Rencana

Whatsapp bocor dan asas Pakatan Rakyat

oleh Al-Mustaqeem M Radhi

Dr Zuhdi Marzuki memberi penjelasan yang amat baik berkaitan isu Whatsapp bocor AJK PAS Pusat. Sayang penjelasan panjang beliau tiba terlewat, meskipun sejak awal lagi berulangkali beliau didesak berbuat demikian, antaranya menerusi facebook oleh pemimpin muda PKR Amin Ahmad, bekas calon untuk DUN Kuala Perlis.

Barangkali Hari Raya menyebabkan Dr Zuhdi gagal menjelaskan dirinya lebih awal, padahal itu yang seharusnya dibuat beliau sebaik saja Whatsapp ‘analisis senario’ bocor ke pengetahuan umum.

Whatsapp bocor itu telah merosakkan ‘mood’ raya saya dan mungkin juga Dr Zuhdi sendiri dan banyak orang lain. Namun, mood raya yang rosak bukan persoalan besar, kerana peristiwa politik tidak menunggu masa yang sesuai untuk muncul.

Seperkara yang, pada saya, terang-terangan tidak sepatutnya dilakukan oleh Dr Zuhdi, iaitu memberi penjelasan pendek tidak lama setelah mesej Whatsapp berkenaan bocor. Penjelasan beliau menambah garam ke luka sekurang-kurangnya dengan dua cara.

Pertama, ia mengandaikan bahawa khalayak tidak terbaca atau tidak mampu memahami kata ‘analisis senario’. Dalam ungkapan lain, penjelasan awal itu membuatkan orang merasa beliau menganggap khalayak tolol.

Kedua, entah kerana memang beliau sengaja mengelak, tidak terperasan, atau sibuk dengan Raya, beliau tidak menjelaskan bahagian kedua Whatsapp bocor itu. Bahagian kedua inilah yang lebih dipermasalahkan.

Hari ini, Dr Zuhdi memberi juga penjelasan yang mungkin telah dijangka oleh sebahagian kita – bahawa ‘jentik’ dan ‘sergah’ tidak lain hanyalah sindiran dari pihak beliau terhadap suatu kelompok dalam PAS yang tidak menyukai DAP. Maksudnya, kalau PAS bergabung dengan Umno, mudahlah kelompok tertentu itu memuaskan hati mereka untuk berbuat sesuka hati terhadap DAP dan juga para liyan yang kafir dan bukan-Melayu.

Penjelasan kedua Dr Zuhdi hari ini secara terus-terang mengakui bahawa kelompok itu – kita namakan saja mereka kelompok ‘Yuji’ – sememangnya wujud, anti-liyan* dan bersikap kasar terhadap liyan.

Saya percaya, bahagian kedua Whatsapp yang bocor itulah yang mengundang marah banyak pihak. Bahagian jentik dan sergah itu mengingatkan orang bahawa kelompok Yuji sebenarnya masih kuat dalam PAS sehingga perlu dilukiskan senario untuk mereka dalam perbincangan di kalangan pemimpin PAS Pusat. Maka, marah orang juga boleh difahami sebagai luapan daripada rasa kecewa kerana setelah sekian lama berpakat, masih ada unsur dalam Pakatan Rakyat yang politiknya perkauman, fasis dan taksub.

Pada awalnya saya juga amat marah dengan kandungan Whatsapp itu sehingga merasa bahawa telah tiba masa untuk para pemimpin yang progresif dalam PAS merentas laluan lain untuk menjarakkan diri daripada anasir perkauman dalam PAS, sama ada dengan menyertai parti-parti lain dalam Pakatan atau menubuhkan parti baru. Mujur saudara saya Adun DAP Pasir Pinji Howard Lee mengingatkan bahawa dalam setiap parti pasti ada ketegangan, misalnya antara pendukung aliran sosialis dan liberal, antara kelompok Islamis totok dan moderat, antara pembela ‘politik lama’ dan pendukung ‘politik baru’, dan sebagainya. Menurut hemat Howard, tidak wajar menghukum PAS hanya kerana dalam perut parti itu masih ada saki-baki anasir rasis dan fasis. Apatahlagi boleh dikatakan setiap parti dalam Pakatan masih dalam proses untuk ‘menjadi’.

Bagaimanapun, persoalan yang segera timbul setelah kesedaran itu ialah, tidakkah parti-parti dalam Pakatan telah menyepakati hal-hal tertentu yang telah jelas? Dalam ‘Muafakat Rakyat’ disebut cita-cita Pakatan untuk “berubah dari dasar perkauman sempit kepada kerukunan hidup beragama, nilai kemanusiaan, berlandaskan prinsip akhlak dan etika hak asasi, prinsip negara hukum tanpa memilih darjat, kaum atau kelompok.”

Maka tanda tanya yang timbul sekarang ialah, bilakah lagi PAS akan membasmi unsur-unsur taksub perkauman dan keagamaan yang meminggirkan jutaan warga Malaysia jika sehingga kini unsur rasis dan fasis dalam parti itu masih berkeras untuk tidak mengubah sikap?

Seperkara yang menghairankan dalam penjelasan terkini Dr Zuhdi itu, beliau berulangkali menegaskan bahawa beliau bukan ahli politik. Politik pada asasnya adalah “kegiatan mempengaruhi urus-tadbir sesebuah negara.” Maka saya kurang faham mengapa sesetengah orang segan-silu memakai gelaran ahli politik, sedangkan mereka terlibat dalam kerja mulia menguruskan negara.

Tentunya orang yang berpolitik boleh disebut sebagai ahli politik, apatahlagi orang seperti Dr Zuhdi yang bukan saja menyertai parti politik, malah turut mengepalai unit penyelidikan parti dan laman fb-nya banyak pula berisi catatan yang jelas bertujuan mempengaruhi pandangan politik khalayak, termasuk tentang pertukaran MB Selangor.

Maka sukar untuk kita melihat alasan mengapa Dr Zuhdi menjauhi gelaran “ahli politik” seolah-olah ia sesuatu yang kotor dan keji. Pastinya beliau selama ini tidak merasa geli-geleman bertemankan ahli-ahli politik dalam PAS.

Kembali kepada isu Whatsapp bocor, kita mengalu-alukan penegasan PAS bahawa ia akan terus bersama Pakatan. Harapan kita agar bukan hanya jasad parti itu bersama DAP dan PKR, tetapi juga jiwa dan semangat, berpijak pada “prinsip negara hukum tanpa memilih darjat, kaum atau kelompok.”

* ‘Liyan’ adalah istilah Jawa yang kurang lebih bermaksud “pihak lain selain saya/kita.”
** Penulis adalah editor Roketkini.com