Rencana

Ritual balik kampung

– Aliff Fikri

Baru-baru ini, di sebuah kedai buku ‘second hand’, saya terjumpa buku The Adventures of Tom Sawyer karya Mark Twain. Saya memilih tidak membelinya kerana sedang berjimat (alasan tak mahu beli paling kukuh), tapi membaca barang sehelai dua isi kandungannya yang menceritakan tentang pengembaraan seorang budak nakal bersama seorang rakan bernama Huckleberry Finn.

Buku ini memang tidak menceritakan pengembaraan besar nan hebat penuh liku-liku, tapi cukup rencah dan tidak lari daripada premis mencari jatidiri. Saya, jujur, selalu mengagumi apa saja bentuk penjelajahan, pengembaraan dan bahasa sedapnya ‘melancong’, atau jalan-jalan.

Sebelum tahun 2004, saya jarang melancong kerana sebahagian besar hidup dihabiskan di tempat kelahiran. Kota Bharu – sebuah kota nyaris primitif tapi masih indah dipandang walaupun sudah menjadi seakan-akan kota di negara Arab dengan seni bina yang tak lepas dari tulisan-tulisan jawi, demi untuk menunjukkan keislaman (tahap logik Kelantan, tanpa tulisan jawi maka hilanglah keislaman warga).

Bermula daripada hisap puting, tadika, sekolah, cinta monyet, curi buah mangga, ponteng mengaji, bergaduh, hisap rokok sorok-sorok dan semua kesenangan waktu muda serta sedu-sedannya dihabiskan di sini. Saya berterima kasih kepada orang tua saya kerana jarak yang begitu dekat ini, kedekatan yang terlalu basi untuk dituliskan berjela-jela.

Pada dasarnya, saya memang suka berjalan-jalan. Saya pernah bercita-cita (sempat diprotes ibu) untuk ke Norway. Senibina Norway telah membangkitkan rasa ghairah dan mengundang saya untuk bermimpi tentang nikmat hidup. Oslo, kota historik yang menyimpan banyak nilai sejarah dari zaman Haakon V of Norway sampai era penulis Neo-realism Knut Hamsun.

Namun, apabila meningkat dewasa dan bekerja di Kuala Lumpur, cita-cita ke Norway saya lupakan. Kerana kota besar dan saya tidak akan pernah akur antara satu sama lain. Hubungan saya dan kota besar tidak pernah mesra.

Di Kuala Lumpur yang katanya menjanjikan segala-galanya, saya tidak pernah menemukan belas kasihan. Saya menghirup udara kebencian setiap hari. Maaf, saya tidak ingin menjadi sentimental. Tapi pengalaman bertahun-tahun di sini sebagai individu merdeka, membuatkan saya dapat merasakan aura ego dan bongkak dalam setiap langkah .

Saya mungkin hanya korban dari kotak pandora bernama televisyen. Sebuah tontonan dan mitos Kuala Lumpur yang ditayangkan di dalamnya. Kuala Lumpur ‘world class city’, fitnah paling keji yang pernah saya dengar selepas dakwaan seorang rakan bahawa filem arahan Ahmad Idham adalah avantgarde.

Ahli Falsafah Douglas Kellner menyebut menyebut keadaan ini sebagai Mega Spectacle dalam ayat seperti berikut:

“Media spectacles are often constructed and played out in the form of megaspectacles whereby events…to dominate an ever-mushrooming tabloid and infotainment culture.”

“Megaspectacles fixate attention on events that distract people from the pressing issues of their everyday lives with endless hype on shocking crimes, sports contests and personalities, political scandals, natural disasters and the self-promoting hype of media culture itself.”  (page 93, Media Spectacle)

Pernyataan Kellner membuatkan saya mahu meludah ke muka sendiri.

Berpaut pada Kellner, saya mula sangsi dengan perantau di ibu kota. Saya yakin keberanian mereka hanya setingkat saja daripada kisah Perseus (lagenda Greek) ketika mengalahkan binatang gergasi Kraken, tindakan yang tidak membawa sebarang makna. Mereka ini (termasuk saya) mengagahkan diri dan menelan segala kenikmatan dari keserabutan kerja. Sama ada menjadi pemandu teksi, penjaga tol, kuli, perasuah, ahli parlimen, pelacur, perasuah, kerani bank, penjual Chee Cheong Fun, perasuah, pengawal istana, prebet sapu, polis dan mungkin penulis.

Pekerjaan yang bukan hanya menuntut daya tahan namun kepandaian dalam mencari celah dan helah, kerana Kuala Lumpur bukanlah Kaherah atau Mekah. Secara automatiknya doa susah sampai.

Kadang saya hairan, untuk apa manusia bekerja? Cari makan? Apa lagi selepas keinginan makan dipenuhi? Sudah tentu buat beli iPhone, menonton wayang Gold Class, beli kereta Peugeot, bersantai di kafe sambil memesan secawan kopi dengan harga RM17 dan ratusan lagi senarai panjang yang entah bila dapat diselesaikan. Akhirnya, manusia-manusia ini hanya akan terjebak pada keinginan yang banal. Kemudian diamini dengan berderet pernyataan bahawa semuanya perlu untuk kelangsungan eksistensial diri. Kerana itu sajalah objektif bekerja keras saban hari.

Hari ini (ketika ditulis), 27 Julai 2014, hari terakhir puasa. Esok, Hari Raya atau Lebaran akan tiba. Setiap kali ia datang, muncullah peristiwa balik kampung, yang merupakan kepulangan besar-besaran warga kota mengalahkan penghijrahan burung bangau dari hemisfera utara ke semenanjung. Saya pasti, Jumaat lalu,  telah ramai yang pulang. Oh, maaf, saya tidak peduli soal ‘sudah’ atau ‘belum’ mahupun ‘tidak’, kerana bukan itu yang mahu saya tulis.

Untuk mendapatkan kepastian, saya cuba merujuk dari mana lahirnya perkataan Balik Kampung. Saya tak faham kenapa ia dinamakan sedemikian rupa. Malangnya kamus Dewan termasuk Pusat Rujukan Persuratan Melayu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sendiri masih belum menemui definisi mahupun etimologinya.

Saya membuat penakulan sendiri bahawa ia adalah peristiwa rombongan jemaah (meminjam perkataan Arab) manusia proto kuli, pulang dari mencari nafkah di kota, pulang dari menuntut ilmu ataupun pulang dari kegagalan nasib ke tempat so called rumah.

Saya sendiri terjebak dengan budaya ini. Secara harfiah, balik kampung adalah pulang ke tempat kita membesar atau tempat tinggal ibu-bapa. Tetapi apabila dikaitkan dengan konteks ruang dan waktu, ia adalah perpindahan sekelompok manusia dari suatu kota menuju kampung tempat dengan nilai sentimental.

Beberapa laporan media melaporkan, seramai sejuta warga kota akan pulang tahun ini. Bayangkan sejuta orang memenuhi jalan dan semua itu dilakukan hanya kerana mahu balik kampung. Mungkin ini ada kaitannya dengan kisah Exodus dalam kitab Taurat. Kisah yang menceritakan tentang Musa memimpin Bani Israel( Yahudi) menuju tanah dijanjikan dan ternyata balik kampung mempunyai premis sama cuma terbalik dari segi ‘mana’, ‘ke mana’, ‘bermula’ dan ‘berakhir’.

Balik kampung adalah kembali dari tanah yang menjanjikan ke tempat kelahiran.

David Chaney dalam Lifestyles (1986) mengatakan pada abad ke 18 dan 19 berlakunya urbanisasi besar di kota Inggeris. Pertumbuhan pesat kota menjanjikan kemakmuran dan kesenangan mendorong warga yang tinggal di hutan pergi ke kota untuk mencari nafkah dan mengenal peradaban. Sesiapa yang masih tinggal di hutan kemudiannya dianggap sebagai ahli sihir (witchcraft). Kebanyakan dari mereka akhirnya menolak untuk kembali sebab tidak mahu dianggap jahat.

Tetapi mereka ini tetap tidak pernah sesekali melupakan akar budaya khususnya dalam ritual menyambut Krismas. Dalam konteks masyarakat Melayu pula, kehendak bersama dalam kebersamaan itu terlalu kuat, pada saya, sebab itulah balik kampung boleh terjadi.

Dalam buku berjudul Affair: Obrolan Tentang Jakarta, karya Seno Gumira Ajidarma, terkandung sebuah bab menarik, ‘Jakarta tanpa Indonesia’. Seno merakamkan keresahannya hidup di tengah kota Sunda Kelapa (Jakarta), keresahan yang sekian lama tersimpan dalam kepala dan perlu dituang pada khalayak. Saya menggantikannya dengan Kuala Lumpur, Kuala Lumpur tanpa Malaysia. Apa terjadi? Tentunya Masjid Jamek tetap Masjid Jamek, Brickfields tidak akan sesak pada jam 5 petang, Stadium Merdeka tetap Stadium Merdeka dan tidak ada istilah Balik Kampung.

Ya, ia mungkin tidak membawa erti, tapi setidaknya kita akan tenang di rumah tanpa rasa khuatir keadaan sanak-saudara atau keluarga di jalan raya yang sedang dalam proses balik kampung.

Saya tidak ada masalah dengan balik kampung, apa yang saya bimbangkan hanya keselamatan. Kita harus ingat, penyakit kronik rakyat Malaysia adalah cepat lupa, ditambah dengan hobi para pemimpin yang suka buat-buat lupa. Kemalangan jalanraya tetap menjadi pembunuh nombor satu, lebih banyak daripada kematian akibat kencing manis dan darah tinggi. Prasarana, keselamatan jalanraya, pengangkutan awam dan ulat tiket masih masalah besar. Kemalangan bukan sekadar ‘shit happens’, tapi tanggungjawab pemerintah bagi menjamin keselamatan penggunanya.

Balik kampung itu mistik. Mantera yang menarik ramai orang dari tempat begitu jauh hanya untuk kembali sejenak pada suasana rumah. Suasana kampung yang sentimental. Balik kampung ternyata adalah pembebasan, selepas bertahun bekerja, pulang ke kampung halaman untuk menebus dosa, Bercengkerama bersama keluarga, teman, handai-taulan, bekas kekasih, jiran dan musuh. Di mana lagi kita mampu untuk berada dekat dengan masa lalu selain kampung kelahiran?

Balik kampung adalah sebuah pelarian, eskapisme. Sebuah momen terbebas daripada hiruk pikuk kerja, deadline, rush hour dan politik pejabat. Dalam momen yang sementara itu kita kembali, menjadi diri sendiri, anak, adik, cucu, jiran dan apa saja. Sehinggalah ke momen ‘pelacuran’, saat kembali bekerja, mencari wang, marah-marah, jual diri dan menjilat.  Untuk kembali lagi tahun berikutnya dalam suasana penuh syahdu.

Selamat menunaikan ritual balik kampung, semoga selamat sampai tujuan. -Roketkini.com