Rencana

Apa itu Impian Malaysia?

Pada suatu ketika dahulu, sebuah parti politik ditubuhkan. Namanya Parti Tindakan Demokratik atau DAP. Ia mahu menganjurkan Malaysian Malaysia, satu idea untuk sebuah bangsa yang bersatu, sebuah negara untuk semua warga, tanpa mengira kaum dan agama. Dengan itu Malaysia tidak akan dimonopoli oleh mana-mana kaum, agama atau ideologi, seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Idea itu lahir hampir setengah abad yang lalu. Ia mungkin kedengaran lapuk oleh sesetengah orang, malah jelik bagi mereka yang bersifat perkauman. Sungguhpun tujuannya mulia, Perikatan dan penggantinya Barisan Nasional, di bawah kawalan Umno, menerusi media yang dikuasainya, telah menzahirkan idea itu sebagai sesuatu yang jahat, terutama di kalangan orang Melayu.

Halangan

Sehingga hari ini, masih ada orang Melayu yang percaya Malaysian Malaysia adalah percubaan untuk menghancurkan Melayu, walau tiada seorang pun yang pernah menjelaskan secara terperinci bagaimana rancangan jahat itu akan dilaksanakan. Dengan kata lain, ia hanyalah dusta yang ditanam dan disebarkan Umno-BN sejak bertahun-tahun lamanya.

Namun dalam politik, hampir segala-galanya adalah tentang tanggapan. Maka Malaysian Malaysia telah menjadi kata yang kotor, dimuntahkan media milik Umno serta aparat kerajaan yang lain, antaranya kursus bina semangat dan ceramah politik. Malah Malaysian Malaysia telah memulakan jalan bagi Umno BN untuk meluaskan sempadan kawalan mereka dengan mencela kalimah seperti ‘liberal’, ‘sekular’, ‘plural’ dan banyak lagi yang membawa makna kebebasan, demokrasi dan hak.

Akan tetapi, banyak rakyat Malaysia, termasuk Melayu, yang tidak mudah ditakutkan dengan kawalan seumpama itu. Mereka tahu sebahagian pemimpin dalam kerajaan Umno-BN hanyalah cuba mengaut kuasa dengan cara mengukuhkan hegemoni, terutama dengan memperguna, menyalahguna dan mencabul agama serta kaum. Bagi DAP sendiri, ia sudah menderita hampir 50 tahun ekoran fitnah dan tohmah sebagai parti cauvinis Cina dan komunis. Namun, parti itu masih berdiri teguh. Kini, berbanding sebelum ini, anak muda Malaysia menjadi semakin berminat untuk memahaminya. Ramai sudah menyertai, lebih ramai pula yang menimbang untuk menyertainya.

Tambah mengejutkan Umno dan kroni politiknya, anak muda Melayu pun berminat untuk menyertai, atau sekurang-kurangnya untuk mengetahui dengan lebih mendalam tentang DAP. Sebahagian daripada mereka mungkin tertanya-tanya, “Apa yang sedang berlaku?”

Tentunya ada yang mempunyai pandangan sendiri tentang fenomena ini – mungkin kerana generasi alafi (lahir selepas 1985) yang tiada beban sejarah; mungkin internet telah membantu anak muda melangkaui politik lama; atau mungkin hanya kerana rasa ingin tahu atau sikap memberontak anak muda.

Atau mungkin – terutama untuk sesetengah orang Melayu – kerana imej Dyana Sofya Mohd Daud, calon DAP pada Pilihanraya Kecil Teluk Intan yang lalu, yang memberikan harapan kepada era politik baru di Malaysia.

Apa pun sebabnya, bagi DAP, ia adalah satu lagi harapan baru kepada proses ‘peremajaan’ parti yang belum selesai. Peremajaan bukan bermaksud menambah wajah muda dalam parti, tetapi juga menerbitkan idea-idea baru; membuka ruang untuk gabungan kekuatan antara orang muda dan ‘orang lama’, dengan impian bersama untuk Malaysia baru.

Impian

Impian Malaysia juga melangkaui parti. Ia adalah impian untuk seluruh rakyat Malaysia. Inilah gagasan ‘Impian Malaysia’.

Seperti kata-kata Lim Kit Siang:

“Impian Malaysia membayangkan sebuah masyarakat yang majmuk di mana setiap warga bersatu, bangkit melampaui perbezaan etnik, agama, budaya dan bahasa, di mana titik persamaan mengikat mereka sebagai satu warga, melangkaui perbezaan-perbezaan tersebut yang memecahbelahkan mereka.

“Impian Malaysia bukan baru muncul hari ini. Ia malah telah wujud sebelum tertubuhnya Malaya dan Malaysia.

“Pemimpin Melayu Johor Dato Onn Jaafar juga telah memperjuangkannya 62 tahun lalu pada tahun 1951 apabila beliau mencadangkan Umno membuka pintu kepada bukan-Melayu dan menukar namanya daripada United Malays National Organisation kepada United Malayans National Organisation.

“Ini adalah sumbangan patriotik yang berbaloi kepada Impian Malaysia yang dikongsi semua rakyat yang patriotik, tanpa mengira kaum, agama dan daerah, selama berdekad-dekad, sama ada di Malaysia atau yang berada di luar negara.”

Kata-kata itu diungkapkan setahun lalu, ketika Kit Siang melancarkan gerakan Impian Malaysia di Gelang Patah, Johor, bagi merekrut “agen…untuk kegiatan dan program kita demi mencanangkan jatidiri dan kesedaran ‘Malaysia’, terutama di kalangan generasi muda.” Tokoh veteran DAP itu serius dengan impian dan harapannya.

Maknanya, Impian Malaysia bukanlah sekadar slogan, ia ditujukan kepada generasi muda. Ia mencabar mereka untuk berada di barisan hadapan. Ia mahu mereka melaksanakan kata-kata, kerana pemimpin Umno-BN telah gagal menyediakan suasana, ruang dan padang kepada anak muda untuk berekspresi tanpa sebarang kerisauan. Umno-BN telah mengecewakan anak muda yang muak dengan politik kebencian, pelecehan dan diskriminasi kaum, ketidakadilan ekonomi, jurang pendapatan, kurangnya peluang pekerjaan dan kecemerlangan akademik, kebebasan seni budaya yang terhad dan banyak lagi bentuk sekatan yang tidak perlu.

Realiti

Maka, Impian Malaysia bertujuan untuk menyatukan rakyat Malaysia melalui segala bentuk program, kegiatan dan idea yang menganjurkan persefahaman dan toleransi. Impian Malaysia adalah idea sekaligus program yang berhasrat untuk memberdayakan rakyat, terutama yang terpinggir dan serba kekurangan.

Hakikatnya, pelbagai program sudah pun bermula sejak tahun lalu dengan pelancaran ‘Impian Sarawak’, di mana ahli DAP bersama-sama sukarelawan bekerjasama dengan orang kampung untuk membina kemudahan awam seperti jalanraya, bekalan air dan elektrik, serta pelbagai kemudahan lain. Seterusnya ‘Impian Sabah’, dan kini lebih banyak projek yang serupa, termasuk program pemeliharaan alam sekitar dilaksanakan di Semenanjung Malaysia.

Kalangan yang sinis sentiasa mempunyai masa dan tenaga untuk menuding kepada kelemahan. Kebanyakan mereka akan melihat Impian Malaysia tidak lebih sekadar satu gagasan atau, paling buruk, sebagai slogan politik. Tentunya mereka berhak untuk menyatakan pendapat. Namun janganlah sampai mereka lupa, bahawa tiada apa yang lebih kuat daripada gagasan yang waktunya telah menjelang – ungkapan yang sering disabitkan kepada penulis hebat Perancis Victor Hugo.

Namun, ini tidak semestinya bermakna ia akan berjaya dengan begitu sahaja. Banyak di kalangan kita memahami bahawa jika gagasan seumpama Impian Malaysia dapat memenangi hati dan fikiran seluruh rakyat, tamatlah politik perkauman dan parti politik berasaskan kaum di negara kita. Kita tahu, mereka yang berada di tampuk kuasa pada masa ini tidak akan menyukainya.

Maknanya, untuk menjadikan Impian Malaysia satu kenyataan bukanlah mudah. Fikiran, kudrat dan ketabahan generasi muda sangat diperlukan. Dengan bantuan pengalaman dan buah fikiran generasi terdahulu, anak muda akhirnya dapat mencapai impian peluang yang sama rata, seperti yang dicita-citakan Dato Onn mendahului zamannya.

Pada masa yang sama, perlu dinyatakan bahawa Impian Malaysia bukanlah sesuatu yang baru. Ini tidak bermaksud kita hendak kembali ke zaman lalu. Sebaliknya kita hendak membangkitkan kembali gagasan yang sudah bersama kita untuk satu tempoh yang panjang. Melaksanakan Impian Malaysia juga menandakan tekad kita untuk membuat perkara yang betul tanpa merasa takut kepada bayang-bayang sendiri. Ia tidak mudah, tetapi boleh dilakukan jika kita benar-benar mahu.

Tulisan ini adalah terjemahan daripada rencana yang disiarkan dalam naskah terbaru The Rocket, terbitan Ogos 2014 – Roketkini.com