Rencana

Jizyah dan tuhan ISIL

‘Convert, pay tax or die!’ Demikian ancaman yang dilaungkan oleh self-appointed khilafah ISIL (Islamic State of Iraq and Levant), kepada umat Nasrani di Mosul, Iraq. Penerusan amalan pengambilan jizyah daripada rakyat yang bukan beragama Islam sebenarnya sudah dijangka daripada kumpulan yang mentadbir wilayah mereka menurut acuan khilafah primitif dan kuno ini.

Kecelaruan ini timbul kesan daripada kefahaman yang salah terhadap ayat ke-29 dari Surah at-Taubah yang bermaksud:

“Perangilah orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan tidak beriman kepada hari akhirat, dan mereka pula tidak mengharamkan apa yang telah diharamkan oleh Allah dan RasulNya, dan tidak berugama dengan ugama yang benar, iaitu dari orang- orang yang diberikan Kitab (kaum Yahudi dan Nasrani), sehingga mereka membayar “Jizyah” dengan keadaan taat dan merendah diri.”

Kefahaman secara literal tanpa meihat kepada konteks sejarah ketika ayat tersebut diturunkan telah menyebabkan roh di sebalik penerapan jizyah itu terabai. Dr Jasser Auda, ilmuan kontemporari dari Jordan telah menulis makalah ringkas berkenaan isu ini, bertajuk ‘The Fair Logic of Jizyah’ (yang boleh dibaca di laman web rasmi beliau www.jasserauda.net). Beliau menyeru kita membezakan antara Islam sebagai sebuah tamadun dan Islam sebagai sebuah agama. Jizyah, menurut beliau, hanyalah semata-mata suatu kebijakan politik yang mempunyai tujuan dan maksud di sebalik pelaksanaannya.

Dalam konteks sejarah, jizyah dikenakan kepada non-Muslim hanya sebagai imbangan terhadap kewajipan zakat yang dikenakan kepada Muslim. Bahkan kadar jizyah secara konsisten adalah lebih rendah berbanding zakat. Tambahan pula, non-Muslim pada waktu itu tidak diwajibkan untuk menyertai tentera bagi mempertahankan Madinah memandangkan peperangan pada waktu itu adalah didorong atas faktor agama, iaitu kaum Muslim melawan kaum Musyrikin yang hasad, selain melawan kaum Yahudi yang mencabul perjanjian dan Nasrani yang mentadbir wilayah kekuasaan mereka dengan penuh kezaliman.

Amalan jizyah ini diteruskan di zaman khilafah seterusnya sepanjang sejarah umat Islam kerana mengambil kira faktor politik yang masih tidak banyak berubah. Rakyat di bawah pemerintahan khilafah dikelaskan dan dibezakan mengikut agama, iaitu Muslim dan bukan-Muslim – semudah itu.

Syukurlah, reformasi yang dilakukan ketika pemerintahan khilafah Osmaniah sekitar abad ke-19 telah memansuhkan amalan jizyah dengan jayanya, mengambil kira faktor kemodenan yang melanda dunia ketika itu. Kerakyatan sesebuah negara tidak lagi dibezakan mengikut agama, bahkan setiap orang adalah sama dari segi taraf dan disisi undang-undang. Pengkelasan rakyat non-Muslim kepada “kafir dzimmi” dan “kafir harbi” justeru dianggap ketinggalan zaman oleh banyak ulama kontemporari, antaranya Dr Yusof Qaradawi dan Syeikh Rached Ghannouchi.

Jizyah sebagai ganti kepada jaminan perlindungan yang akan diberikan oleh kerajaan Islam kepada rakyatnya yang bukan-Muslim. Persoalannya, apakah ISIS sedang melindungi Kristian yang terpaksa bernaung di bawahnya? Bahkan menurut beberapa laporan media antarabangsa, ada sesetengah keluarga Kristian yang terpaksa memeluk Islam kerana tidak mampu membayar jizyah dan, pastinya, kerana sayangkan nyawa. Nah, satu lagi jenayah yang dilakukan atas nama agama dan jihad. Sejak bila pula Islam memaksa manusia memeluknya?

Dorongan tuhan

Karen Armstrong, dalam karyanya A History of God telah menyimpulkan pemikiran Mulla Sadra, filasuf dan ahli teologi dari Iran mengenai hakikat Tuhan: “God is not a reality that can be known objectively, but will be found within the image-seeking faculty of each individual Muslim.”

Dalam buku tersebut juga, beliau telah berkali-kali memetik beberapa pandangan ahli teologi dari pelbagai agama dan aliran dari sepanjang zaman yang menegaskan, perbincangan mengenai ‘Tuhan’ yang kita jalankan sekarang sebenarnya tidak lain tidak bukan hanyalah projeksi dan imaginasi akal manusia, bukannya hakikat sebenar mengenai Tuhan. Tiada siapa tahu hakikat dan realiti sebenar Tuhan, malah setiap manusia akan mempunyai gambaran sendiri mengenai Tuhan, bergantung kepada ‘alat’ atau sumber yang digunakan dalam mengenal hakikat Tuhan.

Suatu yang pasti, tindakan rakus ISIL itu pastinya didorong oleh keimanan mereka pada Tuhan. Mereka percaya mengambil jizyah daripada non-muslim adalah kewajipan yang ditetapkan Tuhan, meskipun bertentangan dengan norma-norma politik abad ke-21 yang menekankan keadilan dan kebebasan individu. Mereka mungkin juga percaya, menghancurkan gereja berusia 1800 tahun di Mosul itu akan menggembirakan tuhan yang mereka sembah, meski praktis politik Nabi tidak pernah memberi contoh bahawa baginda mewajarkan hal yang demikian. Penghancuran kuil dan tempat-tempat bersejarah (termasuk kubur yang didakwa milik Nabi Yunus a.s) yang mirip kepada tindakan Taliban yang meruntuhkan patung Buddha Bamiyan di Afghanistan turut memberi petunjuk. ISIL dan Taliban mungkin berkongsi tuhan yang sama – tuhan yang bencikan seni dan kesenian.

Namun harus diingat, tuhan mereka adalah tuhan yang dahagakan darah, sedangkan tuhan kita ialah tuhan yang kasihnya melimpah; tuhan mereka mempromosikan peperangan dan penyembelihan, manakala tuhan kita menginginkan perdamaian dan keamanan; Tuhan mereka laksana komander tentera di medan perang, Tuhan kita pula persis penyair yang mendendangkan bait-bait cinta. Itulah bezanya antara tuhan mereka dan kita!

Kerana itu pedulikan saja dakwaan mereka dan tuhan mereka, kerana tuhan golongan pencinta pasti menang, dan tuhan golongan pelampau akan sentiasa tewas. Dan kerana akhirnya, cinta pasti menang, dan akan sentiasa menang.

* Luqman Tarmizi adalah penuntut jurusan Sarjana Muda Fiqh dan Fatwa, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

** Rencana ini berdasarkan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Roketkini.