Berita

Pakatan Rakyat hargai keputusan PAS, Wan Azizah kekal calon MB Selangor

KUALA LUMPUR, 17 OGOS: Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat memutuskan untuk mencalonkan Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Ismail sebagai calon menteri besar Selangor bagi menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Presiden PAS Mohamed Sabu selepas mesyuarat Majlis Presiden PKR, DAP dan PAS di Hotel Empire di Subang Jaya, Selangor petang tadi.

“Majlis Pimpinan juga mengambil maklum dan menghargai pencalonan YB Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan YB Mohamed Azmin Ali untuk jawatan Menteri Besar.

“Bagaimanapun YB Mohamed Azmin Ali menegaskan bahawa beliau kekal menyokong keputusan parti PKR untuk menamakan YB Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon YAB Menteri Besar baru Selangor.

“Maka dengan ini Pakatan Rakyat akan meneruskan proses untuk menyembahkan keputusan ini kepada ke bawah DYMM Tuanku Sultan Selangor,” kenyataan tersebut dipetik.

Kenyataan bersama itu turut menghargai keputusan PAS untuk kekal dalam Pakatan Rakyat dan keperluan menggantikan YAB Menteri Besar Selangor, seperti dinyatakan parti Islam itu dalam kenyataannya, tengah hari ini.

Mesyuarat PKR sebelum ini memutuskan untuk tetap menyokong Wan Azizah sebagai calon Menteri Besari Selangor seperti yang diputuskan parti itu 21 Julai lalu. – Roketkini.com