Berita

‘Ayat Quran mana larang wanita jadi pemimpin?’

KUALA LUMPUR, 16 OGOS: Agama Islam sama sekali tidak melarang golongan wanita menjadi pemimpin, kata aktivis hak asasi dan pengarah dokumentari Norhayati Kaprawi.

Memetik kisah Pemimpin Saba’ (kini Yaman) Permaisuri Balqis, beliau menjelaskan, Islam sebaliknya mengangkat kepimpinan wanita.

“Dalam Al-Quran tiada satu ayat pun yang kata wanita tidak boleh jadi pemimpin.

“Malah, (Al-Quran melalui surah An-Naml) memuji Balqis sebagai pemimpin hebat. Ini menunjukkan Islam sememangnya mengiktiraf kepimpinan wanita,” katanya dalam forum sempena Simposium Wanita, Pesta Ilmu Universti Terbuka Anak Muda petang tadi.

Beliau menyangkal hujah pembentang sesi sebelumnya, iaitu ahli akademik Dr Khalif Muammar berhubung kesamarataan dan Islam.

Ketika sesi itu, Dr Khalif menyatakan Islam mewajibkan kepimpinan tertinggi dipegang oleh golongan lelaki.

Mengulas lanjut, realiti sejarah dan masa kini telah pun membuktikan kebolehan wanita dalam memimpin.

“Pada masa kini, banyak negara yang hebat dipimpin wanita. Misalnya (Canselor Jerman) Angela Merkel. Dari sudut sejarah, kerajaan Acheh pernah melantik wanita sebagai laksamana,” katanya lagi.

Ahli panel kedua, Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat Mumtaz Md Nawi turut menyampaikan hujah senada.

Katanya, kedatangan Islam sendiri telah membebaskan wanita daripada belenggu penindasan masyarakat ketika itu.

“Misalnya, wanita sebelum itu tidak layak mewarisi harta. Keadaan itu berubah selepas kedatangan Islam,” katanya lagi.

Beliau turut menyatakan bahawa isteri Nabi Muhammad, Khadijah Khuwaylid yang merupakan seorang usahawan berjaya sebagai bukti wanita bukanlah golongan yang dipinggirkan dalam Islam. – Roketkini.com