Berita

Jangan berpecah hanya kerana seorang individu – Lim Lip Eng

KUALA LUMPUR, 14 OGOS: Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng mengingatkan bahawa Pakatan Rakyat  tidak perlu berpecah hanya kerana seorang individu bernama ‘Khalid Ibrahim’.

Kata Lip Eng, kerjasama erat selama ini antara PAS, PKR dan DAP seharusnya dipertimbangkan di saat-saat genting ketika ada pihak yang cuba melaga-laga persaudaraan yang telah lama dibina.

“Sejarah kerjasama parti-parti komponen Pakatan Rakyat mencatat begitu banyak kenangan yang baik-baik; terutamanya kemenangan besar dalam tsunami politik Mac 2008 serta kejayaan mendapatkan sokongan padu majoriti undi popular dalam PRU ke-13 tahun lalu.

“Kita mahu diingati sejarah untuk peristiwa sedemikian. Kita pastinya tidak mahu diingati sejarah kerana bergolak dan berpecah belah akibat kemelut Menteri Besar Selangor,” kata Lip Eng dalam satu kenyataan.

Tambah Lip Eng beliau gusar apabila mendapat maklumat bahawa ada pihak yang tidak selesa dengan persaudaraan Pakatan Rakyat, namun ‘malu-malu mahu mengaku teringin tidur sebantal dengan Umno dan BN’.

“Kalau tidak lagi selesa bersama semangat Pakatan demi kepentingan rakyat tanpa mengira kaum, agama, dan status ekonomi; kenapa mesti malu-malu mahu menyatakan keinginan untuk bersama Umno-BN?

“Saya menyeru sahabat-sahabat yang setia memperjuangkan kepentingan rakyat untuk menzahirkan kesetiaan kepada semangat Pakatan Rakyat dan jika sebaliknya berhajat untuk tidur sebantal dengan Umno, janganlah segan silu untuk mengaku,’ kata Lip Eng yang juga Setiausaha DAP Wilayah Persekutuan.

Beliau dalam pada itu menyatakan rasa gembira apabila dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS Selangor, iaitu Saari Sungib dan Hasnul Baharuddin, bertindak menyatakan sokongan kepada Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail selaku Menteri Besar yang baru.

Tengahari tadi, Saari dan Hasnul hadir bersama-sama semua Adun DAP dan PKR Selangor dalam sidang media bagi menunjukkan Wan Azizah memiliki majoriti yang cukup untuk menjadi MB baru negeri itu.

Sokongan itu sekaligus menamatkan kelayakan Khalid Ibrahim untuk terus memegang jawatan itu.

“Saya cukup gembira membaca berita itu…Bagi saya semangat setiakawan Pakatan mesti dijaga di saat genting sebegini.

“Saya menyeru sahabat-sahabat yang setia memperjuangkan kepentingan rakyat untuk menzahirkan kesetiaan kepada semangat Pakatan.

“Kita tidak mahu tersudut di nota kaki sejarah sebagai sebuah gabungan politik yang gagal dan berpecah selepas bertahun membina impian dan harapan baru bagi rakyat Malaysia

“Dahulukanlah kepentingan rakyat, janganlah sampai Pakatan Rakyat berpecah. Janganlah sampai pakatan politik ini hancur akibat perbuatan seorang manusia,” ujar Lip Eng. – Roketkini.com