Berita

Pakatan bakal berpecah jika parti komponen tak peduli keputusan bersama

KUALA LUMPUR: Isu politik yang paling besar selepas Hari Raya Aidilfitri ialah sama ada sistem dua parti di Malaysia – Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional – akan terus kekal berikutan kemungkinan PR akan berpecah kerana bertentangan pendirian.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata PR mungkin berpecah kerana kegagalan atau keengganan salah satu parti komponen untuk menghormati dan memegang janji kepada keputusan yang telah pun dicapai secara bersama.

“Sekiranya keputusan yang dicapai bersama dalam Majlis Pimpinan Tertinggi PR boleh ditidakkan begitu sahaja oleh suatu pihak, maka kredibiliti dan survival PR akan terus tergugat.

“Tanpa PR, Malaysia akan kembali balik kepada era monopoli kuasa yang rakus menindas rakyat dan hanya memihak kepada kroni tertentu,” katanya dalam perutusan Aidilfitri di sini hari ini.

Selain pergeseran dalam PR, kemeriahan Aidilfitri tahun ini turut dimalapkan dengan tragedi pesawat udara MH17 yang ditembak jatuh oleh pengganas.

Guan Eng berkata beliau bagi pihak DAP sekali lagi merakamkan rasa kepiluan dan kesedihan serta doa kepada keluarga dan kenalan mangsa-mangsa tragedi MH17 serta MH370 yang hilang secara misteri.

“DAP juga bersama rakyat Malaysia yang prihatin sentiasa berdoa demi keselamatan dan keamanan di bumi Palestin. Kami menyokong perjuangan rakyat Palestin untuk bebaskan diri daripada serangan dan keganasan Israel ke atas Gaza.

“Inilah juga harapan DAP yang saya yakin dikongsi bersama oleh majoriti rakyat Malaysia, termasuk umat Islam di negara ini yang sama-sama cintakan keamanan dan demokrasi,” tambah beliau.- Roketkini.com