Rencana

Anwar: Riwayatnya satu peperangan

Pernah seorang sahabat berjenaka bahawa nama Anwar dengan sendiri telah mengisahkan riwayat hidupnya – an-war, maksudnya satu peperangan. Bermula dari seorang aktivis mahasiswa, Anwar memahat nama melalui wadah ABIM, dan kemudian mendaki tangga kuasa dalam UMNO. Selangkah lagi ke puncaknya, Anwar jatuh pada tahun 1998 sebagai banduan di Sungai Buloh.

Sungai Buloh bukan stesen terakhir perjuangannya. Selepas tercetus Tsunami Politik 8 Mac 2008 dengan gelombang “makkal sakti”, Anwar ditampilkan di muka depan majalah Newsweek dengan tajuk “To hell and back” (pulang dari neraka). Anwar dijangka untuk mengecapi puncak kedua dalam kerjaya politiknya. Padahal Anwar hampir melakukannya, sama ada melalui langkah “16 September” pada tahun 2008, atau PRU13 dengan kejayaan merangkul 51% undi popular.

Tidak dinafikan, bahawa langkah politik Anwar sentiasa mencungkil pertikaian, misalnya rampasan kuasa 16 September melalui “penyeberangan” ahli parlimen dari Barisan Nasional ke Pakatan Rakyat. Taktik politik sebegini kurang selesa untuk pembangkang yang selama ini tidak pernah membayangkan kemungkinan pertukaran kerajaan. Anwar dikritik, lebih-lebih lagi oleh rakan seperjuangannya sendiri, sungguh pun saya kurang pasti sama ada pengkritik ini akan menolak manisan hasilnya jikalau cubaan Anwar berjaya.

Ironinya, pernah juga saya terdengar rungutan bahawa Anwar kekurangan “killer instinct”, sentiasa berlembut hati apabila sampai pada detik saat genting untuk “membunuh” musuhnya. Sifat melepaskan musuh ini sebaliknya telah menyebabkan dirinya cuba dibunuh berkali-kali oleh musuhnya.

Pada masa yang sama, Anwar dilihat terlalu “tergopoh” untuk berkuasa. Dalam pada itu, Anwar juga dilihat sentiasa ragu-ragu ketika bertindak. Beliau cuba berbaik-baik dengan semua orang, tetapi berakhir dengan pengkhianatan orang rapatnya. Kesemua persepsi dan sifat ini semestinya memberi kesan kepada perjuangan Reformasi.

Namun kebanyakan kita selalu terlepas pandang kedudukan Anwar yang cukup “kontradiksi”. Ya, beliau pemimpin tertinggi dalam barisan pembangkang, sepatutnya bertegas untuk memastikan ideanya diterima. Tetapi beliau juga orang yang paling berhutang budi terhadap pemimpin lain. Beliau perlu mengambil kira perasaan orang yang pernah membelanya, sama ada melalui karya buku, perbicaraan di mahkamah, mahupun demontrasi di jalanraya. Tatkala beliau dipersoalkan mengapa masih lembut bahasanya dalam isu pertukaran Menteri Besar Selangor, beliau juga “diingatkan” bahawa Khalid Ibrahim adalah satu-satunya nama besar yang berani menziarah Anwar ketika beliau meringkuk di penjara – seolah-olah untuk membayangkan Anwar seorang insan yang tidak mengenang budi.

Dan pernah juga seorang veteran media yang terbelenggu dengan keuzuran mengingatkan saya, “Mahathir berumur 56 tahun ketika menyandang jawatan Perdana Menteri. Pak Lah yang paling tua pun berusia 64 tahun ketika mengambil alih kuasa dari Mahathir. Anwar sudah berusia 66 tahun pada 2013. Lebih-lebih lagi dia pernah menjalani pembedahan. Orang macam kami ini akan merasakan diri tidak mempunyai masa yang lebih untuk menunggu lagi.”

Saya menganggap ia sedikit-sebanyak menjelaskan dilema Anwar. Reformasi Malaysia sudah berdekad tertunda, dan semestinya banyak masalah yang perlu dileraikan seandainya Anwar mengambil alih tampuk kuasa. Beberapa struktur perlu dirombak untuk memastikan Malaysia meluncur di landasan yang betul di masa depan. Ia memerlukan azam politik yang kuat, dan disempurnakan tokoh yang berwibawa.

Saya mengakui sesetengah kritikan terhadap Anwar kena pada tempatnya, memandangkan tiada manusia yang sempurna, tetapi perlu juga kita mengambil kira konteksnya apabila menilai seseorang. Kita boleh bercakap apa sahaja tentang Anwar dan keluarga beliau, tetapi kita perlu juga bersikap adil – berapa orang tokoh politik yang boleh bertahan seperti Anwar, tabah mengharungi segala serangan jijik dari UMNO sehingga hari ini? Bukankah juga pendemokrasian politik Malaysia mempunyai hubungan yang amat rapat dengan pengorbanan keluarga Anwar yang kini cuba dilemparkan dengan segala sindiran?

Barangkali sinaran Anwar sedikit malap berbanding zaman sebelum PRU13, namun realitinya Anwar tetap musuh yang paling digeruni UMNO-BN, sehingga beliau perlu disumbat semula ke penjara pada usia 67 tahun untuk mematikan Langkah Kajang.

Mungkin ada yang mencadangkan Anwar untuk bersara, agar dirinya dikenang sebagai ketua pembangkang yang mendekatkan Malaysia dengan impian pertukaran kerajaan persekutuan. Namun itu bukan sifat Anwar. Bagai seorang pejuang, beliau melakukan segala yang mampu, mencuba segala kemungkinan ketika berdepan dengan kezaliman regim UMNO-BN.

Sesetengah tokoh hanya hidup untuk dihormati tetapi bukan digeruni. Namun tokoh yang dihormati mungkin hanya mampu memahat nama, tetapi gagal menggerakkan roda sejarah kerana terlalu lembut untuk berdepan dengan kesamsengan musuh. Penghormatan terhadap Anwar mungkin terkikis, tetapi padahalnya beliau masih antara yang paling digeruni BN. Anwar boleh menjaga namanya, tetapi apa maknanya nama individu dijaga tetapi pendemokrasian Malaysia kekal terbantut di tempat asal? Mungkin itu sebabnya Anwar tidak akan bersara, kerana namanya ialah an-war. -Roketkini.com