Berita

PR akan selesai isu pertukaran MB dengan semangat bersama

KUALA LUMPUR, 3 OGOS: Kepimpinan tertinggi Pakatan Rakyat (PR) menegaskan akan menangani isu pertukaran Menteri Besar Selangor dengan semangat setiakawan dan persefahaman bersama.

Perkara itu dinyatakan dalam kenyataan bersama Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang semalam.

“Memahami bahawa suara dan hasrat Rakyat yang telah memberikan kepercayaan dalam Pilihanraya Umum ke-13 lalu untuk mentadbir tiga negeri.

“Mengamati semangat persefahaman dan setiakawan Pakatan Rakyat merupakan asas kekuatan perjuangan membawa perubahan dan agenda reformasi.

“Kami beriltizam meneruskan perjuangan ini dengan mengukuhkan persefahaman dan setiakawan koalisi politik dalam kerangka Dasar-Dasar Bersama,” kata kenyataan tersebut.

PR turut mengulangi bahawa setiap isu berbangkit akan diselesaikan secara kolektif dan semangat bersama.

“Kami juga komited untuk mendepani isu-isu berbangkit mutakhir ini secara kolektif, berani, berprinsip dengan berteraskan nilai-nilai sejagat yang dikongsi bersama demi memenuhi amanah dan tanggungjawab rakyat,” kata mereka. -Roketkini.com