dapur Jalanan telah mengadakan perbincangan dan rundingan dengan Kementerian Wilayah Persekutuan berhubung isu gelandangan dan warga miskin kota.

Ini kerana Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor sebelum ini bercadang untuk menyaman pemberi sedekah kerana dianggap menggalakkan warga tidak berumah untuk menganggur dan terus tinggal di jalanan.

Bagaimanapun, arahan dikeluarkan pada 8 Julai dengan kelonggaran kepada organisasi prihatin untuk meneruskan kegiatan memberi makanan percuma sehingga 16 Ogos, namun dengan jarak 2 kilometer dari pusat kota.

Menurut Dapur Jalanan, pertemuan dan perbincangan antara kedua-dua pihak kini difahamkan hampir mencapai ke peringkat penyelesaian dalam mencari jalan berhubung isu tersebut.

Justeru itu, langkah terkini yang diambil DBKL adalah satu bentuk serangan baru pemerintah terhadap warga miskin kota.

“Apa yang dilakukan DBKL jelas membelakangi semangat perundingan dan perbincangan bersama Kementerian, sekaligus mensabotaj usaha semua pihak dalam mencari penyelesaian isu warga miskin kota serta golongan tak berumah,” tegas Dapur Jalanan. – Roketkini.com