Berita

Untuk apa STPM kalau pelajar cemerlang dinafikan peluang? – Guan Eng

KUALA LUMPUR, 18 OGOS: Sistem pentadbiran pendidikan negara yang haru-biru punca pelajar cemerlang Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) gagal ditempatkan bagi mengikuti kursus pilihan mereka.

Menurut Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, kejadian sedemikian telah berlaku berulang kali, menyebabkan pelajar dan ibu bapa hilang keyakinan terhadap sistem pendidikan negara.

“Baru-baru ini seorang pelajar dari Klang, Ng Li Ying, yang memperoleh semua A dalam peperiksaan STPM telah dinafikan peluang untuk mengambil kursus perubatan, pergigian, dan farmasi walaupun telah memohon kepada sembilan universiti tempatan. Beliau sebaliknya ditawarkan kursus kejurawatan.

“Dua orang pelajar cemerlang dari Ipoh yang memilih kursus pergigian dan perubatan telah masing-masing ditawarkan kursus kejururawatan di Sarawak dan kajian veterinar di Kelantan. Seorang lagi pelajar terbaik dari kawasan Liow Tiong Lai sendiri, juga ditawarkan kursus kejururawatan di Sarawak.

“Seorang pelajar dengan keputusan 4A STPM gagal diterima untuk program farmasi di Universiti Sains Malaysia (USM), walaupun ditawarkan kursus sama di Monash University, Australia, yang menduduki tangga ke lapan Ranking Universiti Dunia 2014 untuk bidang farmasi dan farmakologi.

“Mungkin ada orang terlupa untuk memberitahu dunia bahawa USM lebih baik daripada Monash,” ujar Guan Eng sinis.

Justeru itu, Guan Eng menegaskan jalan terbaik kini bagi kerajaan BN adalah dengan meraih semula keyakinan pelajar dengan menawarkan kepada mereka tempat di universiti berdasarkan kursus pilihan mereka sebelum cuba untuk menarik pelajar asing ke Malaysia. -Roketkini.com