Berita

Adakan pertemuan segera, rangka strategi pulih keyakinan rakyat – Lim Kit Siang

KUALA LUMPUR, 19 OGOS: Kepimpinan Pakatan Rakyat perlu mengadakan pertemuan segera bagi merangka strategi memulihkan keyakinan rakyat yang merosot teruk ekoran kemelut Menteri Besar Selangor, kata Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang.

Beliau berkata, walaupun rakyat merasa lega dengan keputusan Pakatan kekal bersama, tetapi ada keraguan berhubung komitmen parti-parti komponennya untuk mengenepikan perbezaan dan mengutamakan matlamat bersama.

“Pemimpin Pakatan Rakyat seluruh negara dan pada setiap peringkat tidak boleh menipu diri sendiri dengan merasakan kita tidak terjejas daripada kemelut berpanjangan ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menceritakan pengalamannya ketika menghadiri dua program di Gelang Patah semalam, yang membuktikan betapa rakyat seluruh negara memerhatikan perkembangan isu ini terutama tentang masa depan Pakatan Rakyat.

“Kemelut MB Selangor menyebabkan rakyat marah. Sentimen penduduk di Gelang Patah kebanyakannya lega Pakatan tidak berpecah. Namun keraguan mereka berhubung kemapanan dan kelestarian Pakatan bertambah.

“Oleh itu, pimpinan Pakatan perlu segera mengadakan pertemuan secara tetap untuk merangka dan melaksanakan strategi memulihkan keyakinan rakyat ini,” kata Ahli Parlimen Gelang Patah itu lagi.

Keputusan Mesyuarat Khas Jawatankuasa PAS Pusat Ahad lalu untuk menerima Wan Azizah serta mencalonkan Azmin Ali, serta keputusan bersama Pakatan menghantar nama Wan Azizah kepada Sultan Selangor meredakan pergeseran yang berlaku.

Namun bagi Kit Siang, konflik ini tetap mempunyai kebaikannya tersendiri – iaitu menunjukkan perbezaan asas kerjasama Pakatan Rakyat berbanding parti-parti dalam BN.

“Ini menunjukkan parti dalam Pakatan adalah setara. Setiap parti mempunyai suara dan setiap perbezaan perlu diselesaikan dengan penuh kesabaran. Kita bukan seperti apa yang dipropagandakan oleh BN, bahawa DAP adalah boneka kepada PAS atau sebaliknya.

“Ini berbeza dengan BN yang hanya merupakan kerjasama pada nama, menyembunyikan hegemoni dan dominasi Umno yang menjadi penentu dalam BN,” katanya lagi. – Roketkini.com