Berita

Keputusan PAS: Selesaikah kemelut?

KUALA LUMPUR, 17 OGOS: Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang ditunggu-tunggu akhirnya selesai bermesyuarat hari ini, dengan keputusan mengekalkan nama Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan menambah Timbalannya Azmin Ali sebagai calon Menteri Besar Selangor yang baru.

Keputusan itu disampaikan melalui kenyataan empat perenggan yang ditandatangani Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Beliau berkata, keputusan itu dicapai “setelah berbincang dan membuat pertimbangan dari pelbagai sudut.”

“PAS tidak akan menuntut jawatan itu. PAS juga menghormati semangat dalam Pakatan Rakyat dalam mencalonkan nama MB.

“Sehubungan itu, PAS sebulat suara setuju untuk mengangkat dua nama bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Nama yang dicadangkan adalah Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan Mohammad Azmin Ali,” katanya.

Selepas menunggu selama hampir seminggu, keputusan itu tidak membayangkan sebarang kemelut akan berkurangan, memandangkan keputusan PKR dan DAP sebelum ini yang tetap ingin Wan Azizah mengetuai pentadbiran negeri terkaya itu.

Namun, PAS tetap menyatakan komitmennya untuk tetap bersama-sama dalam Pakatan Rakyat.

“PAS akan terus komited dengan Pakatan Rakyat dalam melaksanakan kerjasama politik Tahaluf Siyasi,” katanya.

Mesyuarat tersebut juga memutuskan empat Exco kerajaan negeri tidak akan meletakkan jawatan, bagi “memastikan khidmat kepada rakyat tidak terjejas”. – Roketkini.com