Berita

Kerajaan yang ‘cerdik’ akan angkat hak wanita tanpa disuruh

KUALA LUMPUR, 17 OGOS: Kerajaan yang ‘cerdik’ adalah kerajaan yang memperjuangkan hak wanita tanpa perlu ‘disuruh’, kata Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat Mumtaz Md Nawi.

“Perjuangan hak wanita seakan sukar diterima. Di sini, ia perlu diangkat secara beramai-ramai dan konsisten.

“Walhal, kerana sesuatu itu dipanggil sebagai ‘hak’, ia sepatutnya dilaksanakan tanpa perlu diminta. ‘Mereka yang di atas’ sepatutnya boleh fikir sendiri,” katanya dalam forum sempena Simposium Wanita Universiti Terbuka Anak Muda (UTAM) semalam.

Beliau membangkitkan kegagalan kerajaan dalam menyediakan kemudahan asas khusus untuk golongan itu, seperti ruang menyusu.

“Walaupun akta berhubung penjagaan anak diluluskan di Parlimen, masih tiada bilik khas untuk menyusu di sana. Begitu juga dengan di mahkamah,” katanya lagi.

Seksyen 81 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 menyatakan, ibu adalah yang paling berhak berbanding orang lain bagi menjaga anak kecilnya dalam masa ibu itu masih dalam perkahwinan dan juga selepas perkahwinannya dibubarkan.

Justeru kata Mumtaz, apa yang diperlukan negara adalah pemimpin lelaki dan wanita yang memahami keperluan dan kehendak kedua-dua golongan, seterusnya menterjahkannya dalam bentuk dasar dan pelaksanaan.

Selain beliau, turut menjadi panel dalam forum tersebut adalah aktivis hak asasi dan pengarah dokumentari Norhayati Kaprawi.

Forum itu adalah sebahagian daripada Pesta Ilmu UTAM, yang berlangsung pada hari ini dan esok di Rumah Pena, Jalan Dewan Bahasa di sini.

Pelaksanaan lemah burukkan agama

Dalam pada itu, Norhayati mempersoalkan pelaksanaan lemah undang-undang syariah, terutama yang membabitkan golongan wanita.

Beliau mengambil contoh sistem Faraid (pembahagian harta) dan hubungan antara suami isteri.

“Daripada berceramah tentang cara memukul isteri yang ‘Islamik’, mengapa tidak dibicarakan bagaimana menyelesaikan konflik menerusi perbincangan?

Menurut sistem Faraid, harta yang diwarisi anak lelaki lebih banyak daripada perempuan. Namun, harta itu adalah hak eksklusif bagi anak perempuan, manakala anak lelaki perlu mengagihkannya kepada tanggungannya, iaitu anak dan isteri.

“Asasnya benar. Tapi realitinya bagaimana? Adakah undang-undang syariah yang menghukum jika anak lelaki tidak menunaikan tanggungjawabnya?

“Mengapa ulama’ tidak memikirkan tentang hal ini?” soalnya lagi.

Segala kelemahan ini, katanya lagi, menyebabkan tanggapan buruk masyarakat bukan Islam terhadap kedudukan wanita dalam agama.

“Kata Norhayati umat Islam tidak boleh marah dengan tanggapan sebegitu, kerana ‘pelaksanaan adalah hasil pemahaman kita terhadap agama.” – Roketkini.com