Rencana

Perutusan Hari Raya Aidilfitri 1435 DAP Oleh Setiausaha Agung DAP dan Ahli Parlimen Kawasan Bagan Lim Guan Eng

Salam Aidilfitri saya ucapkan kepada umat Islam di mana sahaja berada serta selamat bercuti kepada semua rakyat Malaysia. Kepada mereka yang bertugas pada 1 Syawal ini, khususnya anggota keselamatan negara kita, saya ucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terimakasih atas kegigihan dan pengorbanan mereka untuk menjamin keselamatan dan kesejahteraan kita semua.

Sesudah berpuasa selama sebulan sepanjang Ramadan, inilah masanya umat Islam riang gembira menyambut ketibaan Hari Raya. Namun kemeriahan Aidilfitri kali ini sudah tentu terjejas dengan tragedi yang menimpa Malaysia.

Saya bagi pihak DAP ingin sekali lagi merakamkan rasa kepiluan dan kesedihan serta doa kami kepada keluarga dan kenalan mangsa-mangsa tragedi MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine baru-baru ini serta MH370 yang masih hilang di Lautan Hindi.

DAP juga bersama rakyat Malaysia yang prihatin sentiasa berdoa demi keselamatan dan keamanan di bumi Palestin. Kami menyokong perjuangan rakyat Palestin untuk bebaskan diri daripada serangan dan keganasan Israel ke atas Gaza. Inilah juga harapan DAP yang saya yakin dikongsi bersama oleh majoriti rakyat Malaysia, termasuk umat Islam di negara ini yang sama-sama cintakan keamanan dan demokrasi.

Kita harus mendukung kebenaran, keadilan dan kedaulatan undang-undang tanpa pilih bulu dalam bidang ekonomi, sosial, rasuah dan politik negara. Tumpuan utama harus diberikan kepada ekonomi memandangkan negara kita menghadapi krisis hutang, bukan sahaja hutang kerajaan persekutan sebanyak RM541 bilion atau 54% GDP tetapi juga dengan hutang peribadi isi rumah yang kedua tinggi di Asia sebanyak 87% GDP atau RM854.3 billion pada akhir tahun 2013.

Selagi amalan rasuah tidak dapat diatasi dengan menerima pakai sistem tender terbuka secara kompetitif maka hutang kerajaan persekutuan tetap akan terus naik untuk membiayai projek-projek. Dengan inflasi, GST 6% dan harga barangan naik, kos hidup akan naik kepada 80% penduduk yang memperolehi Pendapatan Kasar Bulanan Isi Rumah Purata kurang daripada RM4,573 (pada akhir tahun 2012).

Demi mengurangkan beban kewangan daripada membayar hutang mereka, kerajaan persekutuan harus mengkaji apakah jenis bantuan untuk golongan yang terpaksa mengambil hutang peribadi. Contoh Korea Selatan yang “mengampunkan” sampai 50% hutang peribadi untuk golongan miskin boleh dipertimbangkan.

Selain daripada masalah sosial seperti penyalahgunaan dadah, timbul kontroversi isu gelandangan dengan tindakan yang dijanjikan diambil selepas Hari Raya Aidilfitri oleh Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan.

Isu politik yang paling besar selepas Hari Raya Aidilfitri ialah sama ada sistem dua parti di Malaysia akan terus kekal ekoran kemungkinan PR mungkin pecah kerana kegagalan atau keengganan salah satu parti komponen untuk menghormati dan memegang janji kepada keputusan yang telah pun dicapai secara bersama.