Berita

DAP komited tuntut keadilan Beng Hock, gesa IPCMC dibentuk

GEORGE TOWN, 18 OGOS: DAP menegaskan akan terus komited memperjuangkan isu kematian dalam tahanan bagi memastikan mangsa, termasuk Teoh Beng Hock, dan ramai lagi, mendapat pembelaan sewajarnya.

Penolong Setiausaha Publisti DAP Kebangsaan Zairil Khir Johari berkata, kes kematian dalam tahanan tidak boleh dibiarkan berterusan berlaku kerana ia bukan saja mencabuli hak asasi individu, malah mencemarkan kredibiliti pihak berkuasa sendiri.

“Kes kematian dalam tahanan di negara kita membuktikan bahawa perkara paling pokok hak asasi manusia, iaitu kesucian nyawa, langsung tidak dihiraukan pihak berkuasa.

“Perjuangan menuntut keadilan dalam kes seperti Beng Hock adalah melangkaui politik, kerana ia bertujuan untuk mengembalikan integriti sistem keadilan negara agar rakyat mendapat jaminan hidup lebih selesa.

“Dalam kes Beng Hock, walaupun tindakan Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tersebut tidak mewakili semua pegawai SPRM lainnya, tapi perilaku mereka yang tidak bersungguh dan tidak jujur telah memperjudikan integriti badan terbabit secara menyeluruh,” katanya dalam pelancaran buku Surat Dari Syurga di Restoran Passion of Kerala, New World Park, semalam.

Justeru itu, Zairil yang juga Ahli Parlimen Bukit Bendera menyatakan, jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah yang makin meruncing ini adalah dengan membentuk Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC).

“Saya percaya, kita sebagai rakyat Malaysia yang prihatin tanpa mengira agama dan kaum akan berusaha menghalang kes kematian dalam tahanan dari berulang serta memastikan IPCMC dapat dibentuk.

“Hanya dengan suruhanjaya yang bebas, barulah keadilan dapat dikembalikan dan keyakinan rakyat terhadap integriti pihak berkuasa dapat dipulihkan,” ujarnya.

Dalam pada, Zairil turut menyelar Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar yang sehingga kini masih dapat bergerak bebas walaupun didapati bersalah dalam kematian A Kugan.

“Mahkamah Rayuan sendiri telah mendapati Khalid (Ketua Polis Selangor ketika kematian Kugan) bertanggungjawab dan bersalah.

“Di negara lain, kalau ada Ketua Polis Negara yang didapati bersalah sudah tentu beliau akan meletakkan jawatan tapi tidak di Malaysia, malah masih dapat terus bekerja seperti tidak ada apa berlaku,” tegasnya.

Surat Dari Syurga, hasil karya Faisal Mustafa setebal 63 halaman adalah buku yang menceritakan kisah-kisah benar berhubung kematian Beng Hock, telah dilancarkan semalam oleh Zairil mewakili Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

Selain Zairil, Faisal, dan adik Beng Hock, Teoh Lee Lan, turut menyampaikan ucapan.

Sasterawan Negara Datuk A Samad Said yang juga Presiden Teoh Beng Hock Trust For Democracy turut menyampaikan ucapan dan mendeklamasikan sajak khas ‘Mengenang Tragedimu Teoh’ untuk mendiang.

Pelancaran buku sempena ulang tahun kelima pemergian Beng Hock tersebut adalah anjuran bersama Teoh Beng Hock Trust For Democracy, Pemuda (DAPSY) Bukit Bendera dan Jawatankuasa Kemajuan & Keselamatan Kampung (JKKK) Ladang Lada.

Antara tetamu yang hadir ialah Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan Kerajaan Pulau Pinang Dr Afif Bahardin, Ahli Parlimen Tanjong Ng Wei Aik dan pakar sains politik Dr Wong Chin Huat. -Roketkini.com